Gunung Berembun Wrays dan Gunung Hantu di Ringlet, Cameron Highland

Salam,

Suatu kesah di awal Februari



Musim hari raya cina atau Gong XI Fat Cai bermula lagi. Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur(OGKL) sudah merancang untuk mendaki dua lagi gunung iaitu Gunung Hantu dan Gunung Berembun Wrays yang terletak di Ringlet, Cameron Highland diketuai oleh Hadri yang juga merupakan Setiausaha Kelab OGKL. Seramai 20 orang pendaki terlibat kali ini yang rata-ratanya adalah muka-muka baru. Gunung Berembun Wrays merupakan gunung yang kurang popular di kalangan pendaki kerana jauh dari bandar dan laluan 4wd belum berturap.  Sejarah Gunung Berembun Wrays terjadi bilamana Wrays bersaudara telah sesat tiba di puncak Gunung Berembun yang berbeza dengan laporan yang dikeluarkan oleh pendaki sebenar W.Cameron. Bagi orang asli di sana, Gunung Hantu disebut sebagai Lentamu manakala Berembun Wrays sebagai Tanjung Slek.

4 kereta bergerak dari Restoran Heritage menuju ke Tol Tapah. Pergerakan kereta pada mulanya lancar mula perlahan tapi tidaklah seteruk yang dijangkakan. Kami tiba di tol pukul 3 pagi sebelum bergerak naik ke Ringlet. Perjalanan yang melingkar-lingkar dan suasana jalan yang gelap untuk ke Cameron Highland menanti di pagi hari. Sampai di Ringlet kami menuju ke Masjid An-nur yang terletak di atas bukit.


Selepas solat subuh, kami bersiap sedia untuk bergerak. Kelihatan di masjid terdapat sebuah lagi kereta dari Alor Setar,Kedah yang dinaiki oleh Nurhairiah(Kerry), Putra Shariman Salim dan Doktor Arfah Ahmad bakal bersama kami. Di suatu tempat yang lain menanti adalah 2 buah hilux yang dibawa oleh rakan kami iaitu Abang Ayien Carlos dan Leng. Kami menyusun beg dan bergerak ke pekan Ringlet untuk sarapan. Bersarapan roti canai yang sangat sedap, saya , Tahar , Ramli dan Abang Othman makan 2 keping sekali hadap manakala yang lain belum makan lagi. Orang semakin ramai sehingga ada yang tidak dapat makanan. Kelihatan beberapa orang berbangsa cina masuk dan membantu pekerja kerana ramai yang memesan banyak roti canai. Senario tersebut berterusan sehingga kami bergerak keluar.

Di Pekan Ringlet terdapat satu simpang ke Kuala Lipis dan di situ lah laluan kami selama satu jam.  Laluan berliku disamping pemandangan ladang-ladang tanaman menghiasi kiri dan kanan. Apabila laluan semakin terpisah dari jalan utama, terdapat pula bakal-bakal pencawang yang siap menanti kabel untuk dipasang. Laluan trek 4wd membelah bukit-bukit menyaksikan panorama menarik pekan Ringlet.  Kami tiba di perkampungan orang asli Kampung Telimau pukul 11 pagi. Di sini terdapat lebih kurang 120 orang penduduk di mana separuh nya adalah beragama Islam.

Sebaik berhenti, rumah Pak Mat yang terdapat tangki besar di sebelah merupakan yang paling dekat dengan tempat hilux kami berhenti. Selepas turun, Hadri bersama tuan pengerusi Apip yang juga turut serta mencari Pak Juma. Pak Juma merupakan ketua juru-arah beberapa minggu lepas semasa mengetuai pendaki-pendaki  anak Felda Kelab Explorasi 7 Benua yang dalam persiapan mendaki Gunung Everest April nanti.  Kali ini khidmatnya sekali lagi ditagih. Kalau pendakian tersebut naik dan turun sama tapi di trek yang berlainan kami OGKL menggunakan trek dan turun di tempat yang sama untuk menjimatkan masa. 

Sambil menanti Pak Juma yang sedang makan dan bersiap, kami berehat di sebelah rumah nya yang selang 20 langkah dari sini. Pak Juma akan dibantu oleh anak buahnya Kadir. Selesai senaman ringkas dan doa selamat kami bergerak naik melalui kebun-kebun sayur. Kami terpaksa berhati-hati supaya tidak memijak sayur-sayuran kerana permulaan trek berada di tengah sedangkan kami dari arah tepi.

Sebaik memasuki hutan yang agak ‘dara’, hidangan trek pacak menanti selama 40 minit kami perlu berhempas pulas. Perjalanan sedikit mendaki sehingga kami berhenti berehat pukul 2.30 petang untuk makan tengahari sambil menunggu rakan-rakan dibelakang tiba. Hidangan nasi bungkus berlaukkan telur dadar sambil menunggu sambal yang belum tiba dijamah begitu sahaja.  

Selepas solat jamak kami meneruskan perjalanan. Kata Pak Juma setiap kali ditanya berapa lama lagi jawapannya pasti setengah jam lagi. Apapun kami meneruskan perjalanan sambil mengharapkan tiba di tempat dituju sebelum gelap. Melihat pada kesan-kesan takik dari pendakian beberapa minggu lepas masih jelas kelihatan. Pukul 5 petang kami sudah berada di punca air terakhir. Beberapa rakan turun mengambil air. Kawasan air agak terhad begitu juga tadahan air yang kurang mengalir tapi mencukupi untuk satu hari perjalanan.

Shukur kami tiba di puncak Gunung Hantu pukul 6 petang. Dengan saiz tapak yang terhad, 3 khemah didirikan. Khemah saya , Ramli dan Tahar agak sempit. Sudah beberapa kali kami cuba membetulkan sehingga beberapa pokok terpaksa di tebang namun khemah masih tidak tegang.  Akhirnya khemah dapat di siapkan walaupun sudah putus asa. Selepas solat maghrib dan makan malam, sessi takruh pun bermula. Tiada bahan lain selain membahan rakan kami yang seorang itu serta menyembang hal-hal trek hari ni dan pengalaman masing-masing.  

Pagi kami bangun dan bersiap agak lewat. Perjalanan mendaki ke puncak walaupun hanya berdaypack  sedikit melancarkan pergerakan. Laluan trek adakala nya banyak mencelah banyak balak tumbang. Diawal perjalanan Pak Juma terlalu ke depan sehingga hilang dari pandangan kami. Agak susah mencari trek yang kadang-kadang kabur sehingga Hadri dapat mencari semula laluan tersebut. Sepanjang trek kali ini Pak Juma dan Kadir adakalanya berada ditengah-tengah kelompok kami. Apabila kami berhenti dan kelihatan puncak Gunung Berembun Wrays dari jauh semakin menghampiri, Pak Juma serta Kadir dan saya terus ke depan. Namun sekali lagi mereka hilang dari radar sebaik baru beberapa langkah.


Saya terpaksa menunggu rakan yang berenti di belakang untuk mengelak dari tersasar. Walaupun nampak di depan mata, namun kami terpaksa meredah puncak tipu beberapa kali walaupun sudah kelihatan lumut-lumut hijau menghiasi sepanjang trek.  Sebelum tengahari dan setelah 4 jam berjalan, kami tiba di puncak Gunung Berembun Wrays pada ketinggian 2005 meter. Puncak tidak besar cukup memuatkan kami yang ada. Selepas bergambar kami tidak lama kerana perlu turun awal kerana sudah berjanji dengan Abang Ayien untuk sampai ke bawah pukul 6 petang.


Waktu menurun pula disingkatkan ke 2 jam setengah. Kami sebenarnya tidak sempat bergambar di puncak Gunung Hantu kerana faktor masa. Sebaik Apip yang bertindak selaku sweeper tiba, kami bergegas turun. Namun kata rakan, kami akan melalui jalan lain tapi tiada terdapat kesan trek. 15 minit masa terbiar begitu sahaja. Juz akhirnya membantu dan memberitahu laluan sebenarnya sedikit sahaja kemudian masuk semula ke trek yang sama. Kami terus turun dan cuma 30 minit kemudian kami berhenti di kawasan puncak air untuk solat jamak di waktu yang cukup terdesak.


Selesai solat kami meneruskan perjalanan. Kumpulan rakan-rakan kami sudah terpecah 2 di mana di depan diketuai oleh Pak Juma. Sebelum tiba di balak yang panjang, kami terkeliru dengan laluan yang tidak bertanda namun dapat mencari jalan. Perjalanan menurun mendadak adakalanya Zul yang berada di depan saya tersasar dan jatuh beberapa kali sebelum akhirnya kami tiba di kebun dan seterusnya di tempat hilux menunggu. Tamat sudah 14 jam kami bertarung di Gunung Berembun Wrays. Kami yang di belakang diberitahu bahawa salah salah satu hilux rosak dan satu lagi sudah bergerak keluar maka kami perlu tunggu lagi 2 jam. Akhirnya hilux yang di tunggu tiba dan kami keluar dengan selamat.

Jam sudah menunjukkan 3 pagi. Kami bergerak keluar menuju ke hentian RTC di Gopeng yang baru dibuka. Di sana kami mengalas perut dan solat subuh.  Menjelang pukul 10.30 pagi kami bergerak ke Nibong Tebal untuk menyertai kenduri kahwin rakan kami iaitu Masrizal. Turut serta adalah rakan-rakan kami dari Pulau Pinang. Walaupun penyanyi terkenal Korea, Psy datang membuat persembahan Gangnam Style di pulau mutiara, kami terpaksa bergerak pulang. Ada yang menuju ke Kuala Sepetang untuk makan mee udang dan saya yang membawa kereta terus pulang ke Selangor. Setelah menghantar rakan-rakan saya tiba di rumah pukul 9 malam.

Sekian  


4 comments:

  1. Assalamualakum. Nak tanya bagaimana nak hubungi pak juma atau pak mat?
    Harap dapat membantu. :-)

    ReplyDelete
  2. sape yang boleh saya hubungi untuk kesana

    ReplyDelete
  3. MADNESS ADVENTURE (FB/IG)
    MOUNT GUIDE SERVICES
    -forestry permit
    -police report
    -nature guide
    -emergency kit (basic)
    -walkie talkie
    -4x4 to trail head

    012-4281994 alif
    011-10327474 anas
    Call/whataps/sms

    ReplyDelete