Menguji setiakawan di ketinggian 5000 meter di Gunung Elbrus, Russia


Salam,

Hari ini saya berpeluang mengikuti satu lagi ekpedisi ke Gunung Elbrus sehingga 18 September 2015 dalam percubaan menamatkan badi 3 tahun lepas(cerita sini) semasa pendakian Qobin menamatkan 7 gunung tertinggi di setiap benua. Ekspedisi di ketuai oleh Muhamad Ilaham Ishak atau Pa am dari Puncak Venture Sdn Bhd, salah seorang jurulatih pendakian Felda Everest yang berjaya menawan puncak Gunung Everest 2 tahun lepas.


Tiket sudah dibeli semasa di Matta Fair pada bulan Mac lalu. Ada yang bergerak sehari kemudian. Bersama saya dan Ramli adalah Wan Azman atau Mang yang sudah mendaki bersama semasa kami mendaki Gunung Kilimanjaro tahun lepas. Wan Azman juga orang pertama dari Malaysia yang sudah melengkapkan kesemua 7 gunung tertinggi di setiap provinsi di Indonesia.


Gunung Elbrus terletak di selatan kiri Russia berhampiran sempadan Georgia. Gunung Elbrus juga terletak di utara pergunungan Kaukasus Besar di Kabardino-Balkaria. Inilah gunung tertinggi di Russia bahkan di Eropah dan lebih tinggi dari Blanc di Perancis dan Alps di Switzerland.

9 September 2015 

Pesawat Emirates mula bergerak pada pukul 10.40 pagi dari KLIA menuju ke Dubai. Perjalanan selama 7 jam kami tiba pukul 1.20 tengah hari waktu tempatan. Dilaporkan tiket yang dbeli secara online sudah dibatalkan dan ini merisaukan kami.

makanan di pesawat Emirates memang mewah

Kami transit dalam 4 jam mengikut jadual sebelum diberitahu penerbangan seterusnya tertangguh selama sejam lima belas minit lagi. Kami menaiki tren ke pintu seterusnya.

nak masuk ke pintu A untuk transit di Dubai

Saya dan Ramli berjalan-jalan dan makan di The Gourmet di pintu A manakala Mang mencari tiket balik untuk dicetak semula di kaunter pintu B dan makan di McDonald. Di sini hanya sejam diperuntukkan untuk berinternet melalui satu wifi yang diberikan sahaja. Untuk meneruskan wifi, saya perlu ke kedai wifi yang berhampiran dan yang terdekat adalah Cafe Costa. Hanya AED 11 atau RM 12 secawan kecil memadai untuk sejam lagi untuk wifi. Kami duduk di kerusi yang boleh baring dan disediakan di pintu B24. Pada masa ini rakan-rakan lain baru masuk kapal terbang di KLIA.

Selepas pesawat bergerak pukul 6.40 petang di tempat duduk yang sama iaitu 18D, kami di udara selama 5 jam lagi. Pukul 11 malam kami tiba di Lapangan Terbang Domodedovo, Moscow. Selepas keluar dari imej pengesahan, kami mencari tempat untuk berehat. Ternyata tempat agak terhad dan sempit walaupun ada ruang yang besar. 

Ramli kemudian di sapa oleh seorang Russian yang kemudian menawarkan satu bilik untuk kami bertiga dengan perjalanan sekitar 6 minit dari Lapangan Terbang Domodedovo ini. Kami bersetuju dengan harga 80 USD semua sekali. Perjalanan agak jauh sebenarnya dengan laluan seperti jalan yang tidak siap.

berbual di sebelah jendela Ramli dan Mang

Kami tiba di rumah homestay rupanya. Tempat ini di panggil Plenayar dan mempunyai wifi.

10 September 2015

Selepas berehat dalam beberapa jam sahaja, kami bergerak menuju ke lapangan terbang semula. Rupanya kami salah faham kerana rakan kami sudah tiba seawal 7 pagi. Manakala tiket yang dibatalkan sudah berjaya dibeli semula tetapi melalui kaunter.

di pintu masuk homestay

Kami pantas ke lapangan terbang dalam keadaan jalan jem. Pemandu berbangsa Russia yang kami panggil Sergei dan yang juga mengambil kami semalam membawa 2 lagi penumpang. Kami berbual dan menukar duit. Oleh kerana perjalanan dekat tapi jem yang agak teruk, pemandu kami memandu ke garisan kiri dan memandu laju tanpa perasaan.

Kami tiba di lapangan terbang dan mencari rakan-rakan. Saya membeli sim kad MTC yang terdapat di bawah lif tengah dan boleh menghubung hampir 78 kawasan utama di Russia. Kami kemudian berjumpa dengan Pa am.

Kali ke 2 ke Eropah juga ke Russia dengan cerita sama. Depan ini lapangan terbang Domodedovo lagi. Dulu bergambar sebelah hujung sana

Rupanya kami perlu check-in di sini juga di kaunter domestik.  Pelayan di kaunter check-in  bercakap dalam bahasa Russia dengan kasar dan kami tidak faham. Rupa nya tali duffel beg disuruh tanggal manakala beg Mang di suruh ke kaunter lain kerana terlalu besar.

Abang Ayob dan Asmawi atau Mawi yang juga mendaki bersama di Gunung Kilimanjaro tahun lepas tidak kelihatan kerana sudah pergi meronda ke bandar Moscow melalui tren dalam 1000 Rubbles.. Mereka berjalan-jalan ke Downtown, Arbat Road dan Red Square.

Sementara menunggu waktu terluang dan berasa lapar, kami makan di Restoran Papika di tingkat atas. Kami makan nasi vege atau nasi campur sayur. Selesai makan, saya dan Ramli berjalan ke belakang dan mendapati terdapat satu restoran roti nan berstatus halal di sana.

Selepas Sobrie sampai, kami masuk ke kawasan boarding pukul 3.45 pm. Turut sama kami adalah Jack, Taufik dan Nizar atau Mongkut. Taufik merupakan kenalan saya dan Ramli sewaktu mendaki Gunung Raung di Surabaya.

Kapal terbang domestik bergerak pukul 4.20 petang. Sejam 25 minit kami tiba di Lapangan Terbang Mineral Vody. Agak terperanjat kerana tiada peraturan ketat untuk memeriksa beg seperti biasa.

sampai di lapangan terbang Mineral Vody

Hanya pukul 7.30 malam baru kami bergerak selepas bertemu dengan Lyana, jururunding yang biasa Pa am berurusan dengan menaiki van jenama Lada. Sebaik keluar dari lapangan terbang, jalan mula jem.

berhenti rehat dan makan Cis puri 

Kami berhenti di satu kawasan untuk berehat. Sambil berehat kami memesan Cis Puri dan teh O panas setiap seorang.

ramai-ramai makan

Pukul 10.40 malam kami sampai di Hotel Laguna. Saya dan Ramli di bilik 305. Kami diberi hidangan sup dan makan nasi. Selepas makan Pa am memberi taklimat ringkas tentang peralatan dan itinerari untuk esok.

11 September 2015

sarapan pagi dengan bubur
Hotel Laguna

Hotel Laguna mempunyai ketinggian 1988 meter dan cuaca agak kabus. Pukul 8 pagi kami sarapan dan bersiap untuk latihan pertama kami. Rupanya pergunungan Cheget hanya berjalan kaki sahaja dari sini. Kami kemudian menaiki kereta kabel sehingga sampai ke hujung.


persiapan ke Gunung Cheget

naik kereta kabel

bersama Sobrie@abie

Selepas turun dan bergambar, kami berjalan ke atas untuk proses acclimatize iaitu menyesuaikan diri dengan persekitaran 3000 meter dan AMS.





Kami berhenti rehat di satu kawasan rehat dan bergambar.


Selepas bergambar, kami naik sehingga ke kawasan sempadan Georgia yang ditandakan. Ketinggian di sini adalah sekitar 3000 meter. Kami bergambar lagi di sekitar panorama yang cantik dan terdapat bentuk puncak Elbrus di kanan kami.

bergambar di sempadan
dah turun

Selepas pukul 2 petang, kami turun semula. Kami tiba di kedai makanan halal di hujung sekali. Kami semua memesan kambing bakar atau dalam menu dipanggil Herbert manakala Abang Ayob memesan Salmon. Kata Mang, herbert dia memang lembut dan berbaloi untuk memesan lagi malam nanti.

makan kambing bakar atau Herbert
pembuka selera
kata Mang lembut daging kambing ini

Selepas makan, kami berjalan di sekitar kaki pergunungan Cheget. Petang sekitar pukul 5 kami ke kedai untuk menyewa kasut boot, tongkat atau poles, gaiters dan crampon. Saya antara paling akhir. Kasut yang dipakai bersaiz 44 agak ketat dan saya agak risau. Saya cuba mendapatkan kasut lain tetapi tiada stok. Kasut yang ada perlu tunggu sejam untuk diambil kerana masih basah.

sewa peralatan

Sementara di kedai sebelah terdapat kedai outdoor. Saya, Ramli dan Taufik yang menjadi antara yang terakhir menyewa peralatan singgah untuk membeli stokin wool dan beberapa barang lain.

test boot dan crampon 
Selepas makan malam sekitar pukul 8, Pa am  mengadakan taklimat cara-cara memakai crampon dan cara  jalan yang betul. 

sessi takimat lagi

12 September 2015

Hari ini berlaku perubahan jadual di mana kami tidak ke Terskol. Kami sebaliknya naik kereta kabel untuk sampai ke Gara Bashi. Seawal 9 pagi, Pa am mengarahkan kami bersenam. Ada yang lambat dan ada yang melakukan kesalahan maka mereka dikenakan denda 10 kali pumpin.

Kat hotel hari ini cuaca baik sampai boleh nampak puncak elbrus

Kami melakukan perbarisan menyanyikan lagu Negaraku sehingga muncul guide kami Vladimir atau Vova. Beliau sebaya saya dan sudah menaiki puncak Elbrus sebanyak 158 kali.

kena denda 10 kali pasal sambal daging bawak sikit

Kami kemudian menaiki van menuju ke kaki kereta kabel. Kata Pa am kos kereta kabel adalah 300 rubbles seorang.

dalam kereta kabel
geng belakang

take 5 jap

Selepas tiba di hentian pertama di Stesyen Mir, kami dikehendaki memasang boot dan gaiters yang disewa untuk berlatih di atas ais pula. Dari ketinggian 3500 meter kami bergerak ke Gara Bashi.

Dari ketinggian 3500 meter

Kami melalui laluan bawah kereta kabel dengan suasana yang bercampur sejuk dan panas. Ada masa lori-lori bergerak melalui laluan kami. Kami terpaksa mengelak dengan menaiki bahagian tepi.

berehat di Barrel Hut 
persiapan memakai crampon untuk mendaki kawasan salji pulak
bergerak naik ke atas
dulu tak de salji sangat kat sini 




suka Taufik dengan suasana salji ni
dah nak turun

Saya mula-mula lagi merasa ada sesuatu di kaki dan tidak selesa. Kasut boot merah ini akan menyebabkan kaki melecet sikit demi sedikit di atas tumit dan di tepi. Bila tiba di Gara Bashi, kami berehat selama 30 minit.

Perjalanan diteruskan melalui Barrel Hut dan kaki melecet terpaksa saya tahan. Kali ini kami kena memakai crampon dan merasa laluan salji. Di Barrel Hut cuaca sangat panas, berangin dan tiada salji.

Selepas melepasi salji sebaik 5 minit dari Barrel Hut,  saya dapat melihat banyak laluan air bagai sungai mencurah-curah turun dari atas. Ada 2 kali kami terpaksa melangkah. Kami perlahan-lahan berjalan di atas ais selama 40 minit dan berhenti sehingga di ketinggian 4200 meter pada pukul 2.30 petang.

Semasa turun dan melepasi laluan air, termos saya jatuh. Vova mencari dan dapat mencapai termos saya. Selepas itu kami turun semula ke kereta kabel dan menyambung ke restoran untuk makan Herbert. Saya tidak ke sana sekadar singgah ke kedai cenderahati dan ke hotel semula.

13 September 2015 

Pagi nya kami bangun dan sarapan yang sama lagi. Beg satu duffel diisi untuk 2 orang. Ada yang tidak muat sebab sleeping bag yang sangat besar. Saya kemudian ke kedai sewa untuk menyewa barangan lain dan menukar boot dan mendapati boot saiz 43 Koflach warna kuning sesuai dengan kaki saya yang sudah melecet.

kasut jenis Koflach ini bagus sangat
susun barang di kaki kereta kabel 
siap sedia naik kereta kabel

Dalam kereta kabel kata Lyana pada Pa am cuaca tidak baik dan kemudian akan berlaku ribut salji tetapi ramalan bacaan mengatakan angin sekitar 15-20 km/h. Di hentian terakhir iaitu di Stesyen Mir barang-barang dihantar juga menggunakan single seater iaitu satu tempat duduk berbanding 2 di sebelah satu lagi. Di tambah tempat duduk tersebut tiada tempat untuk menutup penuh.

gembira lagi wajah Taufik

Selesai di sini, kami mengatur langkah ke kereta kabel lagi. Kali ini Lyana sampai dengan membawa makanan dan minuman di mana berkotak-kotak akan dihantar ke Barrel Hut.

barang nak sampai dah tu 
pikul sampai ke bilik kat Barrel Hut 

Barang-barang makanan termasuk duffel di angkat bergilir-gilir dari kabel ke kabel dan dari satu tempat duduk hingga ke singgahan terakhir di bawah Barrel Hut iaitu Gara Bashi pada ketinggian yang di nyata di sini iaitu 3500 meter.

Kabin 1 dan 2 tempat bermalam kami  
tempat tidur  
makan tengahari  
kat luar tu salji baru turun

Kata Pa am kami akan naik esok pagi untuk ke puncak Elbrus atau acclimatize lagi bergantung pada cuaca. Kami di jangka naik ke ketinggian 4700 meter di mana tiada sebarang bayaran dikenakan. Bayaran cuma dikenakan pada ketinggian 5000 meter sebanyak 1000 Euro manakala turun 600 Euro.

Jadi kami bersiap petang tersebut. Pa am memesan supaya minum 2 liter air dan makan sampai habis. Pa am pesan lagi supaya menjaga masa dan bersiap memakai crampon esok pagi.

14 September 2015 

Pukul 11.45 malam kami bangun dengan semua sudah bersiap untuk bergerak. Pukul 12.30 tengah malam kami makan untuk mengisi perut. Sebelum pukul 1.30 pagi semua sudah siap sedia termasuk memakai harnes dan crampon untuk memulakan ekspedisi samada naik terus atau acclimatize.

bergambar dulu

Kami menaiki row truck menuju ke ketinggian 4700 meter. Selepas 30 minit, baru row truck berhenti dan kami mula berjalan dalam salji.

dalam row truck 

Menggunakan goggle sendiri, nampak laluan kurang jelas. Kami sentiasa melakukan kesilapan mudah seperti kejap-kejap berhenti dan membetulkan peralatan. Ada yang masih meletakkan goggle dan mitten di dalam beg galas walhal suasana sudah berkabus. Kami mengambil masa yang lama yang menyesuaikan keadaan dan ini membuatkan guide Vova marah.

kebanyakan gambar dari Pa am dan Abang Ayob

Suasana berkabus dalam perjalanan menaik. Saya merasa sangat sejuk ketika ini. Apabila anda tidak melindungi bahagian yang mudah terdedah pada tahap beku, maka bahagian tersebut akan terasa pedih dan kebas. Ini yang berlaku pada cuping telinga saya. Ia seperti menggigit di sebelah kiri.

sejuk nak beku dah ... sini sekitar -20 celcius

Kabus semakin tebal di depan. Bagi kami semua kecuali Pa am, ini merupakan pengalaman pertama berhadapan dengan suasana seperti ribut. Disebabkan sejuk, ramai yang susah untuk mengambil makanan dan minuman apatah lagi menggunakan mitten. Air 100 plus yang saya bawa pula tumpah habis ke bawah tapi saya dapat minum sikit.

nampak sangat berkumpul disitu

Membuka makanan dan minuman yang masih bertutup memang satu masalah. Disebabkan gagal untuk makan dan minum, masing-masing mula kelaparan sedangkan laluan menaik masih diteruskan.

matahari mula menjelma

Ada yang tersasar dari laluan kerana penglihatan goggle kurang jelas. Di belakang saya juga nampak ada yang berjalan ke kanan dan semakin agak jauh dari jalur laluan kumpulan.

Apabila tiba di ketinggian 4900 meter, Pa am memberitahu supaya berhenti dan patah balik ke row truck. Di sini dapat dilihat ramai yang sudah kehabisan tenaga. Gula-gula yang cuba saya hulurkan ke Mawi hanya satu dan yang lain jatuh berterabur.

Suasana pagi mula kelihatan dari kiri kami sewaktu turun. Kami sempat tiba di row truck yang kemudian turun menghantar ke Barrel Hut.

dari atas menurun ke bawah

Pa am  mengucapkan tahniah pada kami kerana berjaya mengharungi suasana kabus walaupun agak kalut tadi. Katanya mungkin malam esok kami diberi  lampu hijau untuk ke puncak Elbrus.

Apabila tiba di Barrel Hut, masing-masing menceritakan pengalaman masing-masing. Ada yang cuba membuang air tapi tak boleh dan cuma mengangkang sahaja. Ada yang makan tapi masih tak cukup tenaga.

pandang balik ke atas

Semua kerana penangan mendaki Gunung Elbrus ini. Jadi untuk esok kami harus bersedia lebih dari ini.


Video dari kamera Pa am

15 September 2015 

Hari yang dinantikan tiba juga. Saya sudah bersiap sedia dengan harapan untuk sampai ke puncak Elbrus kali ini setelah tersangkut di ketinggian 4800 meter pada Ogos tahun 2012 yang lalu. Memang kata orang Gunung Elbrus berbeza dengan gunung-gunung yang pernah didaki namun harus terima seadanya jika itu ketentuanNYA.

Kami bermula sama seperti sebelumnya tapi naik lebih tinggi sehingga 5000 meter. Row truck berhenti di atas Rock Pastukhov dan kami memulakan pendakian dengan menaik. Kami diberi sehingga pukul 12 tengahari dan jika tidak sampai ke puncak maka semua kena turun.

Selepas 2 jam mendaki sahaja kami tiba di lereng sebelah puncak Gunung Elbrus timur. Kami berjalan selama 30-40 minit ke satu kawasan yang dipanggil Sadle iaitu di lereng kiri yang bergaung. Ada 2 jalur atas bawah dan kadang-kadang sebelah menyebelah. Setiba di hujung Sadle baru kami dapat rehat. Puncak yang harus naik adalah di barat kerana ia lebih tinggi.
 
Masa ini ice axe sangat diperlukan kerana dapat di lihat sangat tinggi di atas sana. Malangnya ice axe tidak dibawa oleh Ramli dan ini lebih menyukarkan kami kerana hanya beberapa kerat sahaja yang membawa.

berehat 10 minit

Berlaku seperti yang dijangkakan oleh Pa am,  guide Vova tidak mahu bekerjasama dengan kami kerana kekurangan ice axe. Pa am kemudian mengarahkan safety rope di pasang sesama kami. Di sini akan ada satu lagi masalah timbul bagi kami yang kurang pengalaman mendaki gunung bersalji apabila jika ada seorang di safety rope penat maka semua sekali kena berhenti dan tali yang dijarakkan akan menjadi tegang.

mula sambung tali dan naik

Selepas melalui fasa 2 iaitu dari Sadle sehingga ke laluan rata, kami menaik agak lama seperti masa mula-mula tadi. Di sini ramai yang kepenatan disebabkan penggunaan tali. Mana yang mudah lapar akan mudah kehilangan arah dan tali mula tegang.



Lagi beberapa meter untuk sampai ke tempat rata, terdapat tali berwarna merah yang disambungkan ke setiap laluan yang curah. Menggunakan carabiner, kami mengikat tali tersebut. Inilah merupakan kesilapan paling besar pada kami kerana tali tersebut terlalu curam ke gaung sedangkan terdapat laluan menaik di sebelahnya. Kami dipotong beberapa kali oleh pendaki-pendaki lain di sini termasuk beberapa orang wanita yang sempat memberitahu tips untuk mendaki iaitu dengan cara membongkok dan bergerak sangat perlahan menggunakan pole.

hayuh laju-laju walaupun tak laju 
Nizar atau Mongkut sedang berjuang 
begitu juga Jac masih bertahan 
susah nak jalan kalau orang belakang tak bergerak 

Kami tidak mampu fokus kerana ada yang jatuh dan tersangkut ke tali sambil crampon terlucut dan ada yang tidak mahu bergerak kerana kepenatan. Di sini kami membuang terlalu banyak masa dan masa pukul 12 tengahari makin menghampiri. Saya sendiri jatuh dan  bergantung pada tali. Abang Ayob yang paling depan juga jatuh manakala di belakang saya Ramli sudah banyak melakukan kesilapan kerana kelaparan.



Setelah bersusah payah untuk naik semula di kawasan rata cuma 30 meter sahaja, kami berjaya bergerak. Kelihatan Mang dan Mawi sudah mula turun melalui laluan kami. Katanya mereka sudah sampai ke puncak pukul 10 pagi tadi.

Mawi dah gerak dulu

Selepas berpeluang untuk berjalan di laluan yang rata semula, guide Vova mengarahkan beberapa orang yang perlahan perlu turun. Ada 3 orang kena turun termasuk saya. Peluang untuk ke puncak seakan sudah pudar. Masa ini semua rakan-rakan kami berperang mulut dengan Vova yang kerap meminta kami turun atas alasan sama iaitu keselamatan.

menghampiri puncak

Setelah 3 orang turun, saya berkeras untuk naik semula kerana masih tidak jauh dari rakan-rakan di atas. Saya berjaya meyakinkan Vova untuk naik dan Vova memberitahu jangan berhenti dan jika berhenti maka saya kena turun.

dah tak jauh dari puncak barat Elbrus

Setelah berjalan 10 minit, saya meminta take 5 dan Vova mengarahkan saya turun. Berlaku pertengkaran lagi dan setelah 10 minit Vova masih memberi peluang lagi. kata Vova jika take 5 lagi dan berhenti lagi maka kena turun juga. Peluang kedua datang lagi dan saya terus mara ke depan.

hanya setakat ini je mampu ... lagi 30 minit ke puncak berkubur lagi satu misi

Kami kemudian berjaya bertemu dengan rakan di depan yang tidak jauh pun. Setelah menjadi orang terakhir bergerak kami tiba di 30 minit terakhir sebelum ke puncak Elbrus. Di sini saya melakukan kesilapan iaitu meminta take 5 lagi. Setelah berlaku lagi pertengkaran, Vova mengheret saya turun ke bawah dan harapan ke puncak sudah berakhir.

Saya terpaksa bersetuju dan mengambil gambar di sini. Tiada lagi rakan-rakan memberi kata-kata semangat sesama sendiri. Peluang 3 tahun habis di sini sambil menanti harapan-harapan lain untuk ke puncak Elbrus walaupun hanya tinggal 30 minit lagi untuk ke puncak yang sudah kelihatan di depan mata.

Apa yang dirancang tidak seperti dijangkakan. Hampir semua rakan termasuk Sobrie yang kurang latihan sehingga dicabar samada sampai ke puncak Elbrus juga sampai. Sobrie ibarat pasukan bolasepak Denmark yang bermain di Piala Eropah pada tahun 1992. Kisahnya sudah tersingkir di peringkat kumpulan dan pemain-pemain sudah berada di pantai untuk bercuti tetapi juara kumpulan tersebut Yugoslavia mengalami krisis negara sehingga digantung. Pasukan bercuti tanpa bintang Denmark bergegas siap dan mengharungi jadual padat sehingga mara ke separuh akhir yang kemudian mengalahkan juara bertahan Belanda dan juara dunia Jerman di peringkat akhir. Begitu underdog Sobrie kali ini dan kemungkinan ada sedikit bantuan arcoxia memberi harapan.

Mawi kepenatan setelah tiba di puncak Elbrus 
Tahniah Mang dan Mawi menjadi orang pertama tiba di puncak Elbrus sekitar pukul 10
video dari Sobrie

Setelah lama menanti, saya pun tertidur di sini. Setelah menanti 2 jam menunggu rakan-rakan di depan sekitar pukul 4 petang baru lah semua turun. Saya dan Ramli yang ditemani oleh Vova turun dahulu manakala Abang Ayob, Sobrie dan Pa am di belakang.

Ramli di lihat sangat teruk prestasi nya kali ini dan kerap duduk sebaik jalan. Turun kali ini ada tali merah di 2 kawasan. Di depan kami ada gaung dan di bawah adalah laluan ke Sadle. Saya menggunakan tali merah tersebut. Sehabis tali merah iaitu tempat kami tersangkut lama tadi, saya cuba membuka dan turun sambil melekatkan balik ke tali merah di depan menggunakan carabiner.

kalau ikutkan dari arah atas ini lah saya jatuh terus turun ke Sadle atas sikit dari orang dalam gambar ini

Namun berlaku satu kejadian di depan Ramli dan Vova. Saya jatuh terus menerus ke bawah setinggi 100 meter selama 15 saat. Tidak jauh dari tempat saya berhenti, ada 2-2 pole termasuk kamera saya. Kejatuhan ini menyebabkan lutut saya ada terasa sesuatu tapi tidak sakit lagi.  Ramli dan Vova sudah jauh saya tinggalkan disebabkan saya jatuh ini.

Setelah lama termenung, Vova datang memberikan pole dan kamera. Kami bertiga bergerak ke Sadle dan berhenti rehat di sana. Ketika ini Vova sangat baik termasuk memberi bantuan yang cukup pada kami. Kami dapat melihat dari jauh pergerakan Abang Ayob, Sobrie dan Pa am yang nampak masih jauh.

Kami bertiga jalan lagi ke depan sikit demi sedikit sambil Vova memerhatikan mereka. Vova kemudian beberapa kali pergi ke tempat mereka walaupun sangat jauh. Senja-senja di Sadle dan menanti Vova yang pergi ke belakang selama 10-15 minit, saya dapat memerhatikan awan-awan membentuk gambar seperti budak, kepala kucing, kepala anjing, kereta dan lain-lain halusinasi dari arah gaung di sebelah kanan.

Kami kemudian bergerak menuju ke laluan menurun. Dari jauh kelihatan lampu besar row truck menunggu. kami memerlukan 50 minit untuk tiba di sana dan beberapa kali berhenti.

Setelah sampai di row truck, kami naik. Disebabkan kepenatan, kami tertidur dan tiba-tiba sampai di Barrel Hut. Saya cuba untuk makan sup tapi tak terdaya. Saya kemudian tertidur di dapur mereka sebelum dikejutkan.

Video dalam perjalanan ke puncak Elbrus ... walaupun tak sampai juga ke puncak dan ada sijil tapi in sya allah akan cuba lagi next trip

16 September 2015 

Hari ini  kami akan turun ke Hotel Laguna. Namun ada kejutan dari Pa am sebab hari ini adalah hari rest day atau hari simpanan. Bagi yang tidak naik semalam boleh cuba lagi tapi harga lain.

Pa am membenarkan saya dan Nizar atau Mongkut naik. Namun saya terpaksa melupakan hasrat tersebut sebab jatuh di Sadle sudah memberi kesan. Lutut kiri mula terasa sakit.

bergambar kenangan dengan Pa am dan Sobrie 

geng tanpa baju

Nizar kemudian mengesahkan yang beliau akan cuba melakukan yang terbaik untuk ke puncak Elbrus. Kami memberikan kata-kata semangat pada Nizar.

Memandangkan kereta kabel single seater rosak, kami terpaksa menggunakan lori ke bawah untuk ke kereta kabel yang besar.

Perjalanan turun dengan selamat nya dan kami tiba di Hotel Laguna. Petang nya kami menghantar pulang barang-barang yang sudah disewa.

17 September 2015 

Hari ini tiba lah masa untuk kami pulang. Pukul 9 pagi, van sudah sampai untuk membawa kami keluar. Bagi saya dan Ramli, Kami perlu berada di lapangan terbang untuk menaiki pesawat pukul 3.25 petang,

penat dan tidur macam lama tak tidur

Perjalanan di kiri dan kanan agak tenang. Pa am sekali sekala menelepon Lyana dengan talian putus-putus untuk memberitahu jadual terkini kerana Abang Ayob dan Mawi akan ke Moscow dan bakal menaiki pesawat pukul 8 malam.

berpisah dengan rakan-rakan selepas seminggu bersama

Kami tiba di satu kawasan lapang dan bertemu dengan Lyana pukul 10.30 pagi. Selepas taklimat dari Lyana dan bersalaman dengan rakan-rakan yang akan meneruskan perjalanan ke Nalchik dan esok nya ke St Petersburg, saya dan Ramli menaiki kereta dipandu oleh pemandu tempatan. Kami tidak bercakap dan hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja.

Nizar sampai ke puncak Elbrus pagi tadi

Diberitakan Nizar sudah berjaya menawan puncak Elbrus pagi tadi pukul 8.50. Syabas Nizar.

ikut jalan potong mengelak jem

Sambil itu, perjalanan kami melalui beberapa bandar dan pekan, ada masa berhadapan jalan jem. Pemandu kami mendapat arahan dari kenderaan bertentangan yang mengatakan jem sangat teruk. Pemandu kami mencari laluan alternatif yang melalui jalan-jalan berpasir.

jalan di seberang jem teruk
gambar-gambar berikut adalah sekitar Nalchik dan St Petersburg serta Moscow dari group watsap selepas kami bergerak pulang 
banyak gila 
Abang Ayob dan Mawi di butik outdoor Red Fox  
Tahniah Nizar @ Mongkut berjaya sampai puncak Elbrus  




Taufik di St Petersburg 
giliran Mang pulak singgah Red Fox

Kami tiba di lapangan terbang pukul 1.20 petang. Selepas membayar wang yang diperlukan oleh Lyana serta hutang-hutang lain, pemandu kami pun beredar. Kami bergerak menaiki pesawat tepat masa nya. Kali ini perjalanan 2 jam 25 minit menaiki Oval Airlines.

Pukul 5.40 petang kami tiba di Lapangan Terbang Domodedovo. Kami makan semula di restoran roti nan yang halal dan terjumpa ruang solat di petak F yang agak kecil.

18 September 2015

Pukul 12.05 tengah malam, baru kami bergerak ke menuju ke Dubai. Selepas subuh kami tiba dan solat di sana. Ada beberapa jam di Lapangan Terbang Dubai saya membeli coklat untuk anak-anak makan.

Pukul 10.40 pagi waktu tempatan kami berangkat ke KLIA dan tiba pukul 9.45 malam.

Sekian sahaja ekspedisi kali ini. bagi saya walaupun ada sijil tetapi saya merasa tidak lengkap jika tidak tiba di puncak untuk bergambar. Mungkin satu hari nanti untuk ekspedisi seterusnya ke Gunung Elbrus penantian ini akan berakhir dengan rasminya.

Wasalam

Masalah-masalah yang perlu diatasi bila berhadapan dengan Gunung Elbrus atau gunung yang berketinggian 5000 meter:

1. Bawa wang dengan banyak sekitar 2000 Euro dan 1000 Usd atau kad debit/kredit boleh dikeluarkan di mesin ATM. Ada kemungkinan akan naik gunung lagi selepas acclimatize. Cuma sediakan wang sahaja.
2. Berlatih dengan gunung-gunung yang sepadan dengan nya kerana gunung yang ada di Malaysia tidak banyak membantu. Contoh naik gunung Damawant di Iran atau Siguniang di China.
3. Bawa ubat tahan lapar, AMS atau tambah tenaga kerana makanan yang ada kurang membantu atau tidak membantu langsung. Jangan lupa bawa juga Acorxia dan Diamox.
4. Berlatih menggunakan mitten untuk buka zip atau makanan.
5. Bagi semangat kepada kawan atau bantuan dari rakan di ketinggian 5000 meter sangat berguna walaupun penat.
6. Guna laluan yang betul. Di Sadle kami menggunakan laluan yang salah dan ada yang terjatuh dan masa sangat terbuang.
7. Menukar pakaian yang sesuai dari kepala sampai kaki. Yang paling penting kepala.
8. Jangan tunjuk cara budaya Malaysia bila guide suruh turun. Yang penting lawan guide walaupun kena maki dan maki balik bila perlu. Guide tidak akan memukul anda kerana mereka profesional.
9. Perlu mengambil tahu gunung yang kita mahu naik dan apa kesusahan serta rintangannya.
10. Kadang-kadang bergerak dalam kumpulan kecil 2-3 orang pun memadai sebab guide atau ketua kumpulan belum tentu fokus terhadap masalah kita seorang.

Perbezaan ekspedisi 2012 dan 2015:-

1. Dulu peserta 20 orang sekarang 10 orang.
2. Dulu kena bergerak ke lapangan terbang domestik lain menaiki bas untuk ke Mineral Vody sekarang boleh naik dari Lapangan terbang Domodedovo tanpa naik bas.
3. Dulu tak sempat singgah lama di Lapangan Terbang Domodedovo sekarang singgah lama ada restoran roti naan yang halal dan tempat solat bahagian tengah di petak F di bawah tangga.
4. Dulu duduk di Hotel Oemio berhampiran kaki kereta kabel ke Barrel hut sekarang duduk di Hotel Laguna. Jalan kaki ke Cheget.
5. Dulu hari ke 2 naik Gunung Terskol sekarang terus naik ke Barrel Hut dan naik sampai ke ketinggian 4200 meter
6. Dulu berlatih acclimatize di Rock Pastukov selama sejam dan turun. Sekarang naik row truck di 4700 meter dan jalan sehingga 4900 meter
7. Dulu mula naik di ketinggian 4400 meter dan sangkut sebelum bawah Sadle sekarang naik di ketinggian 5000 meter dan sangkut 30 minit sebelum sampai puncak.
8. Dulu habis trip singgah bandar Nalchik sekarang terus ke Lapangan Terbang Mineral Vody.
9. Dulu tak bersedia berhadapan gunung bersalji kerana tak berlatih sekarang tak bersedia bila makanan tak cukup.
10. Dulu di Barrel Hut salji sangat tebal sekarang tiada salji sangat. Begitu juga di atas ais sekarang banyak air seperti sungai turun mencurah-curah tetapi dulu tiada langsung sungai sebab beku.

Persiapan untuk masa hadapan:-

1. Naik gunung lain yang berketinggian dan berintangan sama.
2. Pakai pakaian yang sesuai dan lindungi kepala dengan buff atau apa-apa yang menutupnya.
3. Bawa wang lebih.
4. Mungkin pergi seorang atau kurang 4 orang supaya guide bole kawal semua.
5. Mencetak semua maklumat tentang gunung ini.
6. Ingat peristiwa atau barang yang disewa atau dibawa supaya tidak mudah lupa.
7. Menambah barangan yang ada seperti bawa bladder mudah sedut untuk mudah minum.
8. Naikkan berat badan lebih 5-10 kilo kerana kita akan kehilangan berat bila terasa lapar semasa naik nanti.

Alat-alat yang digunakan:-

1. Mitten - sarung tangan tebal macam sarung tangan ketuhar.
2. Crampon - kaki bergigi dipasang di boot.
3. Pole - tongkat yang mempunyai alas kaki yang lebih lebar dari biasa.
4. Gaiters - sarung kaki dari paras lutut ke separuh boot.
5. Harnes - tali pinggan khas yang dililit di pinggang.
6. Crabiner - Besi pejal bentuk telur atau 8 yang mengikat tali atau sebarang ikatan.
7. Safety rope - Tali pelbagai guna yang digunakan untuk mengikat kawan atau bantuan keselamatan supaya tidak jatuh terus.
8. Ada lain-lain lagi.

Info tambahan

1. Penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Domodedovo ke Mineral Vody berharga 3700 Rubbles dan 3770 pulang. dari Mineral Vody ke St Petersburg berharga 4300 Rubbles. Bayar cash ke Lyana.
2. Lapangan terbang Mineral Vody tiada lagi kes rasuah atau mudah ditipu kerana tiada orang jaga.
3. Jalan balik selalunya jem jadi bersiap awal.
4. Orang Russia sukar berbahasa English dan ada yang menggunakan translator di telepon.
5. Untuk cenderahati, kedai pertama di kanan di kaki Cheget disyorkan kerana ramah dan berkebolehan berbahasa English.
6. Beli baju t-shirt dewasa di kaki Cheget sekitar 350 Rubbles dan makan Herbert pun 350 Rubbles.
7. Pole patah bole diganti dengan harga 1000 rubbles manakala mitten 600 Rubbles sebelah.
8. Tukaran matawang semasa. 100 Rubbles = Rm6.20. Di Lapangan Terbang Domodedovo Rm6.30 manakala di Cheget Rm6.50.

Baca juga kisah kami di sini.
  
 photo pn80517_zps08rer6as.gif

2 comments:

  1. lepas ni masuk gym ler mir,
    jangan datang pakai selipar.

    ReplyDelete
  2. lawan tatap lawan.... the mountain is always there

    ReplyDelete