Mendaki Gunung Fansipan dan Jelajah Utara Vietnam

Assalamualaikum & Salam sejahtera ….

Batu Caves, 14 November 2008 – Gambar/Aktiviti/Episod 4 GrandFinale –BerkabusdiFansipan.doc

Sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini adalah mendaki gunung selain di Malaysia dan Indonesia.  Persediaan kira2 9 bulan lalu iaitu pada bulan Januari sudah sampai detiknya pada pagi ini. Gunung Fansipan terletak di Wilayah Laocai, Sapa melalui Hanoi di utara Vietnam yang dikenali sebagai bumbung Indochina dan Vietnam dan lebih tepat lagi gunung tertinggi di Vietnam. 

Sepanjang masa tersebut, berbagai email dihantar kepada peserta2 dan berbagai dugaan timbul antaranya dari segi harga kos perbelanjaan berubah atas kenaikan harga minyak semasa disamping masalah mendapat kelulusan cuti panjang. Namun hendak seribu kali daya dan hanya cuti yang akan menghalang kayuhan seterusnya. Kami yang pergi ini ada membuat latihan di Kelana Jaya disamping perbincangan seperti masa tiba di LCCT, pertukaran mata wang, passport, pengangkutan, keadaan trek, waktu solat dan arah kiblat serta suasana persekitaran terutama makanan halal di sana.
  
22/10/2008 Rabu – Berkumpul di LCCT

Dijangka berlepas tak lama lagi

Setelah melakukan persediaan akhir beberapa hari lepas, saya dan Ramli sampai di LCCT pukul 4.45 pagi. Semua 17 orang sampai sejam sebelum berlepas. Antaranya Abg Murdafi selaku ketua rombongan dan bekas naib pengerusi OGKL, Abg Asmaruddin seorang jurufoto yang juga bekas naib pengerusi OGKL dan membawa isterinya, bakal2 menamatkan G12 tahun depan seperti Adzmin dan saya sendiri, Zaidi Bidin pendaki yang bekerja di Pulau Pinang dan paling awal habis G12 dan sentiasa mendaki di luar negara, Ramli pengerusi kelab Proton Edar dan Deeno pengerusi OGKL dan pembantu Abg Murdafi serta Azizan atau Wak Jan selaku jurugambar ahli UTK atau singkatan unit tindakan kamera. Terdapat juga rakan di Lembah Klang dan dari Johor serta Kelantan yang turut serta.  

Sebarang urusan di LCCT berjalan lancar sehinggalah kami sampai di lapangan terbang antarabangsa Noi Bai pada pukul 8.50 pagi waktu tempatan iaitu kurang sejam dari waktu kami di Malaysia. Kami bertemu dengan pengurus rombongan kami di sana. Percakapan bahasa Inggerisnya agak fasih tapi masih mampu difahami. Kami bergerak ke Bandar Hanoi dalam jarak kira2 40 kilometer menaiki bas. 

Dalam bahasa Vietnam, Hanoi bermaksud kota di antara sungai. Ini kerana bandar berpenduduk sekitar 3 juta orang ini terletak di tepi kanan Sungai Merah dan dikelililingi oleh beberapa danau besar. Hanoi mempunyai sejarah yang amat panjang, hampir sama panjangnya dengan sejarah negeri Vietnam. Ia dikenali sebagai Dai La semasa pemerintahan China pada abad ke-8 dan kota ini sempat berganti nama beberapa kali. Jangan terperanjat kalau melihat bangunan dan papan tanda di sepanjang laluan hasil dari jajahan negara2 Eropah.

Dari segi sejarah Vietnam, pada 2 September 1945 di Hanoi, General Ho Chi Minh atau Uncle Ho secara umum mengisyitiharkan kemerdekaan Vietnam. Ketika para komunis di Vietnam Selatan iaitu Viet Minh mengikuti pemerintahan Perancis, perang pun bermula. Ho Chi Minh sebagai pemimpin pergerakan kemerdekaan di Vietnam Utara memutuskan untuk berdamai dengan Perancis. Semasa berlaku peperangan dengan Perancis pada bulan Mac 1954 selama 9 tahun ia telah mengorbankan 30,000 rakyat tempatan. Pada tahun 1961-1964, Amerika Syarikat mula masuk campur. 2 kapal memasuki perairan di Hanoi dibom lalu mereka membalas dendam. Pada bulan March 1965, pesawat tempur AS memulakan perang yang dipanggil Operation Rolling Thunder, pengeboman besar-besaran terhadap Vietnam Utara. Tiga setengah tahun kemudian, bom2 dijatuhkan di Vietnam Utara yang jumlahnya dua kali lebih banyak dari jumlah bom yang dijatuhkan pada Perang Dunia II. Tahun 1969 di Paris, Perancis, 4 pihak iaitu Amerika Syarikat, Vietnam Selatan dan Utara serta Vietkong memulakan perbincangan untuk mengeluarkan seluruh pasukan Amerika Syarikat dari Vietnam. Pada 30 April 1975, pasukan Vietnam Utara menduduki Saigon dan mengakhiri 30 tahun peperangan tersebut. Demikianlah sejarah panjang Vietnam.

rumah lama berlatarbelakang penjajah

wayar berserabut

Sebelum tol, kelihatan kenderaan2 membeli kupon tol dan bila tiba di tol cuma perlu serahkan sahaja di kaunter laluan. Selepas melalui beberapa siri tol, kami melihat suasana pemandangan baru di sepanjang jalanraya. Kelihatan Stesyen Petronas di kiri dan beberapa kilang ternama di sebelah kanan. Bas merentasi sungai dan memasuki kawasan bandar menuju ke hotel kami iaitu Hotel Nam Hai 1. Suasana musim luruh yang dijangkakan rupanya bukan disangkakan kerana masih awal lagi. Pemandangan rumah kedai bertingkat2 dengan saiz sederhana tapi tinggi. Satu pemandangan kurang menarik adalah wayar2 kabel yang berserabut di sepanjang laluan.

wa kene beb

Sampai di hotel kami dialu2kan dengan minuman selamat datang. Dengan masa yang banyak terluang sehingga malam nanti, Abang Murdafi selaku ketua rombongan menerangkan serba sedikit sepanjang aktiviti seminggu kami sambil acara suai kenal. Di sini ada disediakan perkhidmatan komputer berinternet. Masa awal ini ada yang mengambil kesempatan untuk berinternet atau memberitahu keadaan kami di sini. Sebelum kami keluar meronda kawasan sekitar, kami diberitahu wang Dollar boleh ditukar ke matawang Dong yang lebih kecil dan agak tinggi. Apabila keluar berjalan dan melintasi simpang, kami perlu memandang semua arah kerana motorsikal ada di mana2 dan sentisa membunyikan hon. Di jalanraya kelihatan ramai orang yang ada yang membawa gandar menjual pisang dan nenas. Kami meronda2 di kawasan berhampiran yang antaranya Tasik Hoan Kiem. Di seberang tasik kelihatan beberapa kedai menjual beg2 galas. Di sini terdapat beg North Face tiruan yang boleh dibeli dengan harga murah dan juga dijual secara berleluasa.

taklimat xpdc

harga makanan

Sebelum menaiki keretapi kami singgah untuk makan malam di Restoran Nisa yang merupakan satu sahaja kedai yang halal dan memenuhi selera besar kami. Namun kami sudah mengetahui harga untuk satu lauk adalah lebih kurang 60,000 Dong atau Rm13. Kami makan dengan puasnya kerana beberapa hari lagi tiada makanan halal akan mudah didapati. Pada malamnya kami bersiap menunggu seawal 8 malam menunggu keretapi malam ke Laocai. Suasana tidak lah tegang tapi atas kekalutan mengejar rakan2 di depan maka rakan2 dibelakang mula hilang arah kerana banyak keretapi dan kami salah masuk lorong. Di samping itu kami perlu membawa satu beg besar dan berat yang kami panggil anak gajah. Setelah semua selamat masuk, kami menunggu keretapi bergerak ke Laocai pada pukul 11 malam dan tidur.

usung anak gajah

23/10/2008 Khamis – ‘Buy one for me’ ‘Take my picture one dollar’

sarapan di hotel

Kami tiba di Bandar Laocai pada pukul 6.30 pagi dengan suasana agak berkabus di stesyen keretapi. Di sini kami dibawa menaiki bas menuju ke Sapa. Setelah sejam lebih kami tiba di Tanah Tinggi Sapa yang sejuk dan suasana seakan Cameron Highland. Ada yang turun membeli baju hujan sambil bergambar. Di sini kanak2 dan orang dewasa sentiasa mempamerkan barang2 jualan mereka dan antara ayat yang biasa didengar adalah ‘Buy one for me’, ‘Take my picture one dollar’. Keadaan hujan agak remis dan kami diberi sejam setengah untuk bersiap dan bergerak naik ke tempat bermula. Setelah sampai Taman Negara Hoang Lien, kami diperkenalkan pada juru pandu arah dan pengiring seramai 10 orang. Pukul 11.30 pagi kami mula bergerak dengan keadaan trek yang lembap dan menurun pada awalnya. Tidak lama berjalan, kami berhenti rehat dan makan tengahari dengan nasi impit bersama daging serta serunding yang dibekalkan. Di sini disediakan tong sampah yang di tutup dengan buloh dalam bentuk rumah. Kami meneruskan perjalanan lagi dan sampai di khemah pukul 3.30 petang. Khemah kami yang lebih besar bertentang dengan khemah mereka yang juga ada menjual air minuman. Ditempat ini ada beberapa ekor anjing menunggu. Tidak jauh dari depan khemah kami ada terdapat sungai yang agak kurang deras sesuai untuk kami mengambil air. Di sebelah kiri pula tempat membuang air besar.

Starting point

Setelah mengeluarkan barang2 peralatan memasak, kami mula mengaturkan barang masing2. Kami diberitahu yang terdapat 2 orang lelaki dan seorang wanita dari Israel akan tiba di khemah dari puncak Fansipan. Walaupun kurang penat, beberapa rakan kami mengalami gangguan delusi apabila menyangka mereka mempunyai hubungan diplomatik dengan negara kami sedangkan kami berada di luar kawasan. Pada pukul 9 malam kami mula makan malam dan mereka bertiga pun baru sampai dalam keadan letih. Kami memberi sedikit makanan kepada mereka.

pondok bermalam

masak makan malam

24/10/2008 Jumaat – Menuju puncak berkabus di ketinggian 3143 meter

suasana kabus di pagi hari 

Seawal 6.30 pagi suasana sudah cerah. Ucapan selamat hari lahir di tuju pada Abg Murdafi yang kebetulan jatuh pada hari sampai ke puncak. Kami mula bergerak menaiki satu bukit. Suasana trek bertukar menjadi pemandangan hijau berkabus. Rakan2 di depan sudah mula menjarak diri. Perjalanan menaiki dan menuruni bukit melambatkan pergerakan kami sambil bergambar suasana pagi berlatarbelakangkan hutan kabus. Di sini dilaporkan terdapat banyak buloh besar dan kecil serta lebih 2000 floral dan 327 speses fauna namun ia jarang kelihatan sepanjang trek ini.  


hampir menuju ke puncak 

Setelah sejam lebih berada di tempat yang sama, kami bergerak naik lagi. Terdapat beberapa tangga perlu didaki serta pemegang buloh disediakan sepanjang permulaan trek ini. Ada masa kami perlu turun melalui akar2. Trek agak berlumpur sepanjang perjalanan. Ada ketika kami berehat di satu kawasan tidaklah besar dengan satu lagi tong sampah berbentuk rumah kecil lagi. Semasa dalam trek sesekali terdengar suara kumpulan kecil di depan yang kemudian bertembung dengan kami yang naik. Saya di temani oleh salah seorang juru pandu arah namun masalah bahasa maka kami jarang berbual. 



indah berada di puncak walaupun berkabus

Video di puncak Fansipan

Tepat jam 12.15 tengahari waktu tempatan saya sampai di puncak Fansipan pada ketinggian 3143 meter. Kami yang tiba awal bergambar sambil menunggu rakan2 belakang tiba. 2 jam setengah di puncak saya dan rakan2 lain mula turun. Ramli yang turun awal kerana terlupa membawa lampu tiba cuma 2 jam di khemah kami. Sepanjang trek yang lecak, saya sempat solat jamak dan tiba bersama Hussin. Kami mandi dan mengemaskan diri. Malam ini kami tidur semalam lagi di sana. Memandangkan masih ada yang belum sampai, ketua juru pandu arah iaitu Nam Hai sudah mula risau dan gelisah sambil beberapa kali memasuki khemah kami bertanya kabar. Dia mula mengarahkan rakan2nya untuk operasi mencari. Namun Abg Murdafi segera memberitahu supaya tidak perlu risau kerana kami sudah sangat biasa dengan suasana begini.


Ada juga rakan mereka terpegun melihat cara kami masak dan makanan kami yang berlainan dengan mereka. Kami tidak membenarkan mereka memasak atas faktor memasak mesti orang yang seagama kami supaya mereka paham. Lambat laun rakan2 dibelakang pun tiba juga dan kami memberi ruang untuk mereka berehat. Setelah berbincang dengan mereka, Abg Murdafi mengumumkan bahawa jalan keluar ke Sapa selama 4 jam yang sepatutnya kami lalui keesokannya terpaksa bertukar kembali ke laluan asal iaitu 2 jam. Ini disebabkan ada laporan tanah runtuh di laluan tersebut.


25/10/2008 Sabtu – Sapa macam Cameron atau Genting Highland

ditengah-tengah pasar di bandar sapa

Saya bangun seawal pagi dengan cuaca yang cerah. Suasana khemah yang ramai menyebabkan saya keluar untuk mengemas barang. Buat pertama kali sejak menunggu keretapi dari Hanoi barulah kami melihat matahari dan itu pun tidak lama. Sambil merakamkan banyak gambar kenangan kami semua bergerak keluar pada pukul 11:40 pagi. Sebelum sampai di Taman Negara Hoang Lien, saya dan rakan2 belakang sempat bergambar lagi dengan suasana air terjun dan latarbelakang pergunungan yang cantik. Maka selesailah sudah pengalaman mendaki Gunung Fansipan.

tempat bermalam

Sampai di sana, kami terus bergerak turun dengan 2 bas. Ada sekali kami berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar air terjun. Sampai di Sapa semula, kami check in di Hotel Bamboo untuk satu malam. Saya bersama Hussin dan Ramli satu bilik. Kami kemudian bersiap untuk jalan2 ke pasar Sapa yang tidak jauh dari sini. Sambil berjalan2, kami ada beli beberapa barang. Antaranya pisau kecil, Sandal Teva dan beg galas kecil. Ketika ini masih ramai kanak2 mengelilingi dengan ungkapan yang sama semasa kami tiba.

penerangan perubahan jadual esok 

Pada malamnya pula sebelum makan makan, kami disajikan dengan perlawanan akhir pestabola merdeka antara Malaysia dan Vietnam bawah 23 tahun. Selain itu ada kejutan dari Abang Murdafi yang mengumumkan pertukaran rancangan. Ini kerana pada keesokannya kami akan ke Bac Ha iaitu pasar terkenal di Vietnam. Oleh kerana laluannya akan ke Laocai semula, maka agak rugi dari segi masa selama 2 jam untuk semata2 bersiap dan mengambil beg. Sebaiknya terus bersiap dan tunggu terus di Stesyen Laocai. Saya dan Ramli kemudian keluar semula ke pasar yang akan tutup pukul 10.30 malam untuk mencari beberapa barang yang sempat dibeli.

26/10/2008 Ahad - Warna warni Bac Ha


Seawal 7 pagi kami semua bersiap untuk ke destinasi seterusnya iaitu pasar ahad di Bac Ha iaitu 110 kilometer dari sini. Pekan Sapa kami tinggalkan dengan satu kenangan. Laluan turun semula ke Laocai merentangi laluan keretapi. Suatu ketika di tengah2 jalan raya kelihatan di pembahagi jalan yang ditanami sayur2an dan pokok betik. Keadaan jalan agak kurang baik dan terdapat banyak pembinaan jalanraya. Bas kami menaiki bukit dan merentasi beberapa jambatan di atas sungai. Setelah 3 jam dalam bas kami pun sampai ke Bac Ha yang terletak hampir di utara sempadan Vietnam dan China. Suasana masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik kaum yang tinggal di sekeliling bukit dan berpakaian warna warni menjadi tarikan pelawat. Mereka berniaga kain, makanan dan peralatan dan suasana tawar menawar seakan2 di Petaling Street ataupun pasar payang membuatkan suasana hidup.

pintu masuk Bac Ha




Kami kemudian menaiki bas semula untuk melawat pembuatan air nira dari pelbagai buah di satu kawasan kampong dan melawat rumah H’mong yang didiami oleh Raja Hoang A Toang. Rumah ini dibuat oleh koloni Perancis dan China pada tahun 1920. 

Kredit Wak Jan






Setelah selesai bergambar, kami pulang semula ke Laocai dan menunggu di Stesyen. Sebelum keretapi bergerak saya dan Ramli sempat membeli barang2 seperti topup prepaid dan charger. Pada pukul 7.30 malam kami menaiki keretapi pulang ke Hanoi tanpa persediaan untuk makan malam. Namun atas inisiatif sebagai ketua rombongan, Abang Murdhafi masak juga dalam keretapi sambil mengharap tidak kantoi.


Abang Murdafi masak dalam keretapi

27/10/2008 Isnin – Cantik nya Halong Bay

Pukul 4.45 pagi kami sampai di stesyen Hanoi. Setelah terpisah dari kumpulan besar bersama Azizan@ Wak Jan kerana sibuk mengambil gambar keretapi kami tiba di tempat yang sama dengan mereka yang tunggu bas. Setelah berehat sejam, kami bersiap2 ke Teluk Halong mengikut jadual yang telah diatur atas masalah teknikal. Teluk Halong terletak kira2 170 kilometer dari Bandar Hanoi.

Pada peperangan terakhir di Vietnam, negara tersebut telah membuka pintu kepada pelancong luar untuk melawat Teluk Halong yang dikenali sebagai 8 pemandangan ajaib di dunia. Antara tarikan teluk ini adalah beribu batu berbentuk pulau kecil. 

Mengikut lagenda, penduduk tempatan menentang kedatangan orang luar dari utara Vietnam. Ada mengatakan tuhan telah mengutuskan keluarga naga untuk mempertahankan tanahair mereka. Naga2 ini mula melontarkan mutiara dan permata ke laut. Setelah sampai ke laut, mutiara dan permata ini membesar dan membentuk pulau2 sebagai mempertahankan kubu mereka. Penduduk tempatan berjaya mempertahankan kawasan mereka dan menamakan Vietnam seperti sekarang. Naga2 ini gembira dan tinggal di sini. Ibu naga tinggal di Ha Long manakala anak perempuannya Bai Tu Long. Ekor naga membentuk Bach Long Vi atau Semenanjung Tra Co yang pantainya berpasir putih. Inilah merupakan kepercayaan mitos penduduk Vietnam.  

Hari ini di tanahair, rakan kami yang beragama Hindu di Malaysia menyambut Deepavali. Deeno sempat menelefon Uncle Appa yang sepatutnya ikut sama untuk memberi ucap selamat Hari Depavali. 


Perjalanan keluar dari bandar pada hari bekerja memperlihatkan pergerakan banyak motorsikal yang unik. Selautan motorsikal menghiasi jalanraya yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Kami melalui jambatan yang tidak jauh dari sini juga terdapat satu lagi jambatan yang hanya untuk kenderaan ringan seperti motorsikal dan basikal sahaja. Dalam perjalanan, kami berhenti dan tiba di satu kawasan menjual barang cenderahati. Ada terdapat seorang pekerja yang pernah bekerja di Ipoh dan agak fasih berbahasa melayu. Kami berbual seketika sambil meneruskan perjalanan. Setelah 3 jam dalam bas, kami sampai di Halong Bay. Sebaik sampai, kami terus menaiki bot dan memilih tempat duduk masing2. Ferri bergerak melalui lautan luas di kelilingi batu2 besar membentuk 1969 buah pulau. Panorama indah keliharan tersergam di depan mata.





Kami tiba di satu tempat yang dipanggil Hang Sung Sot. Di sini kami naik tangga ke atas memasuki sebuah gua. Dalam gua kelihatan lampu bermacam2 warna dan pebagai bentuk batu dengan trek berjalan kaki yang disediakan. Kami bergambar dan berpusing sekitar sebelum tiba di tempat lain untuk menaiki ferri semula. Kami kemudian belayar ke sangkar menangkap ikan, udang dan ketam seakan sama seperti di Tasik Kenyir. Ikan2 di sini besar2 belaka. Kami bergerak semula melalui satu batu kembar dan bergambar. Perjalanan selama 5 jam di ferri berakhir dengan kami tiba semula di jeti dan pulang. Kenangan indah dan unik di Teluk Halong pasti tidak akan dilupakan. Keesokan nya adalah acara bebas.



Video di Halong Bay

28/10/2008 Selasa – Water Puppet Master



 kesah perang vietnam dari foto-foto Wak Jan


Hari ini acara bebas di mana tiada pergerakan khusus untuk pergi bersama2. Ada merancang bersiar manakala yang lain bergerak ke muzium sejarah. Banyak tempat2 menarik seperti Istana Presiden, makam Uncle Ho, Dataran Ba Dinh. Setelah bangun dan sarapan, saya dan Ramli bersama rakan2 lain berjalan2 meronda Bandar Hanoi Old Quarter dan di sekitarnya dengan tujuan mencari barangan rekreasi namun di sini tiada barang rekreasi yang sesuai. Saya dan Ramli kemudian berpecah dan kami pergi ke kawasan lain melihat beg2 yang tergantung sambil bergambar di jambatan Huc yang bercat merah dan terletak di Tasik Hoan Kiem. Di sini juga terdapat kuil Ngoc Son manakala di luar kawasan terdapat satu tugu besar. Tengahari saya makan bersama Zaidi di Restoran Nisa sambil berpeluang membeli barangan menarik seperti kain sutera Vietnam untuk dibawa pulang.



pesta puppet


Pada malam pula ada acara tayangan Thang Long Water Puppet berhampiran Tasik Hoan Kiem.. Pada awalnya kami kekurangan tiket dan pelbagai masalah komunikasi lain. Akhirnya kami masuk juga dan menikmati persembahan kebudayaan petani  dalam bentuk patung dan diselitkan sekali mitosnya yang tersendiri. Pada rakan2 yang kurang biasa, mereka sudah mula terasa mengantuk. Selesai acara tayangan patung, kami pulang. Saya dan Ramli kemudian terpisah lagi dan kali ini kami sesat selama sejam lebih kerana tidak membawa peta. Setelah sampai di laluan yang sepatutnya, kami singgah di satu kedai untuk membeli beg kecil.  

29/10/2008 Rabu – Back to civilization

jambatan terkenal di Hanoi

Seawal 4.30 pagi, kami bergerak meninggalkan Hotel Nam Hai 1 untuk balik ke Kuala Lumpur dengan satu lagi kenangan terindah. Sampai di lapangan terbang Noi Bai, terdapat masalah lain apabila beg kami tidak dibenarkan masuk kerana melebihi 15 kilogram. Jadi pada beg yang lebih 15 kg terpaksa dibuka dan Hussin menjadi mangsa terakhir dengan barang2 terpaksa dibuka dan dimakan. Kami menaiki kapal terbang pada pukul 7 pagi dan sampai di LCCT pukul 1.30 tengahari. Isteri Ramli mengambil saya dan Ramli. Saya sampai rumah pula pukul 5:30 petang.

kecoh waktu nak balik

Sekian sahaja rombongan mendaki dan melancong kali ini. Setelah melalui 4 pendakian yang panjang tahun ini yang antaranya Gunung Tahan, gunung2 di Jawa Tengah, Gunung Trusmadi dan Gunung Tambuyukon dan kini Gunung Fansipan, maka saya merasa bangga kerana dapat mengatasi masalah pelepasan cuti yang memang menjadi masalah saya selama ini. Akhir kata tahun depan nanti ada lagi 4-5 aktiviti panjang yang sudah ditentukan dan sedia menanti saya untuk menambah koleksi gunung yang akan ditawan terutama gunung yang berstatus G12. 

Sekian Wasalam. 

Pst: Gambar ihsan dari kamera saya, Abg Asma, Eryn dan Azizan@ Wak Jan.

Jangan lupa baca juga di sini Kisah di utusan.
#38

0 comments:

Post a Comment