Trans Bintang di Selama

Salam,

Trans Bintang, satu lagi ekspedisi merentasi banjaran yang digeruni. Bukan kerana meniti jaluran bintang di angkasaraya tetapi tak ramai yang mampu mengharungi treknya dengan penuh bergaya. Trans Bintang terletak di utara Malaysia dan memotong puncak Gunung Bintang. Dulu naik dari Sungai Sedim tapi sekarang naik dari Selama sempadan Perak dan Kedah dan turun di Ba Ling , Kedah. Seramai 25 orang peserta dari Orang Gunung Kuala Lumpur(OGKL) bakal membawa cabaran kali ini diketuai oleh Besek Sarina dan ajk sokongan. Kami berkumpul di Puduraya menaiki bas tapi saya menaiki komuter di KL Sentral ke Rawang menemani Ramli yang akan beroutstation di Juru, Pulau Pinang sebaik habis ekspedisi. Cuti 4 hari termasuk satu hari kerja dikorbankan kerana masa yang panjang diperlukan.

Di Kuala Lumpur, jalan sesak terutama yang hendak keluar kawasan. Hari cuti yang panjang sudah pasti ramai yang ingin keluar. Bas yang sepatutnya bergerak pukul 10.30 malam dan akan berhenti lagi di Jalan Duta masih belum tiba. Menaiki komuter juga terdapat gangguan teknikal dan terpaksa menunggu. Saya tiba di Hentian Rawang lewat tengah malam dan bergerak keluar melalui lebuhraya utara selatan bersama Ramli.   

22 Disember 2012

Pukul 2.45 pagi kami tiba di Hentian Sungai Perak dan sempat tidur dalam sejam. Kemudian kami bergerak semula dan tiba di simpang Bandar Taiping dan terus ke stesyen bas Kamunting. Di sana bas dari Kuala Lumpur sudah sampai bersama rakan-rakan dari Ipoh, abang Ayien dan rakan-rakannya. Turut serta 2 rakan dari Pulau Pinang, Ferhad dan Tina. Kami susun beg bertindih di kenderaan paduan 4 roda atau 4wd abang Ayien. Selain Ramli satu lagi kenderaan Pick up turut serta. Kami bergerak ke Selama namun tak disangka terlupa seorang lagi rakan dari Kelantan, Taha yang tidur di tempat lain lalu singgah semula dan mengambil dia.


Sampai di Selama kami singgah solat Subuh di Masjid Selama. Kami bergerak ke kedai Mali iaitu penunjuk arah kami atau guide. Setiba di sana, kami bersarapan dan bersiap.


Kami bergerak dan tiba di simpang dan memasuki kawasan trek 4wd.


Laluan ni memang sesuai untuk mereka yang lasak dengan kenderaan tersebut. Setengah jam kemudian kenderaan kami mula terjebak dengan mendapan tanah merah. Sambil mengerah tenaga dan menggunakan skil pacuan 4wd, abang Ayien menggunakan kepakaran menggerakkan 4wd. Tiba di laluan sungai 4wd kami tersangkut lagi. Kali ini tersilap perkiraan melalui laluan dasar berpasir sehingga tersangkut agak lama di situ.



Dengan peralatan yang terhad serta usaha menaikkan 4wd beramai-ramai gagal, tali digunakan untuk menaikkan 4wd menggunakan 4wd Ramli. Hasilnya berjaya juga merentasi sungai yang tidaklah lebar mahupun dalam. Kami bergerak lagi namun tidak jauh kerana laluan semakin sukar dan salah satu kenderaan tidak mahu mengambil risiko.




Kami bergerak dalam 3 kilometer melalui jalan balak ke satu lagi anak sungai sebelum berhenti. Laluan trek dipintas oleh pencawang-pencawang menuju ke satu tempat yang tidak diketahui. Kami berhenti rehat di satu kawasan yang terdapat bangsal pembalak berehat.



Selesai solat zuhur, kami meneruskan perjalanan. Mali bercadang untuk memotong trek terus ke atas lalu kami masuk ke hutan di belakang bangsal dengan trek mendaki 70 darjah. Selang 5 minit mendaki terdapat sebuah pokok balak berskala besar mungkin antara yang terbesar di sini. Maka bunyi-bunyi libasan parang masing-masing dari barisan depan sehingga di sambung ke belakang bermula. 


Perjalanan kami diteruskan dan dijangka tiba di puncak Gunung Bintang Selatan untuk bermalam namun ketiadaan air, Setelah 4 jam berjalan, kami berhenti di Kem Permatang atau Kem Air yang menjadi tempat bermalam kami. Kami menebas dan merata tempat tersebut . Tempat memang cantik selepas dibersihkan.




Selepas siap membentang kemah, kami turun mencari air atau waterpoint. Waterpoint di sini merupakan antara yang paling sukar dan nasib kami belum tukar pakaian kerana pasti pakaian akan kotor semula. Kurang tempat berpaut dan menunduk mengelak balak paras pinggang, kami tiba di waterpoint yang kecil tapi laluan air agak banyak. Kami bersiap untuk solat dan makan malam sebelum tidur untuk menyambung perjalanan esok. 

23 Disember 2012

Pukul 7 pagi bersarapankan sup cendawan dan nasi goreng kampung, kami meleraikan kemah dan bergerak ke atas lagi. Baru 2 minit berjalan terdengar bunyi larian laju dari atas. Rupa-rupanya rusa melintas di depan dan lari entah dari mana. Razman berada di depan memberitahu rusa tersebut baru melintas di sebelahnya dan menjangkakan dikejar oleh binatang yang lebih besar. Kami perlu berjaga-jaga. Berhenti di satu kawasan lapang, terdapat kelibat lipan bara yang berwarna oren. Kami bermain dengannya seketika sebelum meneruskan perjalanan. Setengah jam berlalu kami berehat lagi. Kata Mali puncak lagi 600 meter tembak terus. Sejam perdakian baru kami tiba di puncak Gunung Bintang Selatan berketinggian 1560 meter. Puncaknya tidak luas cukup untuk kami berehat dengan pergerakan terhad. Selepas bergambar, kami meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Bintang Utama. Puncak Gunung Bintang merupakan salah satu aktiviti OGKL pada penghujung tahun 2007. Masa itu kami bermula dan turun di Sungai Sedim.


Pukul 4.30 petang, kami tiba di punca air terakhir. Perjalanan menurun mengambil air merupakan satu lagi laluan sukar sampai ade yang terjatuh. Di kesempatan ini juga kami sempat solat dengan air dan ruang terhad. Selesai solat, kami meneruskan perjalanan mendaki lagi dan seketika turun dan naik semula. Trek yang sudah mula berlumpur bagai menambah azam untuk lekas sampai ke puncak. Sekali sekala kami lalu permatang dan cerun berpasir. Betul-betul memandang ke bawah adalah gaung. Semakin lama berjalan, semakin berselut trek. Sambil berehat di satu tempat, kata Mali kami lalu di laluan gajah yang baru dan menjangkakan sejam akan tiba di puncak yang menjadi tempat bermalam. Selepas meredah lumpur yang mengotorkan baju terutama seluar kami, kemsite sudah berada di depan mata. Walaupun cuma 30 meter dari kemsite, rupanya trek berlumpur lebih tinggi dari sebelum ini. Mungkin lebih dalam separas pinggan kalau tidak berhati-hati kaki boleh termasuk ke dalam.


Di kemsite, kemah didirikan memanjang dan rendah. Kesejukan angin malam di ketinggian 1860 meter ini serta gerimis memberi tekanan untuk segera bersiap.  Menu nasi putih, sambal tumis tempe serta ikan bilis dan sayur goreng menjadi hidangan kami. Selepas makan malam dan solat, kami bersiap untuk tidur.Bagi yang tidur di sebelah tepi dan gerimis sentiasa datang membasahi, agak susah untuk mengelak dari terkena air hujan. Atas keperihatian rakan, Ajib datang untuk menutup ruang angin yang ada.



24 Disember 2012

Hari ini bangun agak lewat kerana sejuk dan kekuatan untuk bersiap merosot secara mendadak. Walaupun perjalanan masih 10 jam seperti hari-hari sebelum ini tetapi kami kekal fokus tidak bergerak sebelum matahari tegak. Di puncak yang terletak sebelah, kami bergambar beramai-ramai. Setelah bergamar, kemah diturunkan.


Di suatu sudut kelihatan trek ke Sungai Sedim yang memotong kemsite kami. Perjalanan ke puncak Bintang Utara dimulakan sama seperti semalam kerana kami bermain disekitar ketinggian 1700 meter naik dan turun. Ini bermakna kami sudah merasa sejuk, basah dan selut sepanjang 2 hari ini. Trek yang adakala di panggil trek lagenda ini kerana tak ramai yang melalui dan darjah kesukaran hampir menyerupai trek V2 atau gerah atau mana-mana trek yang lebih 2 hari perjalanan. Kami bergerak dan turun lalu berhenti di air terjun. Sempat makan tengahari dan solat, kami memikul air sama seperti semalam menuju ke puncak Bintang Utara. Laluan pokok berduri kata Mali kami akan sampai ke simpang Bendera iaitu ke puncak Bintang Utara Tipu. Di simpang ini cuma 2 minit ke puncak  yang cuma beberapa orang boleh berpijak. Di puncak ini juga di atas pokok ada tiang bendera.  Ini adalah puncak berdasarkan penduduk Ba Ling ketika itu tiada ukuran lalu mereka menamakan ini puncak Bintang Utara.


Ke puncak Gunung Bintang Utara cuma kurang 20 minit. Kami tiba di puncak dengan kawasan yang terhad untuk mendirikan kemah. Di suatu tempat kami menebas kawasan tidak jauh dari kemah utama lalu memasang kemah. Di sini kurang sejuk kerana di kelilingi pokok-pokok. Selesai memasang kemah kami solat dan menunggu makan malam dan tidur.  

25 Disember 2012

Hari terakhir di ketinggian 1844 meter kami makan cekodok sahaja. Mali mengatakan kami perlu melalui trek baru dan tak pasti berapa lama akan sampai ke tempat Pak Teh yang akan ambil kami nanti sebelum keluar terus ke stesyen bas Bandar Ba Ling. Sementara bas pula akan bergerak pukul 10 malam maka kami harus segera bergerak turun. Dari ketinggian 1800 meter paras sudah turun ke 1100 meter dengan trek yang tidak pernah dilalui dan tidak dijangka.

Melalui kawasan buluh, resam serta balak melintang, melangkah atau menunduk kayu-kayu melintang lama-lama sudah menjadi biasa atau dalam erti kata lain menyondol trek yang belum ditarah. Mali mula menebas sejak semalam dan kelmarin diganti oleh rakan-rakan lain yang turun serta. Trek yang menurun dan beberapa kali tiada tempat memegang dan sudah pasti kami jatuh beberapa.



Kami tiba di sungai pukul 5.30 petang. Sambil membasuh pakaian yang penuh lumpur dan solat, masa tidak mengizinkan untuk lebih lama. 15 minit kemudian kami bergerak menyusuri Sungai Kupang sebelum bertemu dengan trek balak sebenar. Setelah berhenti Maghrib, kami bergerak melalui trek balak lama. Kami tiba di Kem Sungai Kupang dimana sepatutnya kenderaan pacuan 4 roda atau 4wd sudah menunggu di sana. Di beritakan laluan terdapat runtuhan jadi kenderaan tidak dapat dilalui. Tanpa menunggu lama, kami sambung berjalan lagi dan kemungkinan tak sempat menaiki bas. Sepanjang trek laluan merah ini terdapat banyak tanah runtuh. Sudah pasti 4wd tidak akan mudah meredah kawasan seperti ini. Hampir sejam perjalanan barulah berjumpa Pak Teh, Pak Ngah dan Ravi yang sudah lama menunggu di sana. Setelah berhubung dengan rakan di Baling, diberitahu bas akan bergerak pukul 12 tengah malam nanti.


2 kenderaan diperlukan untuk menunggah masuk beg-beg kami dan membawa kami keluar.  Sejam lebih kami menaiki 4wd kami tiba di Lata Chelak. Kami sambung perjalanan ke stesyen bas Baling. Kami tukar baju dan terus menaiki bas. Bas singgah ke Hentian Sungai Perak. Ada yang makan atau mandi selebihnya tidur dalam bas. Kami tiba di Hentian Pudu pukul 4.50 pagi.

Sekian sahaja ekspedisi kali ini. 

0 comments:

Post a Comment