9 puncak di Cameron Highland


Salam,


13 Disember 2012

Cameron Highland , tempat yg tidak asing lagi bagi penggemar teh atau strawberi atau apa sahaja di pekan Tanah Rata dan Brinchang. Tempat percutian tanah tinggi selain Genting Highland. Walaupun sudah banyak kali singgah di sini samada bersama keluarga, aktiviti kelab atau mendaki gunung namun tarikan tetap ada. Tujuan kami ke sini masih sama iaitu mendaki gunung yang terdapat di Cameron Highland tapi kami berhajat untuk mendaki 9 darinya dalam masa 3 hari. 

14 Disember 2012

Sebaik bergerak dari rumah Ramli Abd Majid yang menjadi ketua expedisi, saya Cikgu Jamal, Cikgu Halim serta Djan Rock selalu juruarah trek tiba di Hentian Tapah untuk berkumpul. Di Hentian Tapah, Pakcik Burn dan anak-anak buah rakan xkresma iaitu Daoos, Fikri, Syahrul menyambut kami. Turut serta adalah rakan mereka dari Manjong, Anep dan ayahnya Pak Cik Lin. Jadi 11 orang kesemuanya dengan 3 kenderaan 4x4.







Selepas seisi berkenalan pantas tersebut , kami bergerak ke kaki Gunung Cantik dalam sejam setengah perjalanan. Tidak seperti gunung-gunung lain, kedatangan kami sebagai tetamu ditunggu-tunggu oleh sekawan tuan rumah iaitu 4 ekor anjing. Anjing-anjing ini sentiasa mendatangi ke arah kami tanpa rasa takut dan kami membayangkan mereka pasti kelaparan dan kesejukan. Hampir setiap kali kami memberi makanan , mereka akan makan sahaja walaupun sekeping roti.



Selepas solat dan sarapan, pukul 8 pagi kami bersiap untuk mendaki. Cuaca pagi berkabus di tanah tinggi dengan kesejukan yang sederhana maka saya teringat kembali ketika mendaki di Gunung Fansipan di Vietnam 4 tahun lepas. Walaupun terbentang bermacam-macam warna di sekeliling bukit yang ditanami teh ini, hanya hijau di bawah dan putih di atas sahaja yang kelihatan.  Dari jauh kelihatan tompokan pekan Ringlet yang paling kecil dari 3 kawasan utama di Cameron. Apabila kami memandang ke belakang semula dari laluan trek kami, 4 anjing tadi terus merapati dan mengikuti kami samada berada di belakang atau di antara kami dengan kadang-kadang menuruti laluannya sendiri di celah-celah pokok teh.


Sepanjang awal pendakian kami bergambar bersama kamera masing-masing. Terdapat pondok persinggahan sementara di lereng kebun teh. 3 suku perjalanan selesai di kebun teh, kami masuk ke trek hutan. Hampir sejam perjalanan baru kami tiba di puncak pertama iaitu Gunung Cantik yang terletak di simpang sebelah kiri bersama 4 ekor anjing tersebut. Selesai bergambar, kami ke simpang kanan ke puncak Gunung Centuk.  Kedua-dua puncak gunung ini dipisahkan dalam 5 minit perjalanan. Tiada Beirut dan hanya batu atau besi panjang paras lutut dan bezanya puncak Gunung Centuk berada di dalam hutan manakala puncak Gunung Cantik di lereng. Diiringi 4 ekor anjing tadi, kami turun ke kereta kami untuk ke gunung seterusnya.


Dalam pukul 10:58 pagi kami turun.  Dalam perjalanan turun baru kelihatan laluan lereng bukit yang sempit. Dalam masa 15 minit, kami sampai di simpang yang terdapat kuil. Kami meneruskan perjalanan mendaki dan bergerak ke kaki Gunung Beluat. Ramai yang tidak tahu terdapat tinggalan landasan kapal terbang British di sini tapi jarak landasannya tidak jauh.  


Kami bersiap dan bergerak pada pukul 11:30 pagi. Walaupun pada asalnya terdapat kesan trek serta 2 papan tanda hutan simpan namun laluan trek tiba-tiba hilang. Djan Rock menggunakan kidmat GPS untuk menjejak semula trek-trek yang hilang dengan menanda terus ke puncak maka acara merintis pun bermula. 40 minit kemudian kami sampai ke puncak Gunung Beluat. Selepas bergambar, kami melalui trek asal di sebelah kiri dan sampai ke kereta. Kami berehat seketika untuk makan tengahari. Menu Pulut, Ikan Kering serta Sambal Tumis disediakan. Rakan kami Syahrul menambah beberapa kali pulut yang merupakan makanan kesukaannya . Tidak lama kemudian hujan turun agak lebat.


Selesai makan, kami menuju ke Kampung Sungai Ruil yang terletak di Tanah Rata. Perjalanan sejam kami tiba di kawasan orang asli. Untuk ke Gunung Ruil yang terletak bersebelahan Gunung Perdah dan Jasar, kami melalui belakang rumah orang. Cuma 10 minit diperlukan dan tepat jam 3 petang kami sampai di puncak Gunung Perdah dulu dari simpang ke Gunung Jasar dan Ruil. Kami bergambar dan keluar semula ke simpang dan menuju ke Gunung Ruil melalui trek Gunung Jasar namun keliru dengan trek dan berpatah balik. Hasil dari maklumat orang kampung kami bergerak satu rumah orang asli dan kelihatan trek ke Gunung Ruil.


Hujan sekali lagi turun tapi tidak lebat. Sejam perjalanan, kami tiba di puncak Gunung Ruil. Terdapat beberapa persoalan di sini dimana rakan kami Anep pernah ke sini tapi terdapat sungai katanya. Namun terdapat batu tanda sempadan besar Perak dan Pahang yang berhuruf A dan menguatkan sangkaan bahawa inilah puncaknya.


Pukul 6 petang kami turun dan solat di surau berhampiran. Kami bersiap ke pekan Brinchang untuk makan malam. Apa yang mengecewakan kami malah pemandu lain adalah kesesakan di Brinchang di kawasan tumpuan terutama di pasar malam. Terdapat double parking , terhad dan pemandu yang pentingkan diri sendiri. Ternyata tiada langkah yang diambil oleh pihak berkuasa sebaliknya bertambah lagi gerai-gerai yang dibuka di jalan utama yang sempit. 


Selesai makan, kami bermalam di Kem Sungai Pauh yang merupakan kawasan rekreasi tumpuan pelajar mahupun pendaki. Kami sempat berjumpa beberapa rakan xkresma yang bermalam di tempat sama. Sebelum tidur, Ramli dan Syahrul menyediakan sarapan dan makan tengahari untuk esoknya. 

15 Disember 2012

Hari ini kami bergerak dari Kem Sungai Pauh ke kaki Gunung Siku agak lewat memandangkan kami sudah mendaki 5 puncak gunung dalam seharian dan hujan yang turun diawal pagi. Sejam lebih perjalanan kami tiba di laluan ke Simpang Pulai. Di kiri terdapat kebun sayur dan kami masuk meredah laluan berbatu dan berair. Sekiranya menaiki kereta biasa, maka kereta terpaksa berhenti di simpang dan perjalanan ke puncak Gunung Siku mengambil masa 2 jam. Tapi kami masuk terus ke dalam sehingga tiba di akhir jalan. Sebaik bermula, kami perlu merentasi balak dan besi di laluan sungai di kelilingi kebun cili hijau. Pada ketinggian 1485 meter, kami bergerak menaik sahaja dan tiada turun. Kelihatan batu besar di sebelah kiri di awal pendakian dan batu besar di kanan di akhir pendakian. Memang tiada tanda trek menurun. Sekitar pukul 12.10 tengahari dalam sejam setengah perjalanan kami sampai di puncak Gunung Siku pada ketinggian 1916 meter. 


Puncak Gunung Siku sama seperti puncak lain, tidak besar dan dikelilingi pokok daun resam. 20 minit di puncak dan bergambar, kami turun. Perjalanan turun kali ini berpecah pada 3 kumpulan kecil. Saya dikumpulan ke-2 dan duduk dibelakang sekali. Di depan saya adalah Daoos, kemudian Anep dan di depan sekali ayahnya Pak Cik Lin. Perjalanan menurun terasa begitu mudah sekali dengan bantuan pokok-pokok berbatang kecil yang mudah di pegang. Sesekali perjalanan turun ada yang menaik namun tiada yang perasan apatah lagi Pak Cik Lin yang sudah jauh didepan. Batu yang sepatutnya ada tidak kelihatan namun pada perasaan saya, mungkin jalan sama memandangkan laluan menurun terus ke bawah. Tiba di ketinggian 1575 meter kelihatan laluan mendaki dan rakan-rakan di depan sudah dapat merasakan kelainan trek. Pak Cik Lin terus di depan dan terdapat sebatang balak perlu dilalui. Ini mengesahkan yang kami sebenarnya sudah lama tersasar namun tiada yang perasan. Kami kemudian mengundur atau backtrack. Oleh kerana laluan trek tidak jauh dan masih berada di zon pencawang berhampiran, maka kami terima beberapa panggilan telefon untuk mengetahui kedudukan kami. Teman di sana memberitahu bahawa rakan di belakang kami sudah sampai ke kereta.  Kami mula mendaki semula sehingga menghampiri ketinggian Gunung Siku. Di satu laluan terdapat laluan yang ditutup maka kelihatan trek di satu lagi laluan yang sepatutnya kami lalu. Satu lagi panggilan di buat dan mengesahkan kami selamat dan mula turun. Kami tiba di kereta pukul 3.55 petang. Berbagai post-mortem di dengar dan mungkin ada gangguan atau berlaku unsur-unsur mistik atau Pak Cik Lin melanggar penanda yang sudah ada lama di situ tanpa kami dibelakang tau. Wallahualam.


Oleh kerana sudah lewat, maka Ramli selaku ketua expedisi mengubah rancangan asal dari naik gunung Yellow dan Pass kepada Gunung Brinchang sahaja. Kami bergerak ke Surau Kampung Raja pada pukul 4 petang. Hujan mengiringi lagi namun kami teruskan dengan melalui kesesakan jalan yang teruk. Kami tiba di puncak Gunung Brinchang pukul 6.40 petang. Terdapat banyak pencawang di puncak Gunung Brinchang yang berada pada ketinggian 6666 kaki. Pukul 7.30 malam selepas bergambar kami ke Kampung Raja semula untuk bermalam tapi kami perlu mencari kedai makan yang sangat terhad. Kami tiba di Restoren Husnan Corner tapi kehabisan nasi dan hanya makan burger. Pukul 9.30 malam kami kembali ke surau Kampung Raja. 


16 Disember 2012

Tidur di surau maka mudah untuk kami berjemaah solat Subuh. Persiapan awal perlu dibuat memandangkan kami tidak mahu lewat pulang ke rumah. Pukul  7:25 pagi, kami ke kaki Gunung Yellow dan Pass di mana terdapat tanda huruf besar di lereng batu di jalan utama ke Simpang Pulai. Hanya 20 minit diperlukan ke puncak Gunung Pass. Pukul 8.30 pagi selepas bergambar kami turun ke trek Yellow. Awal trek sudah 2 bukit menurun kemudian rata selama 5 minit kemudian turun naik beberapa kali sambil terdapat 2 bukit botak. Sepanjang trek terdapat banyak batu segi empat yang bertanda sehingga di puncak. Sangkaan bahawa akan tiba lewat padam bila pukul 11 pagi kami sudah tiba di puncak Gunung Yellow iaitu puncak ke-9 kami. Di sini batu tanda terakhir ditulis dengan nombor 341. Dengan puncak yang lebih luas kami bergambar lagi untuk setengah jam. Kami turun dan tiba di kaki lebih kurang pukul 2.45 petang.



Rancangan ke Gunung Suku terpaksa ditunda kerana kesuntukan masa walaupun sudah berada di kaki Gunung Suku yang terletak di jalan raya. Kami terus keluar ke lebuh raya dan makan malam di Bidor.

Selesai semuanya kami pun mengucapkan selamat tinggal semua setelah aktiviti selesai. Saya tiba di rumah pukul 12 tengah malam. Sekian expedisi untuk kami ini. Terima Kasih

1 comments:

  1. SAPE YANG BOLEH BANTU SAYA UNTUK SAMPAI KE GUNUNG CANTIK DAN BLUAT DI BOH ESTET CAMERON HIGHLANDS TU. 0194930235

    ReplyDelete