Sulawesi singgahan perdana ku


Salam,

Setelah 6 bulan menanti satu lagi ekspedisi antarabangsa, saya mengalami kebuntuan untuk mendapatkan penunjuk arah atau guide di Makassar, satu bandar destinasi pelancongan namun kami bercadang untuk mendaki gunung-gunung sekitarnya. Bersama rakan-rakan yang sudah mendaki Gunung Dempo tahun lepas, kami berlepas juga ke Makassar. Perbincangan awal tahun selama berbulan-bulan dengan guide berhenti 2 hari sebelum tarikh berangkat akibat masalah hujan atau badai di mana guide kami yang asal merasa tidak mampu mengambil risiko meneruskan pendakian.



Hari pertama

Secara ringkasnya Sulawesi merupakan pulau ke 4 terbesar di Indonesia dan ke 11 di dunia. Sulawesi adalah cantum 2 perkataan di mana sula adalah nusa yang bermaksud pulau manakala wesi atau mesi adalah logam. Dahulu Sulawesi merupakan pusat perdagangan bijih besi. Sulawesi pernah diduduki oleh Pertugis, Belanda dan Jepun. 

Segala persediaan sudah dirancang dan buat pertama kalinya kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hasanuddin pukul 4 petang. Terdapat 3 kaunter ketibaan yang aktif pada masa ini. Keadaan agak kecoh sedikit di salah satu kaunter di mana ada pengunjung yang datang bersama keluarga perlu menunjukkan penyata penerbangan pulang. Selesai dengan mereka, kami diarahkan ke kaunter yang sama. Kami juga dikehendaki menunjukkan penyatan penerbangan bila pulang nanti. Tanpa dokumen tersebut saya bergegas ke pejabat Airasia untuk mencetak seperti yang diminta. 

Setelah keluar, kami menuju ke kaunter berhampiran untuk membeli talian telepon tempatan Simpati serta data plan dan bertanyakan bantuan guide ke Lompobatang dan Bawakaraeng. Kata seorang petugas di kaunter ada rakan-rakannya boleh membantu untuk membawa kami ke sana. Saya juga mendapat bantuan dari rakan di sini Achi Pe Tong yang merupakan kenalan di antara rakan kami yang pernah tiba di sini namun beliau berada di Kalimantan ketika ini dan beliau sekadar membantu melalui telepon.

Bila suasana semakin lewat, kami mengambil keputusan untuk bermalam di Bandar Makassar. Buat masa ini kami menyewa 2 buah kereta Avanza sekitar 300k ruppiah dan merancang menyewa di mana-mana bilik backpackers yang murah.

Sedang dalam perjalanan ke Bandar,  Achie menyuruh kami menelepon nombor yang diberikan. Selesai menelepon kami diarah berjumpa dengan seorang teman di Wisma Benhill, 45 minit dari airport. Kami berkenalan dengan Osman dan Ryan yang bakal menjadi guide kami.

Setelah selesai berurusan dengan bilik dan menghantar beg, kami singgah makan malam di gerai di tepi jalan untuk berbincang tentang masa depan kami di Makassar. Perbincangan antara saya, Ramli, Oman dan Rian terarah kepada Gunung Lompobatang dan kembarnya Bawakaraeng serta Gunung Putri untuk selama 5 hari kami di sini. Rupanya kata mereka Gunung Putri adalah satu jalur sahaja sama juga jalur yang juga dipanggil Gunung Putri di Taman Nasional Gede Pangrango.



Perbincangan berterusan dengan mencari gunung berstatus daypack iaitu tidak bermalam. Pertukaran danpindahan masa gunung mana harus didaki dahulu menjadi agenda utama serta keperluan kenderaan untuk bergerak. Sekali lagi nama Gunung Sesean yang terletak di Tana Toraja disebut. Dengan kondisi Lompobatang dan Bawakaraeng mengambil masa 4 hari dan ada kisah misteri yang tidak pasti di tengah-tengah perjalanan di antara Lompobatang dan Bawakaraeng, Osman mencadangkan Gunung Bulu Saurung serta Nepo dimasukkan dalam senarai mendaki memandangkan ianya berstatus daypack tapi jarak nya jauh. Akhirnya kami sepakat mendaki Gunung Bulu Saurung dahulu diikuti Gunung Nepo dan berakhir du Bawakaraeng sahaja. Kami bersetuju dan mengharapkan kenderaan dapat disewa esok dengan kos yang murah.

Hari Ke-2

Hotel 3 bintang Benhill agak sempit kalau di lihat dari dalam. Hanya tilam serta ruang bergerak yang terhad dan bilik air sahaja disediakan. Terdapat sedikit masalah dimana 3 dari kami adalah rakan wanita oleh itu ada yang tidur seorang dan ada yang bakal berhimpit nanti.

Berita gembira di mana kenderaan sudah berjaya di sewa dan harga sangat berpatutan. Kami bersiap untuk terus keluar dan bersarapan dengan roti yang disediakan. Kedengaran cerita tembak dinding mula menghiasi pagi kami. Serangan dinding kata rakan semua ada kesannya. Syukur bilik saya dan Ramli tiada kesan tersebut. Patut la mereka bilik kami bagus.

Pukul 9 pagi, 2 kenderaan Avanza sedia menanti. Setelah beg dimasukkan ke dalam kenderaan, kami diberitahu perjalanan bertukar lagi. Kali ini kami perlu mendaki Gunung Bawakaraeng dahulu kemudian 2 gunung seterusnya. Terbayang kami akan berjalan waktu malam sudah hampir pasti atau OT overtime. Apa sekali keadaan pun kami redha sahaja. Perjalanan selama 3 jam lebih kami singgah membeli barang-barang keperluan seperti tabung gas, gula, telur dan lain-lain. Kami tiba di Desa Malino sebuah kawasan perlancongan sederhana yang dahulunya merupakan kawasan jajahan orang Belanda.



Kami berhenti makan tengahari di satu restoran. Kami memesan nasi goreng serta makanan untuk mendaki nanti. Harga di sini masih murah. Di depan restoran terdapat beberapa ekor kuda untuk disewa. 

Sekitar pukul 1 tengahari kami solat dan bersiap menuju ke perkampungan merupakan Lembana yang merupakan permulaan untuk mendaki Gunung Bawakaraeng.  Setiap rumah di Lembana merupakan tempat rehat atau meletakkan beg bagi pendaki yang ingin mendaki 2 gunung ini. Ini kerana tuan rumah juga merupakan pendaki yang krang aktif dan mereka memahami jiwa seorang pendaki.




Setelah masing-masing bersiap, kami memulakan pendakian daypack ke Gunung Bawakaraeng pada pukul 215 petang. Selang 500 meter terdapat gerbang dan papan tanda menunjukkan perjalanan mendaki Gunung Bawakaraeng. Perjalanan merentasi kebun, memanjat titi, kami tiba di Pos 1 dalam 30 minit sahaja. Di Pos 1 ada diceritakan kisah tempat ini didirikan. Di antara Pos 1 ke Pos 5 hanya Pos 2 ke Pos 3 sahaja cuma 5 minit perjalanan. Treknya banyak berbatu-batu. Kami tiba di Pos 5 pukul 4.40 petang untuk berhenti berehat sambil menunggu rakan di belakang. Perjalanan ke Pos 5 adalah mengikut jadual bahkan tiba lebih awal dari jangkaan biasa.

Menuju ke Pos 6 kelihatan pokok-pokok yang tidak mempunyai daun-daun tumbuh disekitar kawasan. Trek pada masa ini agak mendaki dan sekali sekala laluan berbukit ini dapat melihat kawasan pantai berhampiran. Kak Siti sudah mula terasa sakit di kaki atau krem. Perjalanan mula menjadi perlahan.

Kami menuju ke Pos 7 dalam waktu maghrib sambil headlamp sudah bersiap untuk di pasang. Pada ketinggi sekitar 2000 meter, Pos 7 menuju ke Pos 8 merupakan cabaran sebenar kepada trek ini .Trek terus menurun sehingga hampir 1300 meter sebelum naik semula. Kami tiba di Pos 8 pukul 10 malam. Di sini terdapat khemah didirikan oleh pelajar-pelajar yang tiba awal tadi. Kami dihidangkan kopi segera oleh mereka.

Selepas berehat dalam 20 minit, kami meneruskan perjalanan. Tidak jauh dari sini terdapat kawasan air terjun. Dari Pos 8 sehingga ke Pos 9 sekitar 30 minit. Di Pos 9 juga terdapat khemah didirikan. Di sini 20 minit sahaja diperlukan ke Pos 10. Dari sini puncak Bawakaraeng kelihatan di waktu gelap. Kami tiba di Pos 10 pukul 12.10 tengah malam dengan suasana yang sangat sejuk. Di bawah sebuah batu besar kami berselindung untuk berehat. Ramli menyediakan air dan makanan. 



Sekitar pukul 2 pagi. kami bergerak menuju ke puncak Bawakaraeng pada ketinggi 2830 meter. Sejuk sangat di puncak dan tiada pemandangan. Tidak mudah bergambar dengan suasana begini. Hanya gambar seorang sahaja boleh.  Tidak tahan dengan kesejukan yang sangat sejuk dalam 20 minit sahaja kami sudah turun dan bersiap untuk terus keluar dari Pos 10. Perjalanan saya, Ramli serta Taha dan Rian berpisah dengan rakan di depan. Kami tiba di antara Pos 8 ke Pos 7 pukul 6 pagi. Setelah solat subuh dan tidur sekejap, kami meneruskan perjalanan. Kami tiba di Pos 5 sekitar pukul 9.30 pagi. Kami bersarapan dengan makanan yang kami bawa cukup untuk menampung pagi sahaja.

Hujan pagi yang rahmat telah mempercepatkan perjalanan kami. Kami tiba di tempat permulaan mendaki pada pukul 2 petang. Hujan masih turun mencurah-curah. Dalam bersiap untuk keluar, tuan rumah ada menyediakan nasi untuk kami makan. Terima kasih sekali lagi pada tuan rumah kerana menumpangkan kami sehari. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Makassar. Pak Supir kami seperti pak supir lain memandu laju seperti tiada penghujung jalan dan tiada kenderaan melawan arus.




Atas permintaan Apis, kami singgah di sebuah restoran yang menyediakan sajian makanan petang seperti pisang goreng, ubi goreng serta karipap. Nama-nama seperti jalan kote yang terdapat di dalam menu menjadi pilihan kami. Pisang goreng yang diubah suai dengan penambahan coklat dan keju menjadi pilihan kami di petang hari.



Selesai makan perjalanan diteruskan untuk bermalam. Hujan turun agak lebat. Perjalanan mencari hotel dalam waktu yang lewat ini bermula lagi. Saya tidak mempunyai pilihan untuk menunggu lama kerana masa sudah semakin lewat. Jadi sampai di satu hotel selepas memeriksa keadaan bilik, saya terus menyewa. Namun tidak di sangka masih ada bilik yang mempunyai kesan tembak dinding maka kami tukarkan bilik yang ok untuk rakan wanita. Namun masalah yang tidak disedari adalah pintu bilik air yang lut sinar. Tidak di sangka ada juga bilik air yang boleh dilihat. Kami membetulkan situasi tersebut dengan meletakkan meja berkaca untuk menutup sebahagian kawasan.


Sebaik selesai masalah pintu lutsinar, kami pergi makan di gerai seberang jalan. Lauk yang dipesan seperti yang dirancang awal-awal adalah ikan goreng. Ternyata ikan yang di goreng adalah segar dan sangat murah. Ikan yang namanya mengikut kawasan di sini sangat sedap dan manis. Masing-masing makan dengan berselera tanpa memikirkan masalah pintu lutsinat dan tembak dindang.

Hari ke 3

Kami merancang keluar seawal pagi untuk mendaki Gunung Bulu Saurung. Persiapan awal seperti biasa akan menjadi lambat kerana faktor kepenatan dan perjalanan. Kami lewat bergerak menuju ke permulaan trek. Kenderaan Avanza kami mengisi minyak atau benzin di simpang masuk dan kami singgah untuk makan tengahari seawal pukul 11 pagi .



Perjalanan diteruskan dengan memasuki kawasan yang terletak di Desa Tompobulu di Kecamatan Balocci. Jaraknya dari simpang adalag sekitar 8 km. Pendakian ke tempat ini seperti mendaki Gunung Hijau di Taiping namun kami tidak menukar kenderaan lain. Jalannya agak berbatu dan keras serta berpusing-pusing. Ketika hampir tiba di sana, sebuah balak tumbang merentasi laluan. Nasib ada beberapa orang di sekitar kawasan yang kebetulan membawa parang panjang. Kerja menebas balak bermula. Dengan tangan kidal, penduduk tersebut mula menebas. Sekali tebasannya memakan banyak isi dan balak tersebut berjaya di belah selepas di tebas kurang 10 minit. Kami bersama mengalihkan balak tersebut.



Dalam 5 minit kami tiba di tempat di tuju. Di sini terdapat penjaga di pintu masuk. Bagi orang tempatan dikenakan bayaran 3000 ruppiah manakala orang luar 20k ruppiah. Atas bantuan Osman, kami cuma membayar 3000 ruppian sahaja. Kami solat dan mula bersiap untuk bergerak pada pukul 2 petang. Sebaik perjalanan bermula, terdapat satu gerai menjual pisang goreng serta jalang kote atau karipap yang berisi meggi. Kami merasa makanan tersebut. Pos 1 tidak jauh dari sini. Menuju ke pos-pos berikutnya sudah ditandakan jaraknya. Di Pos 7 terdapat pencawang manakala di Pos9 terdapat kemsite yang luas untuk mendirikan khemah. Kami tiba di puncak Bulu Saurung yang berketinggian 1,353 meter pukul 5 petang kurang dari 4 jam seperti yang diwar-warkan. Suasan di puncak sangat berangin dan pemandangan masih putih dan sekali sekala nampak sekitar penempatan. Kami dapat bergambar juga walaupun tidak banyak. Rian yang agak pemalu mula mengambil gambar kami dengan kiraan yang agak sensitif 'Satu ... Tua ... Bangkaaa '.




Setelah lama bersejukan di atas sekitar pukul 6 lebih kami turun semula. Di sini waktu maghrib sangat cepat. Saya yang dibelakang seperti biasa tiba semula di bawah sekitar 7.30 malam. Sekitar pukul 8.15 malam, kami bersiap untuk keluar. Perjalanan menuju ke utara Sulawesi agak lewat dan gelap. Kami tiba di satu kawasan untuk makan malam. Namun hidangan yang menanti adalah seperti jagung rebus putih, garam sambal kering sambil menghirup kopi yang sangat sedap. Di sini kami terjumpa satu perkataan frasa yang berbunyi 'Mau bikin apa kalau sudah hobi' sebaik perjalanan di sambung.

Sejam selepas berhenti, kami bergerak lagi menuju ke Wilayah Pare-pare yang terletak di pantai. Kami berhenti lagi buat kali ke 2 untuk bertemu dengan rakan-rakan petualang di sana. Kali ini kami makan secara ringan-ringan. Ramli memesan kopi arang di air kopi di bubuh arang yang masih berbara yang kemudiannya terbalikkan untuk menambah perisa. Kami kemudian meneruskan perjalanan ke sebuah universitas untuk bermalam di situ.

Hari ke 4

Sebaik tiba di sana, kami mengatur strategi untuk ke Gunung Nepo. Dengar cerita ada teman di sini bersama mendaki namun tidak pasti siapakan gerangan yang akan mengikuti nanti. Walaupun tidur cuma 2-3 jam namun kami dapat bangun untuk menyiapkan sarapan dan makan tengahari. Sekitar pukul 9 pagi kami sudah siap makan dan bergerak ke kaki Gunung Nepo. Di sini kami berkenalan dengan Pak Sayuti, seorang pensyarah serta beberapa rakan pelajar.



Secara ringkasnya kami berkenalan agak singkat dengan mereka. Di singkatkan lagi perjalanan mendaki Gunung Nepo adalah sekitar 4 jam walaupun ketinggian gunung ini cuma 1000 meter sahaja. Perjalanan awalnya adalah menaik kemudian rata. Di Pos 1 terdapat pemandangan laut di Pantai Pare-pare serta pemandangan gunung di sebelah kanan.



Di sini terdapat 2 trek. Satu terdapat di tempat kami berehat manakala satu lagi di atas bukit tempat melihat pemandangan. Kami bergerak menuju ke Pos2 yang agak jauh. Di Pos 2 terdapat sebuah pondok bersaing besar sedikit. Kami berhenti di situ seketika sambil menanti rakan di belakang. Perjalanan diteruskan menuju ke simpang. Di sini kami memasuki satu kawasan hutan semula sekitar 20 minit. Kami keluar lagi dan perjalan terus menaik. Di sebelah kanan terdapat pemandangan laut yang lebih jelas.

Dari atas bukit tadi. Perjalanan jauh diteruskan dan kami berhenti di satu pondok yang berlatarbelakangkan beberapa buah bukit. Bukit-bukit berwarna hijau dan jauh-jauh ini seakan memberi insyarat bahawa puncak Nepo semakin menghampiri.

Pak Sayuti yang memiliki wajah seperti Uncle Seekers berjalan paling belakang bersama Apis dan baru tiba. Tiba-tiba di pos terakhir baru beliau memberitahu kami perlu berhenti untuk berehat. Rakan-rakan di depan sudah bergerak jauh dan ada yang sudah hampir sampai ke puncak Gunung Nepo. Apa lagi mereka dengan berat hati pun turun semula.



Kami yang berhenti di Pos ke 2 akhir yang terdapat sungai menyambung semula perjalanan untuk berhenti di pos terakhir. Selepas makan tengahari, kami bergerak semula sekitar pukul 3 petang.

Kali ini kami tiba di puncak Gunung Nepo dengan pemandangan menarik. Kabut yang kejap timbul kejap tiada akhirnya tiada terus dan kami dapat melihat sekelilingnya. Kami bergambar di puncak dan dapat melihat Banjaran Latimojong yang mempunyai banyak punca di sana. Suatu masa nanti kami akan merancangke sana namun belum menetapkan tarikh yang sesuai. Puncak Bawakaraeng dan Nepo merupakan puncak suci bagi sesetengah penduduk di sini. Agak menghairankan dengan kepercayaan mereka semasa raya haji di puncak Bawakaraeng seolah mereka sedang mengerjakan haji di Mekah. 



Sekitar sejam berada di puncak, kami turun ke tempat pos tadi untuk solat dan bersiap untuk turun. Perjalanan turun agak mudah. Saya, Seri, Kak Siti di belakang serta Osman. Dalam perjalanan kelihatan seekor kucing besar seakaan harimau sedang melalui jalan yang sama di depan dalam jarak 100 meter. Saya sempat mengambil gambar sekeping semula sebelum kucing tersebut hilang dari pandangan. Perjalanan diteruskan dalam kegelapan malam menuju ke Pos 1. Di depan Pos 1 ada simpang.

Kami melalui simpang tersebut dengan laluan menurun yang berbatu. Memang laluan ini menyakitkan kaki dan jauh. Kelihatan ada cahaya lampu yang menentukan tahap tingginya kami berada. Semakin jauh kami berjalan semakin sama keadaan tinggi lampu tersebut. Tetapi lampu tersebut ada satu masa berada di ata. Apabila jalan sudah rata selang 15 minit baru kami tiba di tempat bermula tadi. Teman-teman ada yang sudah mandi, ada yang tercari-cari bilik mandi kerana tidak selesa. Ada yang dikatakan di temuramah dengan wartawan yang katanya adik kepada ketua kampung di sana.

Pukul 9 lebih kami bersiap untuk pulang ke Makassar. Kami singgah dahulu ke Universitas untuk mengucapkan terima kasih kepada teman-teman yang membantu dan selamat tinggal. Kepada Pak Sayuti terima kasih juga kerana turut serta bersama kami mendaki ke Gunung Nepo namun Pak Sayuti sudah lama tidak kelihatan di sana.  

Perjalanan pulang ke Makassar mengambil masa 3-4 jam.  Kami singgah makan malam lagi dan meneruskan perjalanan. Pukul 2 pagi kami tiba di Makassar untuk mencari hotel. Kami berjaya menginap di sebuah hotel yang baru sebulan beroperasi.

Hari ke 5

Hari terakhir ini saya bangun awal seawal 9 pagi. Hujan turun dengan lebatnya. Rakan wanita di bilik lain katanya sudah siap untuk check-out namun masih ada rakan kami masih tidur. Selepas bersarapan, saya paling awal keluar. Pukul 10.15 pagi kami bersiap untuk ke toko outdoor. Ada banyak toko outdoor di sini.

Masing-masing membeli banyak barang. Pukul 11.30 pagi kami singgah di kedai makan. Kami memesan ikan dan lauk kegemaran masing-masing untuk kali terakhir. Sebelum ucapan penutup, Osman membawa beberapa barang outdoor seperti baju Bawakaraeng dan bantal.


Oleh kerana jalan jem, kami bergegas keluar dan pak supir kami mencari jalan potong ke airport. Sekitar pukul 3 petang kami tiba jua. Setelah mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal pada Osman dan Rian kami menuju je kaunter. Kami sempat naik kapal terbang dan tiba di LCCT pukul 8 malam. Sekian perjalanan kami ke Makassar. Akan datang kami sudah merancang untuk mendaki Gunung Latimojong jika tiada aral melintang nanti.



Mendaki Gunung Twin Peak, Pine Tree dan Semangkuk di Frazer Hill

Salam,

Selepas 5 bulan lebih tak trekking, baru hari ni dapat keluar peluh. Jumaat malam sampai ke Masjid Fraser Hill, plan nak naik terus Pine Tree pagi tu. Trip yang dirancang agak terlalu singkat cuma 1-2 minggu untuk mengumpul peserta. Asal nya 4 orang sampai jadi 18 orang. Perjalanan singgah di R&R Rawang lalu pekan Kuala Kubu dan sampai di masjid, jumpa geng Sham Castello.


Esok nya pagi sabtu kami parking berhampiran pintu masuk dan bersiap untuk trekking. Awal perjalanan ada tangga menurun selepas 15 minit kemudian rata turun dan naik sikit. 3 jam sampai ke Pine Tree Hill. Hujan agak lebat. Lepas bergambar kami naik ke Twin Peak. Kami tiba di puncak dalam 45 minit dalam keadaan hujan rintik. Makan tenghari sampai diselimuti fly dalam suasana yang sejuk memang mencabar. Sempat tidur dalam 20 minit. Geng Sham Castello bermalam di sini.


Bersama dengan Loe Far Cruel yang akan ke Greenland nanti
Puncak Pine Tree Hill

Kami meneruskan perjalanan ke Kem Sungai Merah. Perjalanan menurun selama 25 minit kemudian membelok ke kanan dan kiri bermain dengan lereng. Dalam pukul 6.30 petang, kami tiba di Kem Sungai Merah. Persiapan makan tengahari dimulakan. Kami makan malam dan tidur.

Ahad pagi kami bersiap selepas subuh. Laluan trek agak sempit dan banyak puncak tipu. Apabila sudah sampai puncak kena turun semula. Akhirnya kami tiba di puncak Gunung Semangkuk dengan selamat. Sejuk dan hujan tengahari bagai memberi petanda kena turun awal. Dengan puncak yang sempit, kami sempat masak meggi.




Puncak Twin Peak

Sejam di puncak dan bergambar, kami turun. Saya hampir terbabas ke trek. Di satu simpang ada trek di kiri dan kanan. Saya memandang ke kiri dahulu dan terus jalan. Nasib cuma 3 minit berjaya sudah dapat mengagak salah trek. Saya patah balik dan nasib peserta dibelakang ada mendengar laungan saya. Alhamdullillah kembali ke trek asal.

Puncak Gunung Semangkuk

Kami tiba di Kem Sungai Merah pukul 6 petang. Selepas masak nasi serta beberapa lauk, kami mula turun turun pukul 9 malam. 

Agak sunyi di malam hari. Kadang-kadang rakan-rakan kami ada yang laju dan ke depan sehingga berpecah-pecah. Saya yang di belakang tiba di kawasan bertangga pukul 6 pagi dalam kepenatan.

Pukul 7.15 pagi kami tiba di tempat letak kereta. Oleh kerana ramai yang kerja hari isnin, maka ada yang balik dahulu.

Saya menaiki kereta Cikgu Jamal. Kami sarapan di Kuala Kubu. Saya tiba di rumah pukul 1 tengahari. Sekian. 

Maaf. Cerita sudah agak basi. Ambik mana yang ingat je.

Jalan-jalan ke Cameron Highland

Salam,


Jalan-jalan ke Cameron Highland.
















Gunung Kerunai dan Kenderong Grik di Kejauhan sane nun

Credit pada Jalil Hamid aka AJ 


Gunung Kenderong Dan Gunung Kerunai merupakan gunung yang tidak terletak atas mana2 banjaran. Ia Berdiri gah di kawasan Grik dan boleh di lihat jelas dari pekan Grik jika cuaca cerah dan tidak berkabus. Gunung Kenderong berketinggian 1223M a.s.l dan Gunung Kerunai berketinggian 1000M a.s.l

15hb Jun 2013

Pendakian Gunung Kerunai melalui Kampung Kerunai dan bermula dari Kampung Tanjung Kekabu. Melalui kebun penduduk kampung dan Trek mula mencanak dengan kecerunan 50-60 darjah. Permukaan Trek berpasir dan berbatu menambahkan lagi cabaran sepanjang pendakian. Cuaca Redup memberi kelebihan kepada para pendaki, tetapi bahang matahari tetap di rasai. Beberapa puncak tipu terpaksa dilalui dengan pokok2 yang jarang dan tidak begitu tinggi. Sepanjang perjalanan boleh menikmati pemandangan yang cantik dan juga Gunung Kenderong yang berada bersebelahan. Perjalanan ke puncak mengambil masa 2-3 Jam. Puncak tiada batu penanda aras atau pun beirut, tetapi agak luas dipenuhi lumut kering dan pokok2 bonsai. Dari Puncak boleh kelihatan jelas Gunung Kenderong. Tiada punca air yang boleh di ambil, maka para peserta perlu pikul air dari starting point.(Sila bawa air yang banyak, anda perlukan…:) ) 

P/S: ada juga orang kampung yang memberitahu Gunung Kerunai boleh didaki dari Kampung Pahat, dan mengambil masa lebih kurang sejam perjalanan ke puncak tetapi perlu mendaki trek yang mencanak dengan kecerunan 70-80 darjah.

Perjalanan kami tidak berakhir di sini. Kami berehat sebentar di pekan Grik, sebelum memulakan perjalanan ke Kampung Pahat pada petangnya. Pacuan 4 roda digunakan untuk menghantar para peserta ke starting point Gunung Kenderong. Perlu trekking selama sejam lebih untuk sampai ke LWP Gunung Kenderong. Kami Bermalam di sini.




16hb Jun 2013

Selepas seharian berpenat di Gunung Kerunai, pihak penganjur mencadangkan untuk membuat pendakian 'daypack' juga ke Gunung Kenderong. Pendakian ke Gunung Kenderong bermula pada jam 7.00am ~ Selepas pada mulanya trek asal tidak dijumpai akibat dari pokok tumbang dan pokok duri yang menutup laluan asal trek. Selepas di bersihkan, perjalanan diteruskan. Pendakian yang saya gelar tiada 'diskaun' dengan kecerunan 60-70 darjah. Tiada tempat yang betul2 sesuai untuk 'take 5'. Trek berbatu dan berpasir menyukarkan pendakian. Tetapi bersyukur kerana hari sebelumnya hujan turun dan membasahi tanah2 sepanjang trek. Jadi pasir dan batu mampat di dalam tanah, mengurangkan risiko 'batu terbang'. Cuaca pagi agak redup membantu pendakian agar lebih lancar.

Puncak Solar adalah puncak yang mana para peserta dapat merehatkan badan sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Kenderong. Ia mengambil masa lebih kurang 1-2 jam perjalanan. Perlu melalui trek bertali dengan trek yang tegak dan berpaut pada batu, akar dan tali yang disediakan. Perlu lebih berhati-hati di sini kerana gaung berada di kiri dan kanan. Berehat di Puncak solar melepaskan lelah. Sambil boleh menikati pemandangan sekeliling, pemandangan Puncak Gunung Kenderong, dan juga laluan ke Puncak Gunung Kerunai. Kemudian meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Kenderong. Trek masih mencanak dan perlu melalui cerun bertali. Perjalanan dari Puncak Solar ke puncak mengambil masa lebih kurang 1 jam perjalanan. Perjalanan keseluruhan mengambil masa 3-4 jam untuk sampai ke puncak Gunung Kenderong. Terdapat beirut usang di atas puncak, dengan puncak yang luas untuk bermalam. 




Perjalanan turun perlu lebih berhati2 kerana trek yang curam dan batuan yang longgar sebab bila2 masa boleh merasai 'batu terbang'. Kami turun ke LWP dan berkemas pulang.

Tahniah semua peserta, Guide: abg ayien dan yo dan jugak AJK bertugas… Semoga berjumpa lagi!

Taiwan Explorasi

Taiwan merupakan negara pulau yang bergunung-ganang tetapi dihubungkan oleh lebuhraya melalui terowong-terowong yang di korek ditengah-tengahnya. Pendakian ke Gunung Chilai yang terletak di Taman Negara Taroko merupakan gunung gantian kami yang juga merupakan satu destinasi pelancongan yang mampu menarik ramai pelancong luar mahupun pelajar yang menuntut di sana.

Orang Gunung Kuala Lumpur(OGKL) memulakan pendakian keluar negara ke 3 untuk kalendar tahun ini ke Taiwan yang diketuai oleh Khairinah Hj Chumari(Eryn). Saya bersama Ahmad Shobrie(Abie) tiba di LCCT. Di sana kami bertemu Muhammad Fuad, Jurimah Ariffin, Roslee Musa,Faiz Zaidan Ali, Nurhairiah Hanapiah serta Rabia Salam . Turut serta adalah pengerusi OGKL yang baru pulang sebagai krew sokongan Felda, iaitu Apip Che Embi. Beliau yang baru turun dari Gunung Everest akhir bulan lepas agak kepenatan tapi masih mampu meneruskan ekpedisi ini.

Kami tiba di terminal 2 Lapangan Terbang Taoyuan pukul 2.45 petang. Di sini Abula yang merupakan pemandu van tempatan berjaya mengecam saya. Setelah berbincang berkenaan perjalanan dengan sedikit masalah bahasa, kami menuju ke Taipei menaiki 2 buah van.

Setibanya di Taipei, kami ke kedai outdoor untuk membeli sedikit peralatan. Di sini terdapat banyak lagi kedai outdoor yang terletak bersebelahan namun harga agak mahal sedikit.

makan di Enjoy Kitchen

Kami kemudian singgah pula makan di Restoran Halal Enjoy Kicthen. Antara makanan yang di pesan nasi ayam Hainan dan mee yang berharga dalam lingkungan 320-350 dollar taiwan. Mata wang baru Taiwan kadang kala di tulis TWD, NT$, NTD atau NT dan ia juga dibahagi kepada 100 sen. Sebelum kami ke Taiwan, tukaran semasa adalah 100 sen TWD bersama 10.47 Ringgit.

Selepas makan, kami kemudian singgah di pasar mini untuk membeli barang-barang makanan dan minuman.
Malamnya kami bergerak semula  ke lapangan terbang untuk mengambil NorThahar dan Cikgu Fadli Hisam untu k melengkap senarai seramai 12 orang. Pukul 11.10 malam baru kami bergerak keluar dari Taipei.   

Keesokan hari nya kami tiba di Taman Negara Taroko untuk mendaki Gunung Chillai. Taman negara ini merupakan salah satu dari 7 taman negara yang ada di Taiwan. Ia terletak di tengah di antara 3 buah bandar iaitu Taichung, Nantou dan Hualien. Perjalanan van kami ke kaki Gunung Chilai pun mengambil masa 2 setengah jam lebih.

Asal perkataan Taroko juga dari keadaan bentuknya yang di panggil tebing tenggara dari taman atau Taroko Gorge.  Nama lama bagi taman ini adalahTaman Negara Tsugitaka-Karoto.



Di tempat persinggahan kami, tidak terdapat pondok renjer untuk mengatur permit mahupun renjer bertugas. Setelah bersiap sarapan, kami pun memulakan perjalanan pukul 7.30 pagi. Bermula dengan perjalanan rata selama 1 kilometer(KM), kami memasuki kawasan hutan dalam 900 meter menaik sedikit. Perjalanan menurun sedikit semula sebelum menurun berterusan ke bawah. Di awal perjalanan ini kami bergambar dengan berlatar belakangkan gunung-ganang dan bunga-bunga berwarna di sebelah kiri.



jauh lagi

3 jam perjalanan kami tiba di kabin pertama. Di sini terdapat papan tanda 3.7KM dan 1.1KM lagi ke Kabin Chenggong. Perjalanan mendaki dan menurun semula sepanjang 1.1KM, kami tiba di kabin untuk makan tengahari. Kabin di sini agak kecil. Sekadar muat 34 orang untuk satu-satu masa.

Di luar kabin hujan rintik mula bertukar menjadi lebat sedikit. Perjalanan seterusnya mendaki di laluan tinggalan sungai sepanjang 900 meter. Selepas melalui 300 meter, terdapat pemandangan gunung di mana Apip tertinggal beg sotong merahnya. Laluan seterusnya membawa kami memasuki hutan semula sehingga tiba di persimpangan antara ke simpang Gunung Chillai Utara dan ke Kabin Chilai. Di sini baru ditanda di mana jaraknya tinggal 1.3 KM sahaja ke kabin tetapi kami dihidangkan dengan laluan mendaki berbatu. Di sinilah terletaknya bahaya yang menanti lebih-lebih lagi pada pendaki baru kerana kesilapan kecil boleh membawa padah jika dilihat dari segi kesukaran pendakiannya. Namun atas faktor keselamatan, tali-tali telah disediakan sepanjang laluan berbahaya ini.   

Saya tiba di Kabin Chilai pukul 5.30 petang.Kabin kecil ini hanya memuatkan seramai kami sahaja yang sepatutnya tidur berkhemah kerana ketiadaan pendaki yang singgah. Antara sebabnya adalah berlaku gempa bumi di bahagian tenggara Taiwan dan ini menyebabkan mereka lebih berwaspada. Selepas bersiap dan makan malam, kami mula bersuai kenal. Roslee yang kelihatan sakit mungkin kerana AMS mula beberapa kali keluar masuk. 

Keesokan hari nya kami mula mendaki ke puncak Gunung Chilai. Perjalanan selama 3 jam menikmati pemandangan di sebelah kiri sambil matahari mula naik tinggi. Di sebelah kanan kelihatan bandar-bandar dan lereng-lereng.  20 minit berjalan kami memasuki kawasan hutan. Perjalanan memusing ke sebelah kiri lebih banyak naik turun sedikit selepas keluar hutan. Ada satu tempat terdapat 2 lopak yang sangat jernih airnya.

Setelah melalui beberapa puncak tipu dan sebelum sampai ke puncak sebenar, ada satu lagi laluan berbatu merbahaya. Oleh kerana berdepan cerun yang curam, tali sekali lagi memainkan peranan. Beberapa tali di atur dan laluan berpusing-pusing kanan ke kiri dan ke kanan semula sehingga kami tiba di puncak.

Puncak Chilai utama memiliki 360 darjah pemandangan pada ketinggian 3560 meter. Kami berada di puncak selama 45 minit sebelum turun.  Semasa turun suasana menjadi sejuk berangin.  Tiba di Kabin Chilai, kami bersiap untuk ke puncak Chilai Utara.

banyak rintangan

rappers tua
 banyak tali digunakan selepas kabin Chenggong dan sebelum sampai di kedua-dua puncak

Perjalanan lebih banyak menaik di awalnya menyebabkan kami cepat letih lebih-lebih lagi memikul beg besar. Hampir 1KM berjalan, kami tiba di simpang. Kami meletak beg dan membawa beg kecil untuk ke puncak. Sama seperti di puncak utama, kami terpaksa mengharungi pendakian berbatu-batu dan tali digunakan untuk naik. Walaupun kali ini lebih panjang namun kami tiba dengan selamatnya di atas.  Puncak utara Gunung Chilai ini berketinggian 3605 meter lebih tinggi dari puncak utama.





Apabila turun sehingga tiba di simpang, ramai yang sudah kepenatan. Sebelum rakan yang berada belakang tiba, saya mengambil kesempatan untuk bersolat jamaak ta’akhir dahulu. Perjalanan turun kelihatan tidaklah sesukar menaik walaupun di laluan berbeza. Namun papan tanda telah menunjukkan bacaan yang salah di mana sepatutnya dari simpang tadi ke simpang Kabin Chenggong adalah 1.1KM.



Laluan di sini sangat curam dan perlu fokus memegang tali. Apabila tiba di simpang ke-2 , perjalanan turun ke Kabin Chenggong tinggal  0.9KM. Saya bergerak dahulu kerana jarak dengan peserta di depan terlalu jauh. Bila tiba di Kabin Chenggong, hanya ada Apip yang memberitahu makan sudah lama disediakan dan yang lain sudah meneruskan perjalanan ke van. Apip kemudian beredar manakala saya menunggu rakan di belakang tiba sambil memanaskan makanan dan memasak air.

video di puncak chillai

Setelah semua sampai, kami makan dan bergerak semula pukul 8.20 malam. Target kami adalah ke kabin pertama yang berjarak 1.1KM. Perjalanan sejam lebih kami pun tiba. Setelah rehat 20 minit, kami meneruskan perjalanan.  Jauh perjalanan sepanjang 3.7KM kami lalui dalam kegelapan malam dengan setiap 100 meter di tanda dengan batu. Akhirnya kami tiba di lokasi kami berhenti pada pukul 1.35 pagi.

Pagi tersebut Apip berbincang dengan Eryn untuk mencapai kata sepakat bahawa kami harus berpecah kepada 2 van. Saya, Abie, Jurimah, Rabia, Cikgu Fazli dan diketuai oleh Thahar yang fasih berbahasa Mandarin bergerak sekitar kawasan manakala van satu lagi perlu keluar. Mereka menuju ke Taipei untuk ke Taman Negara Shei Pa kerana laluan berdekatan terdapat tanah runtuh.

2 tahun lepas 8 orang dari kami sudah menawan puncak Gunung Sheishan di Taman National Shei Pa. Saya dan Thahar antara 2 orang tersebut manakala Apip memimpin kumpulan satu lagi untuk ke sana.

Van yang di pandu oleh Abula tiba di satu lokasi berhampiran satu kedai. Kami bersarapan pagi dengan makanan yang ada. Melihat dari jalur yang berhampiran, terdapat Gunung Hehuan yang berketinggian 3422 meter terletak di sebelah hentian.



penat gak
photo bersama
memang hebat apek ni

Kami bergerak ke kaki jalur tersebut. Selepas tiba di kaki Gunung Hehuan, kami bergambar dan bergerak naik. Terdapat sekumpulan pendaki veteran tempatan turut mendaki dan menggunakan jalur yang sama. Mereka kelihatan datang dengan sebuah bas. Kebiasaan nya pendaki-pendaki ini berpakaian tebal dengan cuaca panas dan berkasut berjenama manakala kami hanya memakai sandal sahaja.

Jalur sepanjang 2KM kami berhenti agak lama sambil menghayati suasana berangin. Bersebelahan dengan jalur ini, terbentang Banjaran Gunung Chilai yang kami naik semalam.  Perjalanan yang agak perlahan kami tiba di puncak selama 3 jam. Gunung Hehuan merupakan salah satu gunung di dalam Taman Nasional ini. Ia merupakan salah satu dari 100 gunung yang berada di ketinggian 3000 meter.    
salah satu terowong

Petang dalam pukul 4 kami sudah berada di van semula. Selepas makan petang, kami bergerak turun dari Taroko.  Kami turun ke bawah lagi untuk mencari rumah tumpangan.  Rumah tumpangan tersebut tidak jauh dari tempat keluar di Taroko dan harga sekitar 400 NT amat berbaloi. Perkabaran dari Abula pada masa ini bahawa pasukan satu lagi sudah mula mendaki pukul 10 pagi tadi.

hehuan dan taroko

Keesokannya kami bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Taipei semula. Dalam perjalanan keluar van melalui jalan yang sangat sempit. Sepanjang laluan sempit ini, van melalui berpuluh-puluh terowong.  Kami tiba di satu terowong yang dipanggil Tunnel of Nine Turns atau Jiuqudong. Ia dibina pada tahun 1996 dan lebar keluasan tingginya sangat rapat sehingga mencapai 10 meter lebar.  Pernah berlaku runtuhan suatu ketika dahulu. Terowong yang runtuh tersebut di ganti dengan laluan terowong lain yang memakan masa setahun untuk di siapkan.

terowong yang runtuh

Sungai Liwu 
Terowong komersil

10 minit perjalanan kami tiba di Swallow Grotto, suatu kawasan yang mempunyai pemandangan tebing bersalut marmar yang menakjubkan. Terdapat gua dan bentuk muka manusia gergasi yang dipanggil Cliff Zhuilu dan paling jarang adalah batu bentuk ketua puak India bole dilihat disini. Di bawahnya mengalir Sungai Liwu merentasi lembah yang sangat sempit.  

pusat pelancongan Bulowan

Selepas selesai makan tembikai berharga 40 NT sepotong, kami bergerak turun lagi. Kali ini kami singgah di Taman Buluowan. Taman ini merupakan kawasan rekreasi di Taman Nasional Taroko. Ia bermaksud ‘echo ngarai’ yang merupakan tempat kediaman kaum orang asli Taroko. Di tengahnya terdapat pusat pelancongan yang menceritakan perihal kemajuan orang asli di sini serta muzium. Terdapat sebuat jalur yang membawa kepada pemandangan jalan yang menghubungkan terowong-terowong.

Selesai solat di sini kami meneruskan perjalanan keluar dari Taroko. Kami menuju ke Taipei untuk makan.  Kami singgah di kedai yang sama 2 tahun dahulu. Hidangan set seramai 6 orang amatlah menguntungkan dan lebih sedap dari restoran yang kami singgah semasa mula-mula tiba. Selesai makan kami tiba di Family Hostel yang merupakan tempat  penginapan backpacker terkenal. 

Namun atas faktor salah faham ada yang terpaksa tidur tanpa bilik. Esoknya kami bergerak ke Taman Negara Yangmingshan manakala Cikgu Fadli Hisam pulang awal. Sama seperti 2 tahun lepas, kami menaiki MRT berhenti di Stesyen Jiantan. Kemudian menaiki bas bertanda I5 ke stesyen terdekat. Setelah turun di satu tempat, kami sambung naik semula sebuah bas kecil menuju ke salah satu pintu masuk.

pemandangan Gunung Datun


Kami bersiap untuk menaiki Gunung Datun. Perjalanan menghijau dan hampir hujan ini mengambil masa 1 jam lebih untuk sampai ke atas. Terdapat satu laluan alternatif selepas berenti di satu hentian namun tidak membantu. Puncak Gunung Datun sangat lurus dan boleh dinaiki kenderaan. Waktu kami tiba di atas angin sangat kuat.



Kami kemudian keluar awal dari sini untuk makan tengahari. Walaupun agak lewat, kami menuju ke kedai yang sama semalam menaiki MRT lagi. Selepas makan kami singgah di bangunan tertinggi 101 Taipei dan seterusnya pasar malam. Malam kami pulang semula di Family Hostel.



101 taipei

Hari terakhir kami singgah di kedai mee tebal yang terletak agak jauh dari sini. Setelah makan kami kembali pulang ke hostel . Di hostel terdapat kedai outdoor yang kami singgah tempoh hari.

Mee tebal taipei buatan tangan

Saya, Thahar dan Fuad yang berpecah dengan rakan-rakan lain kemudian menaiki bas ke Lapangan Terbang Taoyuan untuk pulang. Terminal bas terletak di sebelah kanan stesyen keretapi utama Taipei di jalan utama.Sekian sahaja ekspedisi warga OGKL kali ini. Semoga exspedisi akan datang ke Gunung Jade akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.