Pertama kali OGKL di Filipina

Salam,

Cerita dari Suraya Yusof


Buat pertama kalinya Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) menganjurkan ekspedisi menjelajah gunung-gunung di Filipina selama 7 hari bermula dari 21 Julai dan berakhir pada 27 Julai 2010.  Seramai 25 orang peserta telah mengikuti ekspedisi yang dikenali dengan nama ”Eksplorasi Gunung di Manila 2010”. Program ini berjaya dianjurkan walaupun terdapat beberapa kesukaran dari aspek penganjuran antaranya ketidakselesaan dari segi penginapan, makanan, termasuk masalah komunikasi dengan masyarakat tempatan. Namun bagi penganjur, ini adalah perkara biasa dimana segala kesusahan, keletihan dan tekanan yang dilalui telah dibayar dengan pengalaman yang tak ternilai. Bak kata pepatah  Melayu ”Jauh perjalanan luas pengalaman”.  Selain pengalaman baru mendaki gunung di negara orang, kami juga dapat melihat dan mengetahui cara hidup masyarakat tempatan di bandar mahupun di desa. Berikut adalah log perjalanan sepanjang ekspedisi ini dijalankan.

21 Julai 2010 (Rabu)
Kuala Lumpur – Manila – Gunung Arayat


Penerbangan selama 3 jam 45 minit selamat tiba di Lapangan Terbang Clark, Manila pada jam 11.10 pagi. Selesai menguruskan passport dan bagasi masing-masing tanpa menunggu lama  kami terus menuju ke Pekan Arayat dalam daerah Pampanga dengan menaiki 3 buah van.  Setibanya di Arayat National Park, kami diberikan 2 buah bilik untuk membersihkan diri, makan, berehat sambil membuat persiapan untuk memulakan pendakian ke gunung Arayat pada petang itu juga. Kami di jadualkan akan mula mendaki kira-kira jam 6 petang.

sampai di lapangan terbang antarabangsa diosdado macapagal 

Gunung Arayat terletak di Barangay, San Juan Bano, iaitu di pertengahan Wilayah Luzon, Filipina.   Gunung berketinggian 1,026 meter (3,366 kaki) ini adalah sebuah gunung berapi yang tidak aktif dan tiada rekod letusan sehingga kini.  Di kaki Gunung Arayat terdapat Taman Negara Arayat yang mempunyai tumbuhan yang subur tumbuh di kawasan perkelahan dan juga air terjun semulajadi.

gambar dari hadri : pintu masuk 

Disitu terdapat 2 buah kolam mandi dengan berbagai spesis flora dan fauna yang jarang ditemui. Gunung Arayat mempunyai lagendanya yang tersendiri.  Sejarah tempatan mengatakan gunung ini didiami oleh seorang penjaga setia kepada hidupan dan tumbuhan di pergunungan tersebut yang bergelar Mariang Sinukawan. Hikayat kewujudan Mariang Sinukawan agak terkenal di kalangan penduduk tempatan di Filipina.

jamah maggie je

Tepat pada jam 6 petang, kami memulakan pendakian melalui pintu masuk Taman Negara Arayat dan singgah di pondok mendaftar dengan diiringi oleh 2 orang pemandu arah.


Perjalanan melalui hutan lalang dan semak samun sedikit menyiksakan memandangkan gunung ini jarang dikunjungi pendaki disamping ’serangan’ nyamuk yang bertali arus.

dikerumun oleh kanak-kanak

Kami cuba untuk tidak berehat lama dengan harapan dapat sampai ke puncak lebih awal. Namun kami dikejutkan dengan kecelakaan, apabila salah seorang penunjuk arah kami dipatuk ular dan terpaksa diberi rawatan, kesempatan ini kami ambil untuk berhenti berehat dan makan malam sementara menunggu rawatan yang diberikan oleh Adzmin.

berehat sebelum sampai kat kemsite

Agak sukar berkomunikasi dengan 2 orang pemandu arah  kami memandangkan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Setelah makan malam kami meneruskan perjalanan dan tiba di puncak Arayat pada jam 11.30 malam. Kerana terlampau letih, kebanyakkan dari kami terus tertidur sebaik sahaja siap menyalin pakaian bersih manakala kumpulan AJK meneruskan tugas memasak sambil menunggu rakan-rakan yang di belakang sekali. Syukur, sekitar 1230 malam semuanya sampai di puncak GunungArayat dengan selamat. Cuaca amat baik pada malam itu, namun sukar untuk kami melelapkan mata kerana di puncak Arayat ini begitu banyak nyamuk berbeza dengan puncak-puncak gunung yang lain!

22 Julai 2010 (Khamis)
Gunung Arayat kembali ke Taman Negara




Subuh di puncak Arayat tidak terlalu sejuk seperti yang kami jangkakan, kami menikmati sarapan pagi dan menghirup air panas sambil menikmati pemandangan matahari terbit sebelum bersiap meneruskan pendakian ke Arayat North Peak yang  kelihatan jelas dari dari sini (South Peak).


Mungkin disebabkan jarang pendaki menggunakan laluan merentas South Peak ke North Peak menyebabkan kami tersasar dari laluan sepatutnya.





#71
Menyedari hakikat ini kami memutuskan untuk terus turun ke desa berhampiran memandangkan kami telahpun melalui trek menuruni gunung itu melebihi satu jam. Disebabkan beberapa kali tersasar ke laluan yang salah dan ”reverse trek”, kami terpaksa membatalkan niat untuk ke South Peak dan hanya mengikuti pemandu arah untuk mencari jalan turun ke Magalang.

jalan turun

Dalam perjalanan turun ini kami bertemu dengan beberapa orang penduduk tempatan yang mencari hasil-hasil hutan seperti akar dan tumbuhan berharga di kawasan tersebut untuk dijual sebagai bahan menghasilkan kraftangan. Dengan  bantuan dari mereka, kami berjaya mencari jalan keluar ke desa berhampiran. Menurut mereka sekiranya kami mengikuti rintis tersebut, kami boleh sampai ke Desa Palinglang, Magalang sekitar 2jam.

pemandangan dari kaki arayat

Melalui kawasan ladang mangga dan buah Nona, seterusnya melalui kawasan sawah padi yang menghijau, kami sampai keluar desa Palinglang, Magalang dengan selamat. Ketika itu matahari telahpun tegak di kepala. Sementara menunggu pendaki yang lain tiba, kami bersantai menikmati keindahah sawah padi yang terbentang luas berlatarbelakangkan gunung Arayat sambil menikmati minuman sejuk yang dibeli di kedai berdekatan. Setelah semuanya tiba, kami menaiki van untuk kembali ke Arayat National Park iaitu sekitar 30minit perjalanan menaiki van.

cite turun banyak pasal abang jamal

Tiba di Arayat National Park, kami berehat, membersihkan diri dengan mandi kolam buatan yang menakung air dari sumber air bersih dari pergunungan Arayat.



Sebelah malamnya kami keluar bersiar-siar di plaza membeli belah yang terletak di San Fernando dengan menaiki van. Kelaparan dan agak kebuluran, ada antara peserta yang pasrah menjamah pizza hut yang terang-terang status, ’tak halal’ dengan alasan ’darurat’! Setelah kembali ketempat penginapan,  kami mula memasak dan makan malam beramai-ramai dengan menu istimewa Eryn, Nasi Pakapau.

23 Julai 2010 (Jumaat)
San Juan Bano – Gunung Pinatubo – San Andres


sarapan dulu

dalam perjalanan

Sebagaimana dijanjikan, awal pagi kami mula menaiki van menuju ke Pinatubo Spa Town bagi pendakian ke Gunung Pinatubo. Setibanya di Sta.Juliana Barangay Hall, kami diberikan taklimat perjalanan oleh pegawai pelancong yang bertugas. 




Kali ini, kami menaiki 5 buah jip kecil yang setiap satunya hanya boleh memuatkan 6 orang termasuk pemandu menuju ke pintu masuk gunung Pinatubo.  Kami memulakan perjalanan selama lebih kurang 2 jam meredah laluan batuan terbuka yang amat panas, berdebu dan berlecak untuk ke Sitio Kalati iaitu tempat terakhir pemanduan jip sebelum berjalan kaki ke tasik kawah Gunung Pinatubo. Di sepanjang perjalanan menaiki jip, kami melihat terdapat beberapa penempatan orang asli yang dipanggil kaum Aeta yang menduduki kawasan tinggi pergunungan.

makan dulu

Di Sitio Kalati, kami sempat mengalas perut dengan nasi impit dan kuah kacang, sebelum memulakan pendakian yang mengambil masa 1 jam lebih untuk sampai ke Tasik Kawah Pinatubo.




Trek yang dilalui agak mudah dengan melalui laluan berbatu anak-anak sungai dan juga terdapat beberapa papan penunjuk arah. Pengakhirannya adalah dengan mendaki anak tangga yang tinggi sebelum memasuki laluan masuk utama ke Pinatubo Crater Lake. Cukup indah, cukup hebat, cukup mengagumkan pemandangan yang ada didepan kami ketika itu!




mandi manda

Kami menghabiskan masa disitu dengan mandi manda dan sesetengahnya hanya bersantai sambil menikmati pemandangan air tasik yang berwarna hijau firus dipagari dinding-dinding gunung yang mengkagumkan.


Turut kelihatan ketika itu adalah para pelancong asing yang datang dari negara-negara Eropah yang tidak melepaskan peluang untuk menyewa sampan dan bersampan disekeliling tasik ini.


Gunung Pinatubo ini terletak di kepulauan Luzon diantara persimpangan daerah Zambales, Tarlac dan Pampanga serta merupakan antara gunung berapi yang paling popular di Manila dan juga di dunia! Ianya kerana gunung berapi yang mempunyai ketinggian 1,486 meter (4,875 kaki) dan berstatus sebuah Stratovolcano yang aktif ini pernah meletus beberapa kali dan letusannya yang terakhir pada Jun 1991 menghasilkan letusan terrestrial kedua terbesar pada abad ke 20. Selain mengubah lanskap gunung tersebut, ianya juga menyebabkan bencana besar bagi penduduk dikawasan berhampiran. Namun setelah hampir 20 tahun, kawasan ini mula menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan alam semulajadi disini..

makan malam

Nampaknya masa untuk kami bersuka-ria di tasik ini tidak lama, dan dengan berat hati, kami mula bergerak berjalan kembali ke Sitio Kalahati untuk menaiki jip kembali kePinatubo Spa Town. Setibanya kami di Pinatubo Spa Town, kami membersihkan diri dan menyalin pakaian bersih untuk menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak resort. Mujurlah kami sampai disitu lehih awal dan tidak ditimpa hujan yang begitu lebat yang turun  dengan tiba-tiba sebelum kami menaiki van untuk menuju ke Malate. Perjalanan ke Metro Manila mengambil masa yang agak lama memandangkan jaraknya yang jauh ibarat Kuala Lumpur ke Melaka. Nasib trip ’backpackers’ kami agak malang di Malate, kerana sesampainya di sana, hotel disitu telahpun penuh dan kami terpaksa menginap di hotel bajet yang terletak di San Andres iaitu kira-kira 1km dari Malate Pensionne.  Selepas selesai pembahagian bilik, krew-krew dapur bertugas sibuk mengaudit ration dan yang lain nya bersilih ganti keluar membeli keperluan terutama minuman di kedai 24jam yang hanya terletak di seberang jalan. Setelah mengalas perut kami berehat dan tidur secukupnya untuk perjalanan seterusnya yang dijadualkan awal pagi esok.

24 Julai 2010 (Sabtu)
San Andres – Gunung Maculot – Calamba City Laguna

Gunung Taal adalah gunung ketiga yang sepatutnya kami daki bagi melengkapkan “Explorasi Gunung Filipina 2010”. Gunung Taal ini terletak di Batangas, Selatan Manila dan merupakan gunung berapi paling kecil di dunia dan ianya masih aktif.


dengar taklimat dari dr gideon

Memandangkan ketika kunjungan kami gunung ini kembali aktif dan berada pada paras waspada Tahap 2 yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di sana, kami menukar rancangan ke Gunung Maculot yang terletak tidak jauh dari Gunung Taal.

pekena kelapa


Jam 7 pagi kami bersiap dan berkumpul untuk menaiki bas menuju ke Cuenca Batangas dan memulakan pendakian jam 8 pagi melalui Brgy Don Juan dengan ditemani 2 orang pendaki tempatan iaitu Gideon Lasco dan Jacob.  Ketinggian Gunung Maculot hanya sekitar 685 meter.




Pendakian ke puncak batuan(dipanggil ’Rockies’) melalui laluan hutan (The Grotto) mengambil masa kurang dari 3 jam, dan yang memeranjatkan, diantara persimpangan puncak batuan dan puncak Maculot terdapat penjaja tempatan yang menjual minuman ringan seperti Coca-cola dan jus oren.


bertiga sahaja



Boleh dikatakan semua pendaki hanya pergi ke puncak batuan untuk menikmati pemandangan gunung dan tasik Gunung Taal yang kelihatan sangat jelas dari The Rockies.

pasaraya SM

Bila matahari ’tegak’ di kepala, kami mula berjalan turun kembali ke perkampungan Brgy Don Juan, dan selepas makan tengahari, kami menaiki bas menuju ke Calamba City, Laguna. Kami sempat singgah di pusat beli-belah di Lipa City untuk membeli makanan dan buah buahan serta ration tambahan untuk pendakian seterusnya.  


Untuk penginapan malam ini, kami bermalam di Al-Cove iaitu sebuah’private resort’ kecil yang dilengkapi dengan kolam air panas yang besar, tempat memasak yang bersih, bilik tidur yang selesa dan set karaoke yang boleh digunakan sepanjang malam. Tidak lupa juga hidangan nasi putih, masak lemak ikan masin, sayur goreng, paperdom dan minuman panas yang disediakan oleh krew dapur. Memandangkan ada antara kami yang masih belum kenal antara satu sama lain, kami mengambil kesempatan santai ini untuk mengadakan sesi suaikenal diantara pendaki serta mendengar taklimat ringkas oleh Gideon mengenai pendakian merentasi Gunung Makiling atau Makiling Traverse (MakTrav) pada keesokan harinya. Menurut beliau, pendakian MakTrav ini merupakan satu pendakian mencabar, penting serta mempunyai signifikan tersendiri bagi kelompok pendaki Filipina. Dijangkakan, Maktrav yang merentasi beberapa puncak gunung Makiling (puncak II dan puncak III) ini akan mengambil masa 10jam hingga 12jam perjalanan dari permulaan iaitu San Miguel dan tamat di Makiling National Park.

25 Julai 2010 (Ahad)
Calamba City Laguna – Gunung Makiling - Malate

Gunung Makiling adalah gunung berapi yang tidak aktif dengan ketinggian 1,090m ( 3,576 kaki) yang terletak di Daerah Laguna, kepulauan Luzon Filipina. Seawal jam 7 pagi, kami mula menaiki bas menuju ke Brgy, San Miguel di Sto. Tomas, Batangas untuk mendaki Gunung Makiling. Di San Miguel kami bertemu dengan beberapa pendaki Filipina yang akan turut menyertai pendakian gunung terakhir kami untuk ekspedisi kali ini.



Jam 9 pagi kami memulakan pendakian dan tiba di Puncak ke-II Gunung Makiling selepas 4 jam mendaki.



Ketika hujan renyai sudah mula turun, kami meneruskan pendakian untuk ke Puncak ke-III.

take 5 dulu


Hujan semakin lebat ketika tiba di puncak ke-III, kami berkumpul untuk sesi bergambar bersama banner gabungan pendaki Filipina dan Malaysia yang tertulis ’1st Friendship Climb’ atau Pendakian Persahabatan Pertama antara kumpulan pendaki Malaysia dan Filipina. Memandang kebawah jelas kelihatan lapisan hutan gunung dipterokap yang tinggi di bahagian kaki gunung manakala  bahagian puncak pula ditumbuhi hutan rendang yang berlumut. Jika dilihat dari kejauhan pula, lereng gunung Makiling ini dikatakan menyerupai wanita yang berbaring iaitu Maria Makiling, yang merupakan dewi mistik dan lagendanya amat dikenali dikalangan cerita dongeng rakyat Filipina.



Kami mula bergerak turun dari puncak ke-III pada jam 4 petang. Laluan turun dirasakan amat jauh kerana keadaan hujan yang lebat, laluan yang berlecak dan amat licin beserta ’serangan’ pacat yang luar biasa banyaknya. Ia bukan hanya ’hinggap’ di kaki tetapi juga turut ’melenting ke mata’ sebagaimana yang diceritakan oleh guide kami sebelum ini!



Sepanjang laluan itu juga, kami beberapa kali tersasar memasuki simpang kawasan perkampungan dan akhirnya kembali ke laluan sebenar dengan bantuan penduduk kampung. Kami tiba di UPLB College of Forestry, Laguna ketika hari telah pun gelap namun bersyukur kerana masih berada dalam lingkungan masa yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 12jam. Setelah membersihkan diri dan menyalin pakaian kering, kami menaiki bas menuju ke Malate untuk menginap di Hotel Malate Pensionne dan bermalam disitu.

26 Julai 2010 (Isnin)
Kotaraya Manila

di malate pension

Malate Pensionne adalah penginapan kami yang paling selesa sepanjang ekspedisi ini. Hari ini merupakan hari santai, free & easyuntuk semua peserta. Memang dalam perancangan awal, semua peserta akan diberikan masa untuk membeli belah, bersiar-siar, serta berehat pada hari terakhir pendakian ini. Ini lebih merupakan satu ’bonus’ untuk semua atas kejayaan menakluki empat buah gunung di Manila. 



Seawal jam 8.30 pagi, beberapa orang diantara kami menaiki teksi menuju ke San Juan, Metro Manila dan tiba di Greenhills Shopping Center, malangnya masih belum dibuka. Kami bersarapan di McDonald berdekatan dan hanya membeli kopi dan pai epal kerana tidak yakin ’halal’ dengan penyediaan makanan yang lain. Kak Seri mengeluarkan Tuna dan biskut untuk tambahan menu sarapan pagi kami di pagi itu.

main MRT

Greenhillls Shopping Center dibuka pada 10.30 pagi, kami mula berjalan di bahagian beg berjenama dan diikuti bahagian kasut, baju dan lain-lain. Lumrah wanita, kami hanya tertarik kepada barangan beg kulit berjenama dan menghabiskan banyak masa disitu.  Hasil hasutan Saf dan Eryn, kami menambah lagi dana Peso untuk untuk hasil belian yang memberangsangkan sehingga tidak perasan jam sudahpun 4 petang yang menyebabkan kami keletihan dan kelaparan.  Dengan bantuan seorang pemuda tempatan, kami mencari kedai makanan Islam yang berada tidak jauh dari situ



Destinasi kami seterusnya adalah Golden Mosque (Masjid Al-Dahab) iaitu simbol wujudnya komuniti Islam di kota Manila, ia terletak di Globe di Oro St, Manila. Disebabkan kami tersesat dan tidak menjumpai tempat tersebut, kami membatalkan niat untuk kesana dan hanya berjalan di shopping kompleks SM.


naik jeepny 

Pagi bertukar petang, hari sudah semakin gelap, kami pun menaiki teksi balik menuju ke Malate Pensionne.


Sementara menunggu yang lain tiba, kami sempat menghabiskan baki wang Peso kami di Robinson Shopping Complex dengan membeli buah tangan, ke salun rambut dan makan malam di restoran Turkish.

geng malam singgah hard rock cafe 


Apabila semua tiba dan berkumpul pada jam 11 malam, kami bertolak menaiki van ke Pasay dan bermalam di Terminal Bas Philtranco.

tidur bersepah 

27 Julai 2010 (Selasa)
Pulang

Subuh di Terminal bas Philtranco amat sibuk dan bising sekali. Kami mula bangun dari tidur dan bergegas membuat persiapan menaiki bas ekspres paling awal untuk ke Lapangan Terbang Clark. Di dalam kekalutan pagi kami sempat mengalas perut dengan donut dan air mineral yang di taja oleh kelab.  Kami tiba di lapangan terbang setelah 2 jam berada didalam bas.

balik dah ... lain tahun datang lagi 

Pintu lapangan terbang masih belum dibuka dan penerbangan kami lewat selama 1 jam. Setelah selesai urusan bagasi dan sebagainya, sempat lagi kami menghabiskan baki peso untuk membeli buah tangan untuk rakan-rakan dan keluarga di Malaysia. Kami menaiki penerbangan jam 12.30tgh dan tiba di LCCT pada jam 4.30 petang dan  seterusnya bersurai ke destinasi masing-masing membawa bersama memori indah di Manila!

0 comments:

Post a Comment