Kilimanjaro di benua Afrika


Salam,



Sejak pulang dari mendaki Gunung Elbrus di Russia pada bulan Jun tahun 2012 dahulu, perkataan Kilimanjaro bermain di fikiran saya. Usul-usul mendaki gunung tertinggi di Afrika sudah mula kedengaran di kalangan rakan-rakan pendaki yang turut serta. Ada yang kata akan menganjurkan trip sekitar bulan Oktober nanti manakala trip selanjutnya tidak diketahui bila. Namun harapan kembali cerah sebaik sahaja ketua ekspedisi Zainuddin Lot atau Deeno yang juga mendaki Everest pulang dari mendaki gunung tersebut bersama Anis pada tahun lepas.

Persiapan membeli tiket bermula sekitar Mac dengan harga sekitar RM2.6k. Beberapa rakan yang dikenali dan tidak dikenali mula mengikuti trip ini. Antaranya yang pernah mengikuti Everest Base Camp pada tahun lepas.

Sehingga beberapa minggu sebelum trip bermula 18 orang sudah mengesahkan akan mengikuti trip ini.  

Namun kerisauan berkenaan wabak Ebola yang melanda negara-negara Afrika mula dirasai. Boleh dikatakan hari-hari kami menyemak status berita tentang penyakit yang mudah menular ini samada melalui akbar, Wisma Putra atau wakil-wakil duta dari Afrika.

Beberapa hari sebelum berlepas kami digalakkan mengambil suntikan demam kuning untuk mencegah beberapa penyakit. Harap semoga kami pergi dan pulang dengan selamat nanti.

23 Ogos 2014

Setelah melakukan pelbagai persiapan termasuk menukar beg kepada yang lebih besar, saya memulakan langkah ke KLIA bersama Ramli. Kami bertemu dengan 2 lagi rakan iaitu Sobri dan Abang Ayob. Selebihnya 14 orang sudah bergerak sehari awal.




Lapangan terbang Abu Dhabi 

Pertama kali menggunakan perkhidmatan Etihad, kapal terbang bergerak pukul 3 pagi menuju ke bandar Abu Dhabi dengan jumlah masa berada di udara sekitar 7 jam lebih. Kami berempat tiba di lapangan terbang antarabangsa ke-2 terbesar di UAE pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan di Terminal 1. Kelihatan kawasan Lapangan Terbang Abu Dhabi ini seperti di kelilingi pasir-pasir gurun. Oleh kerana penerbangan ini adalah transit maka kami dikehendaki ke Terminal 3 pintu 65 untuk meneruskan misi ke Afrika. Dengan hanya 3 jam transit, tidak banyak yang hendak dilakukan. Dengan wang sebanyak 760 USD  yang sudah ditukar 2 hari lepas, saya membelanjakan cuma 2 USD untuk sarapan.




Pukul 10.30 pagi kami berlepas menuju ke Kenya sekitar 5 jam lagi untuk tiba di negara timur Afrika tersebut. Sekitar pukul 1.50 petang waktu tempatan kami tiba di Lapangan Terbang Jomo Kenyatta di bandar Nairobi yang merupakan lapangan terbang transit di seluruh Afrika samada di utara, selatan atau barat. Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO sehingga 4 Ogos 2014, sebanyak 887 kes kematian di catatkan di negara-negara barat Afrika seperti Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria. Oleh itu kami harus waspada supaya tidak terkena wabak tersebut.

sampai dah Kenya

Di lapangan terbang, kami mencari van untuk ke hotel. Sepanjang menaiki van yang dipandu oleh Fred, Abang Ayob mencadangkan kami mengunjungi beberapa tempat menarik sepanjang 2 hari menunggu rakan-rakan lain. Sepanjang perjalanan menuju ke hotel, kami melihat ramai orang-orang Kenya berjalan kaki di kiri dan kanan. 

Setelah berbincang, kami setuju dengan bayaran yang ditetapkan oleh Fred. Kami tiba di Hotel Nomad Palace sekitar 30 minit perjalanan. Oleh kerana waktu sudah pukul 5 petang dan agak lewat, kami hanya bergerak di persekitaran sahaja. Walaupun ramainya orang Kenya di persekitaran yang lebih islamik serta terdapat beberapa restoran halal, ada laporan mengatakan kawasan ini dilabelkan kurang selamat maka kami hanya ke pasaraya kecil yang terletak 50 meter di sebelah untuk menukar wang. Tukaran wang Kenya Shilling atau KSH adalah 88 berbanding 1 USD iaitu kurang 4 di lapangan terbang. Saya cuma menukar sekitar 200 USD iaitu bersamaan 17, 600 KSH. Malamnya kami berehat sambil makan malam.

24 Ogos 2014




Pagi selepas subuh dan sarapan, kami bergerak ke Taman Nasional Nairobi. Bandar Nairobi terletak di ketinggian 1500 meter dan oleh itu pagi di sini sangat sejuk. Dengan membayar 3000 KSH tangki minyak hampir separuh penuh dan membayar pemandu atau pak supir Fred sekitar RM300 seharian kami bergerak ke sana yang terletak sekitar 7 kilometer dan perjalanan sekitar 30 minit tanpa jem. 

orang kenya suka berjalan

Sepanjang perjalanan kami dapat melihat kehidupan daif penduduk Nairobi. Unik nya kerana penduduk yang ramai maka mereka lebih rela berjalan kaki sahaja tidak kira lelaki atau wanita. Di kalangan mereka ini ada yang berpakaian seperti berselimut yang berwarna merah. Mereka ini sangat popular di sini dan mudah dikenali sebanyak penduduk asli Masai dengan cara jalan yang berlenggokan.

harga minyak semasa

Meneruskan perjalanan kami tiba di pintu masuk sekitar 9 pagi. Secara ringkasnya, penduduk Kenya adalah terdiri dari agama Kristian sebagai majoriti manakala Islam semakin berkembang. Bahasa yang digunakan adalah Swahill. Kenya juga merupakan negara Komanwel dan oleh itu visa tidak diperlukan.

beratur beli tiket

Kaunter membeli tiket sangat tidak sistematik kerana hanya ada satu pintu dan satu kaunter sahaja. Untuk pengunjung luar 50 USD dikenakan iaitu berganda-ganda berbeza dengan orang tempatan.

Selesai bergambar, kami masuk ke taman. Perjalanan sekitar taman adalah 3-4 jam. Banyak binatang dapat dilihat dan mereka berada di merata-rata. Jika tinggal di zoo, haiwan-haiwan kelihatan malas dan lembik serta jinak apapun di sini mereka kelihatan sama. Bezanya mereka bebas di taman ini.






hairmau je tak de

Di Afrika selalu terdengar perkataan Big 5 yang bermaksud 5 binatang paling besar seperti singa, harimau, badak, kerbau serta gajah. Namun pada hari ini tiada harimau yang kami jumpa. Pada awalnya kami mencari zirafah yang sepatutnya mudah ditemui kerana saiz leher yang panjang namun tidak. Setelah puas mencari beberapa jam barulah kami dapat berjumpa sehingga 3-4 ekor termasuk badak air.



pertunjukan gajah

Kami kemudian tertunggu gajah pula. Kata Fred gajah tiada di sini. Baiklah Fred kemudian membawa kami keluar dan singgah di satu lagi tempat khas untuk gajah sahaja yang dipanggil Sheldrick Elephant Orphanage. Kami masuk dan dikenakan bayaran sebanyak 300 KSH. Oleh kerana sekarang pukul 11.30 pagi maka Fred memberitahu ada pertunjukan gajah. Kami masuk dan bergambar di taman gajah yang seakan Kuala Gandah.

Selesai di sini, kami menuju ke Restoran Hashmi yang terkenal dengan makanan halal untuk makan tengahari di bandar Nairobi serta membeli kad prepaid. Kata Fred Airtel sangat popular dan kadang-kadang signal boleh sampai ke seluruh Afrika atau sepanjang perjalanan ke Kilimanjaro nanti. Saya pun membeli dengan harga 1300 KSH.

Kami meneruskan perjalanan untuk mencari kedai shopping yang terbesar di Kenya. Kata Fred kedai tersebut sejam dari sini. Fred mengambil laluan kampung dan kami mendapati ia sangat jauh. Kami tiba sekitar 5.45 petang. Saya dan Ramli mengambil keputusan untuk solat di satu kawasan namun kami di tangkap berada di kawasan larangan. Nasib baik pengawal tersebut melepaskan kami kerana faktor kami orang luar.

Kami kemudian bergerak pulang ke hotel semula dan merancang ke tempat lain esoknya.

25 Ogos 2014


Kami bangun seperti biasa dan bersarapan. Kali ini Abang Ayob mencadangkan kami ke 14 Falls yang terletak beberapa kilometer di bandar Tikka setelah di beritahu bahawa perancangan untuk melihat air terjun Victoria yang merupakan air terjun yang terbesar di Afrika dibatalkan kerana jarak jauh serta melalui negara lain.


tayar pancit

Apabila hampir sampai ke 14 Falls tiba-tiba tayar pancit. Dengan bantuan rakan-rakan, tayar ganti berjaya ditukar dengan kadar segera. Hampir pukul 10 pagi kami tiba di sini. Walaupun tempatnya cantik dan menarik namun bau air sungai nya yang mengalir sangat busuk. Kami sempat bermain dam bersama kanak-kanak sekitar. Hampir sejam bergambar kami bergerak ke luar.








suasana di 14 Falls

Fred kemudian berhenti di kedai tayar. Dengan pekerja di kedai tayar yang ramai kawasan tersebut nampak sesakPada asalnya hanya tampal sahaja namun sekitar 20 minit selesai tayar perlu di masak untuk di melekat dan kami perlu tunggu sejam lebih. Perkhidmatan yang agak manual ini menyebabkan kami terpaksa menunggu agak lama sampai kami berkenalan dengan beberapa rakan pekerja di sana. Untuk tampal dan bakar hanya 1000 KSH diperlukan.


tampal tayar

Kami bergerak menuju ke Masjid Jamek yang terkenal di bandar Nairobi. Selesai solat kami bergerak ke restoran halal untuk makan tengahari. Kami memesan nasi beriani ayam dan memang sedap. Diberitakan rakan-rakan yang berada di Dubai sudah tiba di Lapangan Terbang Jomo Kenyatta. Selesai makan, kami bergerak ke van. Sepanjang berjalan di bandar yang tidak berapa besar ini, terdapat papan tanda dilarang merokok bermakna tidak dibenarkan merokok di bandar ini. Satu lagi yang menarik perhatian kami adalah wanita-wanita Kenya di mana kami mendapati ramai di kalangan mereka memiliki saiz dada yang lebih besar manakala punggung agak tonggek.


masjid jamek yang terkenal di Nairobi, Kenya

Setelah menaiki van, perjalanan seterusnya kami menuju ke Lost Paradise, satu kawasan taman rekreasi yang terletak di satu taman perumahan di bandar Kiambu lebih kurang 10 kilometer dari bandar Nairobi.





Persekitaran Lost Paradise 

Kaunter pada awalnya menawarkan sekitar 800 KSH namun dikurangkan ke 500 KSH. Di sini banyak aktiviti boleh dilakukan. Kami tiba dan masuk ke sebuah gua. Gua tersebut suatu ketika dahulu merupakan tempat persembunyian. Walaupun tidak berapa besar kata penjaga taman ini terdapat satu lorong rahsia sepanjang 3 kilometer panjang yang boleh ditembusi. Kami kemudian bergerak ke tasik berhampiran. Fred menaiki bot kayak untuk menikmati separuh pusingan. Katanya dia belum pernah sampai ke sini.
   
Kami kemudian keluar dari sini dan menuju ke hotel. Malamnya setelah makan malam kami bergabung bersama semua rakan-rakan. Antara rakan-rakan yang akan bersama adalah ketua ekspedisi Zainuddin Lot atau Deeno bersama isteri Safrina, Dr Mafeit, Azad Zainal, Jurimah, Kamariah Ismail, Haziana, Wan Azman, Hafiz Kicok, Asmawi, Seri, Kak Sham, Zulkifli Mohamad atau Tokkie selaku peserta paling veteran dan Jun Faizah. Selesai makan, taklimat oleh Deeno untuk bergerak ke Monshi iaitu bandar di kaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania bermula.

26 Ogos 2014

Bermula seawal 8 pagi, kami menaiki bas. Beg-beg duffle sudah dinaikkan ke atas bas. Selesai bergambar, kami bergerak perlahan-lahan menyusuri keluar dari bandar Nairobi. Pagi-pagi kami  melihat orang berjalan kaki bagai melihat satu pesta berjalan kaki yang menarik pernah disaksikan.


Selamat tinggal Nairobi

Menyusuri perjalanan ke Tanzania, kelihatan sekali sekala puak-puak masai muncul. Pemandangan bertukar menjadi padang pasir yang luas di sekeliling. Ada kambing dan lembu melintas, serta ada pemandangan banjaran gunung yang bersambung-sambung. Hampir 3 jam menaiki bas,  kami tiba di sempadan iaitu pekan Namanga untuk menyerahkan borang keluar Kenya dan mengecop passpot memasuki negara Tanzania pula. Di sini terdapat ramai penjual cenderati yang menawarkan harga yang sama seperti di Indonesia mengelilingi bas kami.


dalam perjalanan lalu padang pasir

Perjalanan diteruskan dan kami berhenti di satu kawasan kraf dan kemudian berhenti di satu pam minyak. Di sini terdapat tukaran mata wang di mana bagi tukaran 50 USD atau 100 USD, 1 USD bersamaan 1650 Tanzania Shilling atau TSH. Manakala 1 atau 10 atau 20 USD bersamaan 1605 TSH. Untuk ke bilik air pula 250 TSH diperlukan.


orang masai
bandar Arusha

Kami tiba di bandar Arusha untuk makan tengahari di Restoran Kulan berhampiran masjid. Kami memesan nasi goreng cina yang lebih hitam dan hidangan diterima dengan cepat. Selesai makan saya, Azman dan Abang Ayob pergi mencari kedai telefon untuk membeli prepaid baru memandangkan Airtel tiada signal. Kami menggunakan Vodafon pula.


bermalam di lodge

Kami bergerak dan bermalam di Hartebeest View Lodge di pinggir pekan Moshi. Selesai solat kami bergerak ke pekan untuk mencari keperluan.

Malam pula diadakan sessi taklimat. Enock selaku tour guide kami memberitahu peralatan mana yang perlu di bawa dan mana yang harus di tinggal. Beliau memeriksa dari bilik ke bilik dan jika tiada barang harus di sewa.

27 Ogos 2014



Setelah 4 hari bergerak dari KLIA, perjalanan sebenar bermula hari ini. Kami menaiki bas menuju ke pintu masuk Machame yang berketinggian 1600 meter. Gunung Kilimanjaro dikelilingi oleh 3 banjaran gunung berapi iaitu Kibo, Mawenzi dan Shira.



Machame dipilih berbanding laluan lain seperti Shira/Lemosho, Rongai dan Umbwe manakala laluan Marangu adalah apabila kami turun nanti. Machame dilihat lebih popular kerana terdapat pemandangan menarik manakala laluan turun Marangu dipilih kerana tiba cepat di pintu. Laluan sirkit Northern pula mengambil masa yang lama untuk tiba. Jumlah perjalanan ke puncak adalah 40 kilometer. 





Setelah menunggu lama untuk porter menyusun barang, kami diberi sekotak makanan yang terdiri dari epal, pisang dan ayam yang dipanggil ayam kayu kerana agak keras serta air kotak.



Semasa dalam perjalanan, kelihatan seorang dari porter kami meracau-racau. Bagi Dr. Mafeit, biarlah orang mereka yang menguruskan mereka sendiri kerana mereka lebih arif.

Setelah 2 jam berjalan, kami berhenti untuk makan. Suasana persekitaran adalah seperti di laluan hutan di Malaysia tetapi dijaga dengan rapi tanpa sampah.


pengsan pulak

Kami tiba di Kem Machame agak malam pada ketinggian 2850 meter dengan jumlah perjalanan sejauh 11 kilometer dalam 7 jam. Sambil berehat dan menyusun barang, kami makan malam di khemah khas yang disediakan dan mendengar taklimat seterusnya dari Enock. Suhu di luar tidak lah sejuk dan kami tidur dengan aman.


28 Ogos 2014





Pagi kami sarapan lagi. Kami harus bergerak dan bermalam di Kem Shira 2 dan mengharungi 6 kilometer lagi, Perjalanan ke Kem Sira 2 adalah lebih kepada mendaki bukit botak yang tinggi dan bermain di lereng-lereng. Terdapat juga pasukan dari UK seramai 6-7 orang bersama kami. Pokok-pokok pelbagai saiz dapat dilihat tumbuh namun sedikit berbeza dengan pemandangan di Indonesia.

bersama pasukan dari UK

Porter-porter kami yang dikatakan seorang kami bersamaan 3 mereka mula memotong kami . Ada juga yang kami tidak perasan kerana bilangan mereka terlalu ramai. Walaupun mereka berjalan kemudian tetapi mereka akan tiba dahulu dan memasang khemah kami dan khemah besar untuk makan beramai-ramai. 


Di masa ini pemandangan indah dihidangkan. Gunung Kenya yang terletak di sebelah Kilimanjaro memahat pemandangan dari arah belakang kami. Selain Gunung Kenya, pemandangan 360 darjah juga menarik perhatian.




Apabila selesai bermain di lereng, kami tiba di kawasan yang mendatar. Selepas makan tengahari juga dengan ayam kayu, kami bergerak dan tiba di Kem Shira 2 pada pukul 3 petang.



Kem Sira 2 dilihat seperti kawasan terbuka. Di kawasan bilik air yang berjarak 100 meter terdapat kawasan yang boleh menerima signal untuk mengemaskini status atau bekomunikasi ke luar kawasan signal. Kami makan malam dengan sup jagung dan spagetti sambil dihidangkan dengan tembikai.




29 Ogos 2014


‘     Jambo Jambo bwana
Habari gani
Mzuri sana
Wageni mwakaribishwa
Kilimanjaro
Hakuna matata
Hakuna matata  

kemsite Shira 2

Begitulah lagu yang didendangkan oleh guide, porter dan kami semua yang berjumlah 72 orang. Ini bertujuan memberi suntikan semangat supaya terus maju dalam perjalanan ke puncak. Kami kemudian membalas rasa sayang rasa sayang hey.




Selepas bersiap, kami berjalan untuk bermalam di Kem Baranco. Perjalanan berjumlah 10 kilometer ini seperti berjalan di padang pasir.


Jika mengikut kertas, kami akan bergerak dari ketinggian 3800 meter ke 4630 meter menuju Lava Tower untuk aklimasi. Perjalanan mendaki sedikit perlahan di awal pendakian.

Sepatutnya kami yang di belakang perlu mendaki ke Lava Tower namun kami meneruskan perjalanan. Hanya Abang Ayob dan Tokkie sahaja ke sana. Selepas melalui Lava Tower, laluan tiba-tiba menurun sehingga mendatar. Hujan rintik-rintik mula melanda suasana persekitaran bila kami tiba di Kem Baranco pada pukul 5 petang. Seperti biasa di setiap kem, kami perlu menanda tangan di pondok yang disediakan sebelum ke khemah masing-masing. Di sini pemandangan petang sangat cantik. Di belakang khemah kami kelihatan bukit yang diselaputi salji, Malamnya kami makan sup seperti biasa sambil dihidangkan sambal ikan bilis yang dibawa oleh rakan-rakan.





30 Ogos 2014


Perjalanan pagi kali ini adalah menaik sahaja. Bukit yang bersalji itu perlu kami naik tetapi dari arah sebelah kanan. Kami perlu melalui lereng-lereng yang agak merbahaya namun dengan adanya guide agak mengurangkan tenaga dan kecekapan yang perlu kami hadapi. Saya berada di kalangan 7 rakan di depan dan dapat melihat pergerakan yang lain. 




Hampir 2 jam menghadap laluan menaik, kami nampak Kem Karanga kelihatan di depan mata. Namun Kem Karanga terletak di sebelah bukit sana di mana kami perlu turun dan naik semula. Azab turun memang senang namun bila naik seperti mengerah tenaga. Nasib kami hanya memikul beg galas yang ringan sahaja. Di kiri terdapat satu laluan di mana tiba-tiba kami melalui laluan tersebut.



Kami tiba di Kem Karanga sekitar pukul 12 tengahari. Sejam kemudian hujan turun lebat. Hidangan kami tiba pada pukul 1.45 petang namun hujan masih lebat. Air memasuki khemah makan kami dan terpaksa kami mengalihkan beg-beg yang terletak di lantai. Manakala beg-beg duffle kami sudah basah dilimpahi hujan.

dah tinggi salji mula kelihatan

Setelah hujan berhenti, Kami bergerak pukul 2.15 petang. Perjalanan menaik dan sejuk serta hujan dijangka turun lagi maka kami perlu bergerak sebelum malam tiba. Ketika ini salji mula turun sedikit demi sedikit dan persekitaran mula berubah kepada pemandangan bersalji.



Kami perlu mendaki pada ketinggian 4600 meter kerana ruang khemah sudah dipenuhi dengan peserta-peserta dari negara lain. Setelah tiba di khemah, kami bersiap untuk makan malam seperti biasa. Taklimat oleh Enock dan masa untuk bergerak ke puncak sudah diputuskan oleh Deeno bahawa kami perlu bangun sekitar pukul 3 pagi untuk bergerak sejam kemudian.

31 Ogos 2014


Dengan semangat kemerdekaan, kami bergerak di kegelapan pagi untuk tiba di puncak. 7 jam kami perlu bergerak untuk menawan puncak Kilimanjaro. Down serta mitten sudah dipakai untuk mengelakkan dari beku atau fros.


pagi dalam perjalanan ke Uhuru Peak



Perjalanan mendaki melalui laluan bersalji akan meminimumkan pergerakan. Cara terbaik adalah membuat pusingan Z. Pemandangan indah selepas subuh bagai memanggil kamera untuk dipetik. Fenomena waktu pagi di gunung menuju puncak dalam suasan salji memang jarang pernah dilalui.




Saya tiba di Stella Point sekitar pukul 1.45 petang ditemani seorang guide. Stella Point merupakan satu puncak yang rata selepas seharian dikerah mendaki dari Kem Barafu. Di Stella Point pada ketinggian 5756 meter, terdapat satu papan tanda ayng menandakan Stella Point. Di kejauhan sana kelihatan papan tanda utama Uhuru Peak di mana lebih selamat tiba di sana sebagai titik paling tinggi di Afrika. Untuk ke sana perlu melalui laluan di sebelah kiri sepanjang 180 darjah.


Stella Point




suasana di puncak 

Saya meneruskan perjalanan ke sana namun tiba-tiba kaki terasa berat untuk melangkah. Setelah mencuba beberapa kali, masih tidak dapat bergerak seperti biasa. Mungkin AMS tetapi tidak namun berkali mencuba tidak bergerak juga. Akhirnya saya meminta bantuan guide untuk  bergerak ke hadapan. Sebaik tiba di satu bukit yang tidak berapa tinggi, terdapat kelibat seorang rakan yang turut turun dan dipapah kiri dan kanan oleh porter kami. Kami berselisih sahaja sambil saya meneruskan perjalanan. Sampai di Uhuru Peak, saya mengeluarkan kamera dan mengambil beberapa gambar. Beberapa rakan sudah turun san ada beberapa lagi sedang sampai ke sini.




suasana lagi di puncak

Tidak lama kemudian saya turun tapi masih mengharapkan untuk dipapah juga. Saya dipapah turun dengan kadar kelajuan tinggi oleh porter. Selang 20 minit porter bertukar orang. Adakala saya memberi isyarat berhenti kerana mereka memegang tangan saya agak kuat disamping saya sendiri kepenatan. Apabila sudah ke bawah sedikit saya bercadang untuk berjalan sendiri tetapi semakin berasa seronok dipapah dengan laju. Sepanjang di papah bila ada masa berhenti kelihatan ada beberapa lagi rakan-rakan yang turut sama di papah. Ada yang seperti menaiki burung unta dipapah oleh porter dan bergerak turun dengan laju.

Kami tiba di Kem Barafu. Sepatutnya kami bermalam di kem satu lagi tetapi disebabkan ramaiyang keletihan maka kami tinggak di sini lagi untuk satu malam.

1 Sept 2014


Dari ketinggian 4630 meter, kami turun menuju ke ketinggian 1600 meter melalui laluan Mweka. Laluan Mweka bagai membelah padang sahara dimana kami dapat melihat pemandangan 360 padang luas. Pada awalnya agak rata dan menurun sedikit sehingga ke Kem Mweka yang sepatutnya kami bermalam semalam.

kemsite Barafu

Kami meneruskan perjalanan turun lagi ke High Camp untuk bersarapan dan makan tengahari. Hidangan serba ringkas oleh petugas memang sedap pada ketinggian 3700 meter.





laluan Mweka

1 setengah jam perjalanan menurun kami tiba di Mweka Hut iaitu terdapat pondok pengawal. Kata seorang petugas di situ, untuk sampai ke pintu Mweka sekitar 45 minit ke 4 jam.





Rata-rata perjalanan kali ini sangat menurun dan laluan lebih kepada berbatu. Sepanjang menurun terdapat beberapa orang samada guide atau porter lalu dari arah kami. Ada yang mengambil kesempatan seperti meminta sebatang rokok manakala salah seorang pula meminta termos yang kelihatan di tepi beg saya. Saya pun memberi pada mereka dan mengucapkan selamat berjaya.



tiba di penghujung di pintu Mweka. selamat tinggal Kilimanjaro

Kami tiba di pintu Mweka tepat pukul 5 petang. Sambil menandatangani di pondok pengawal dan membeli beberapa botol air, kami menunggu rakan dibelakang tiba. Setelah semua tiba dengan selamat, kami menaiki van menuju ke pekan Moshi. Kami singgah di Hartebeest View Logde semula untuk mengambil barangan yang ditinggalkan. Van kami kemudian masuk ke pekan Moshi untuk bermalam.

Setelah semua mendapat kunci bilik, kami menuju ke kedai makan halal untuk makan malam. Ada yang memesan murtabak, ayam bakar manakala yang lapar memesan pada yang ada.

2 Sept 2014

Saya bangun awal untuk menghabiskan sisa-sisa duit TSH yang masih banyak. Bersama beberapa rakan, kami meronda kawasan sekeliling untuk membeli cenderahati. Kedai yang murah kata Deeno sebenarnya ada lagi murah. Terdapat satu kedai yang menjual t-shirt berharga 7000 TSH sahaja. Sambil-sambil itu, ada tawaran dari orang yang menjual di jalanan saya membeli juga. Ada juga orang-orang Tanzania yang mengumpan kami ke kedai mereka untuk membeli cenderahati yang lain dari yang lain.



dapat sijil

Setelah selesai menghabiskan TSH, kami bersiap untuk keluar dari pekan Moshi. Perjalanan bermnula pukul 1 tengahari. Bas kami  berhenti di kedai kraf sekali lagi untuk solat.  Perjalanan seharian ke bandar Nairobi, kami tiba di Hotel La Jardine pukul 10 malam. Fred sudah lama menunggu kami untuk membincangkan perjalanan esok. Ada rakan-rakan yang sudah lapar dan ada yang memesan kentang goreng bersama kopi. Di sebelah hotel terdapat mesin ATM lalu saya mengeluarkan wang 1000 KSH.



Bila tiba di bilik 203, kami diberitahu tiada air untuk 2 jam. Kata mereka air sedang dipam. Manakala lif pula tidak berfungsi. Ini menimbulkan kemarahan rakan kami. Yang mengherankan terdapat bilik yang ada air. Saya dan Ramli kemudian diberli bilik 314 yang ada air. Kami yang lapar tidak memasak air kerana gas yang saya bawa sudah ditinggalkan di pekan Moshi kerana menjangkakan aktiviti sudah selesai. Tokkie dan Sobri yang kelaparan dan kurang makan malam datang ke bilik kami untuk makan apa yang ada sambil mengenangkan zaman belajar kami dahulu adalah sama situasinya dengan sekarang.


lirik lagu jumbo yang menjadi lagu kenangan di Kilimanjaro
tak makan malam 

3 Sept 2014



Pukul 5 pagi, 2 van mengambil kami untuk ke Taman Nasional Maasai Mara, taman safari yang menempatkan menempatkan haiwan-haiwan besar di kawasan terbuka yang sangat luas. Beg-beg disusun dan kami sempat solat subuh sebelum bergerak. Van-van yang banyak menyinggah di tempat yang agak seram sebelum kami keluar dari bandar Nairobi.


tanda tempat di titik katulistiwa
orang masai 

Perjalanan sejauh 270 kilometer bermula dengan selamat. Kami tiba di satu titik pemandangan yang sangat cantik. Titik tersebut merupakan kawasan 0 darjah katulistiwa membelah Kenya dan negara sekutu di atas dan bawah.




Kami membeli barang-barang keperluan di satu pasaraya yang seakan tidak siap. Perjalanan yang panjang dari jalan tar bertukar menjadi jalan berbatu. Kami berharap supaya van yang tahan lasak ini mampu membawa kami pulang keesokan harinya.







Di kiri dan kanan kelihatan haiwan-haiwan kecil. Sebelum memasuki pintu masuk, terdapat orang-orang masai menjual barangan mereka. Kicok mengambil kesempatan bergambar dengan mereka sambil membayar sekitar 400 KSH.




Setelah memasuki taman nasional, ada lagi 15 minit untuk sampai ke tempat bermalam kami. Setelah meletakkan beg dan solat di khemah kami, kami dibekalkan dengan pek tapweir untuk makan tengahari. Tuan punya tempat bermalam sangat peramah. Kami diberi taklimat berkenaan tempat ini. Pukul 2.15 petang kami bergerak untuk melihat haiwan-haiwan ini. Hampir semua haiwan ada di sini yang antaranya gajah. Yang paling diingati adalah di mananya terdapat satu kawasan luas yang penuh dengan haiwan seperti kerbau sahaja.

Kami pulang ke tempat bermalam untuk menikmati makan malam. Suasana khemah kami tidaklah besar namun agak selesa juga.

4 Sept 2014

Seawal 5 pagi dan solat subuh kami harus bergerak keluar untuk ke Lapangan Terbang Jomo Kenyatta, Kenangan berada di safari Massai Mara ini walaupun sekejap namun sangat mendalam pada kami. Mungkin satu hari nanti saya akan membawa keluarga ke Taman Simpanan Serengeti di Tanzania yang diiktiraf sebagai antara kawasan yang terkenal dengan perpindahan kawasan secara besar-besaran sekitar 1.5 juta hairan setiap tahun.

Serengeti ini juga bersempadan dengan Maasai Mara ini. Dalam kami mengejar masa tiba-tiba van satu lagi mengalami kerosakan pada tayar. Oleh itu perlu ditukar dengan segera. Dalam 30 minit tayar berjaya ditukar namun van kami pula mengalami masalah. 


tayar pancit lagi

Setelah diperiksa, rim skrul sudah longgar. Setelah dibetulkan, kami bergerak semula. Kami sempat tiba di lapangan terbang sejam setengah sebelum bergerak. Dari bandar Nairobi kami kembali ke bandar Abu Dhabi. Kami tiba pukul 8.30 malam waktu UAE. Saya, Ramli, Mawi dan Kicok mengambil keputusan makan di luar kawasan bermakna kami perlu mengecop imigresen untuk keluar dari lapangan terbang. Kami di satu kedai.

Makanan di sini sangat banyak dan sedap. Sungguh berselera melihat makanan mereka. Saya seperti biasa berjaya menghabiskan keseluruhan makanan tanpa banyak masalah.

Selesai makan, kami masuk semula. Namun kata Abang Ayob penerbangan delay sehingga pukul 7.55 pagi dari 2.10 pagi yang sepatutnya. Apabila di tanya, barulah masing-masing mendapat bilik. Proses mendapat bilik dari transfer desk hingga ke kaunter kenderaan sehingga menunggu bas mengambil masa yang panjang. Dalam memanggil semula rakan-rakan yang sudah berpecah, ada juga yang tertinggal iaitu Tokkie. Beliau tidak dapat dihubungi walaupun berada berhampiran. Kicok yang sukarela cuba mencari tiba-tiba mengecop keluar dari imigresen sekali lagi. Maka Tokkie akan bersendirian di lapangan terbang.


hotel city season

Oleh kerana terlalu lama, kami menyuruh petugas mempercepatkan urusan keluar. Sekitar 2 jam barulah kami dapat menaiki bas. Termakbul permintaan Ramli yang mengatakan transit 6 jam di lapangan terbang boleh kami keluar ke bandar Abu Dhabi.




bilik kami

Kami dibawa ke Hotel City Season sekitar 30 minit perjalanan. Hotel yang dianggarkan sekitar 2000 Dirham atau AED yang hampir sama dengan matawang kita.





Hotel ini menawarkan kami dibenarkan makan malam walaupun sekadar nasi goreng. Tidak lama kemudian Tokkie datang menjelmakan diri. Tokkie turut check-in tapi tidak duduk di biliknya kerana takut tertinggal lagi.

5 Sept 2014

selamat tinggal Kenya

Kami sedia bergerak ke lapangan terbang setelah solat subuh. Pukul 9 pagi barulah kapal terbang berlepas.

tiba di KLIA dan penyerahan sijil

Kami tiba di KLIA sekitar pukul 8.30 malam. Sekian sahaja perjalanan kami sekitar 2 minggu bersama. Gunung Kilimanjaro memberi kenangan yang sangat terindah dalam siri gunung-gunung yang pernah saya naik. Berjumpa lagi di lain gunung.
Wsalam.   

0 comments:

Post a Comment