Rasa-rasa seram di trip Latimojong

Salam,


Semasa kami menaiki Gunung Nepo pada bulan Disember 2013 dulu di sini, kami nampak sebanjaran gunung berwarna hijau padi masak seperti banjaran Titiwangsa di depan kami manakala dari arah bertentangan adalah bandar kecil Parepare mengadap laut. Banjaran tersebut adalah banjaran Latimojong yang meliputi 11 lagi gunung-gunung lain seperti Rante Mario dan Latimojong sendiri. Kata Osman dan Ryan yang ketika itu menjadi guide kami rasa berbesar hati untuk menanti kunjungan kami lagi nanti untuk sama-sama mendaki Gunung Latimojong. Selepas hari itu, saban tahun kami cuba untuk kembali namun gagal sehinggalah peluang itu menjelma semula selepas mendaki Gunung Raung pada Februari tahun lepas.


Gunung Latimojong merupakan salah satu dari 7 gunung tertinggi di setiap kepulauan Indonesia atau panggilan singkatnya seven submit. Saya masih lagi belum mendaki Gunung Binaiya di Ambon, Bukit Raya di Kalimantan dan Carternsz Pyramid di Papua untuk menamatkan semuanya manakala Gunung Rinjani(2007), Semeru(2008) serta Kerinci(2010) sudah lama di tawan. 

2 Mei 2016

Pada awal sebelum trip ini bermula, saya berkemungkinan tidak turut serta dan merancang pergi di lain waktu akibat masalah kerja yang tidak dapat disiapkan mengikut jadual. Ada perkahwinan rakan mendaki juga tidak dapat hadir walaupun malam tersebut kami sekeluarga sudah check-in  di Hotel Bangi-Putrajaya. Saya tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya dan menyerahkan trip ini pada Ramli untuk menguruskan logistik serta makanan. Tiba di penghujung pun kerja masih tidak siap namun saya sudah melakukan yang termampu untuk siapkan.


Bersama saya, Ema dan Ramli kami bergerak ke Klia2 untuk berjumpa dengan Apis, Doktor Zamri serta Taha. 6 orang kami tiba di bandara atau Lapangan Terbang Sultan Hasanudin di Ujung Pandang, Makassar. Kami bertemu semula Ryan dan Osman yang akan dibantu oleh Yamin, Fausy dan Muklis.

sampai di lapangan terbang

Kami bergerak menaiki 2 buah kereta Avanza bersama pak supir. Kata Osman ade 4 lagi rakan-rakan dari Jakarta akan turut serta mendaki Gunung Latimojong dan juga Nenemori serta menyertai kami ke Gunung Sesean.

Dalam perjalanan kami sempat membeli topup Perdana sekitar 80 ribu ruppiah serta makan di kedai pilihan pak supir. Kata pak supir kedai dipilih kerana mereka boleh makan dan minum serta mendapat rokok secara percuma tetapi bagi kami yang makan ikan bertulang agak kurang.

tugu habibie, bekas presiden Indonesia

Kami tiba di Pare pare tempat dimana kami  minum kopi arang dulu. Dipekan Parepare terdapat tugu Habibie iaitu Presiden ke 3 Indonesia. Kami berhenti untuk berehat dan bergambar.

Baru 5 minit bergerak, bonet satu lagi avanza tidak ditutup rapat menyebabkan beberapa beg terpelanting keluar.

rosak beg akibat dilanggar kereta

Nampak nya ada permulaan yang kurang baik di sini.

Kami tiba di rumah Fausy di Desa Bontongan di Kecamatan(desa-desa) Baraka di Kabupaten(daerah) Enrekang pukul 3 pagi.

Perjalanan lebih kurang 9 jam dengan badan yang letih dan tidak fokus, kami masuk ke rumah dan makan makanan disediakan oleh keluarga Fausy sehingga kami tidur pukul 4.30 pagi. 

3 Mei 2016

Fausy tinggal bersama ibubapa dan beberapa adik beradiknya. Abangnya tinggal di bawah rumah bersama isteri dan seorang anak berusia 3 tahun. Kehadiran kami di rumah Fausy bagai menerima tetamu yang tidak diundang di pagi hari.

sarapan dulu

Makanan seperti pisang goreng serta air teh dan kopi disediakan.

rumah Fausy

Pagi pukul 6.45 Ramli keluar mencari sarapan dan makanan untuk bekalan tengahari. Agak malang pasar pagi tidak dibuka dan tiada sayuran untuk trip ini.

depan rumah

Kami bersiap menaiki lori pukul 9.40 pagi bersama rombongan dari Jakarta seramai 4 orang tersebut.


Laluan turun naik melalui rumah-rumah kampung, jambatan serta sebelah sungai kami dapat memerhatikan kanak-kanak sekolah serta pemandangan gunung-ganang yang indah.


Selepas 40 minit, lori berhenti untuk berehat. Kami menikmati pemandangan sama seperti di Cameron Highland sambil melayan karipap, dodol dan kopi.

dapur lama
rehat dan menikmati pemandangan 

tak ngeri ke duduk sebelah lori pasang hamok tu

Perjalanan diteruskan tetapi terhenti di satu kawasan lagi 3 kilometer untuk sampai kerana ada bulldozer berhenti dan diletakkan menghalang laluan kami. Hujan turun sedikit tapi kemudian reda semula.

anak-anak bersekolah


terhalang oleh laluan

Kami tiba di Desa Baraka pukul 1 tengahari. Desa Baraka adalah permulaan untuk mendaki Gunung Latimojong. Selepas solat jamak, kami makan tengahari dan bersiap untuk berjalan. Bersama kami ada 2 porter lagi untuk trip dan 2 porter untuk peserta bernilai sehari 150 ribu ruppiah. 10 minit selepas kami sampai ada berita mengatakan ada pendaki jatuh di Pos 2 tapi tidak tau keadaannya. Wang sebanyak 1.2 juta ruppiah diserahkan ke Ryan manakala baki 800 ribu dibayar oleh pendaki dari Jakarta.

selamaat datang ke Desa Baraka
daftar dulu 
doa selamat dan bergambar

Selepas doa selamat dan sedikit penerangan, kami memulakan perjalanan pukul 2.40 petang dan agak lewat di mana kami merupakan kumpulan paling akhir bergerak. Kami akan bermalam di Pos 5 kata Osman kerana sudah lewat dan tempat tidurnya luas.




Perjalanan bermula dengan mendaki sehingga melalui 2 kawasan air dan mendaki sehingga ke Pos 1 selama 50 minit. Hujan turun sedikit tetapi tidak lah basah teruk. Osman yang paling di belakang dapat dilihat dari jauh kedudukannya. Di Pos 1 kami dapat melihat pemandangan yang indah. Teman pendaki yang bermula awal sedikit tadi sudah bersama kami. 10 minit selepas berjalan dari Pos 1, kami masuk ke pintu gerbang.

tiba di Pos 1

Perjalanan kemudian bertukar makin lama makin kejam dengan turun naik sehingga melalui ada satu tempat agak bahaya. Di sini ada satu tali dan tempat pemijak yang sempit di tempat gaung yang dalam melalui sungai di bawah. Bunyi deras sungai semakin kuat dengan perjalanan turun naik menghadapi rintangan balak dan akar.




Kami tiba di Pos 2 pukul 5.15 petang. Di sini sangat sejuk kerana sebelah laluan sungai. Kami dapat melihat gua di sebelah kiri di sebelah sungai di mana sesuai untuk memasang 2 buah khemah. Sebelum menyeberang sungai terdapat juga tapak untuk memasang khemah. Untuk ke sebelah iaitu ke gua tersebut ada jambatan yang agak kurang kukuh perlu diseberangi. Kata pendaki yang sudah sampai ada pendaki jatuh semalam di titian ini tapi berjaya diselamatkan. Manakala teman pendaki dari Jakarta yang bersama kami sudah memasang khemah.

Menuju ke Pos 3 perjalanan mendaki batu-bata dan menaik selama sejam agak kejam juga. Di sini kami perhatikan  porter-porter berjalan sangat perlahan dan duduk di belakang kami.  

Di Pos 4 pula ada peserta dari Jakarta krem. Kami menghulurkan bantuan ubat-ubatan dan mengurut kawasan yang sakit. Untuk tiba di Pos 5 sekitar 45 minit diperlukan tetapi semangat untuk tiba semakin berkurangan.

penatnya nak sampai 

Kami tiba di Pos 5 pukul 11 malam. Hanya Ryan, Doktor Zamri dan Ema sahaja ada di sini. Khemah sudah siap dipasang serta kopi sudah siap dimasak oleh Ryan. Porter tiba 45 minit lewat dari kami sehingga semuanya selamat  tiba. Saya berhadapan masalah perut meragam sehingga tidak mampu makan apa-apa. Hanya makan arcoxia dan Eno untuk segera kembali normal. Harapan untuk sampai ke puncak Rante Mario dan Nenemori seperti samar-samar.

4 Mei 2016 .

Awal pagi kami semua bangun. Makanan disediakan oleh Ramli. Kami sudah lewat dari jadual.


Dianggarkan perjalanan hari ini mungkin 10 jam minimum. Apa pun perut saya kembali normal. Porter tinggal di Pos 5 dan kami semua bergerak.

sedikit briefing

Dari Pos 5 ke Pos 6 pergerakan agak singkat pagi ini. Berehat dalam 15 minit kami bergerak ke Pos 7 yang merupakan satu lagi tapak kemsite.


Sinar pagi yang sejuk sudah bertukar kepada sekali sekala sedikit panas. Di Pos 5 tadi pada ketinggian sekitar 2500 meter dengan perjalanan sejam 10 minit, kami tiba di Pos 7 pada ketinggian 3100 meter.

di pos 7 , Dr Zamri, Ema dan Ryan di depan

Tempat mengambil air di sini tidak jauh sekitar 100 meter sahaja berbanding di Pos 5 iaitu 150 meter. Banyak khemah didirikan di sini tetapi Pos 5 lebih luas. Jika diikutkan dari semalam, dari Pos 1 sehingga ke Pos 7, pendakian masih naik dan terus naik. Setiap Pos mempunyai cabaran tersendiri.

tinggal beberapa langkah untuk sampai

Menuju ke Pos 8 atau puncak Rante Mario, laluan sudah agak mudah. Teringat kembali semasa mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania bila mana tiba di Stella Point dapat melihat puncak melalui monumen yang dibina. Di Rante Mario kami dapat melihat puncak melalui tiang bendera Indonesia yang berdiri megah ditiup angin dengan 10 minit lagi untuk sampai .



taha 
Dr Zamri 
Apis 
Ema
antara gambar-gambar di puncak Rante mario 


Saya tiba di puncak Rante Mario pukul 12.30 tengahari yang berketinggian 3478 meter. Cuaca yang lembap dan sedikit hujan serta ramai pendaki yang sudah berada di sini sejak pagi memperlahankan rentak kami. Setelah semua selamat tiba, kami bergambar beramai-ramai. Logo aman-palestin, diagnosis-apokalips, proton, OGKL serta bendera 2 negara bersatu di puncak gunung.

Selepas bersiap untuk turun, hujan tiba-tiba muncul. Kami berteduh di fly yang dibawa. Menyusuri satu kawasan padang, kami berhenti rehat untuk menyambung perjalanan ke Gunung Nenemori. Gunung ini nombor 2 tertinggi dan duduk di sebelah puncak Rante Mario. Sepanjang memasuki laluan ke Nenemori, dapat dilihat penuh pokok bonsai seperti melalui Mossy Forest. Laluan tidak turun tetapi melalui permatang yang masih elok.

baru lepas hujan dan berehat di simpang

Gunung Nenemori juga mempunyai mitosnya. Kisah mori dan neneknya boleh dibaca di sini.


pemandangan bonsai dan mossy forrest di laluan ke puncak Gunung Nenemori


dipuncak gunung nenemori
puncak nenemori

Kami tiba di puncak Gunung Nenemori sekitar pukul 6 petang dengan suasana sejuk dan sedikit hujan. Sebelum maghrib menjelma, kami sudah bergerak keluar. Mungkin di sinilah berlaku nya kejadian ala filem Final Destination. Semasa keluar untuk ke Pos 7, saya dan Ramli serta Fausy bergerak bersama-sama. Selama sejam setengah kami hampir tiba di padang. Sebelum tiba di padang, kami melalui jalan potong melalui trek berbatu-bata.

Sampai di Pos 7, rakan di depan sudah menunggu. Kami berehat di tepi dalam sejukan. Saya sempat tidur sebelum kami bergerak sejam kemudian. Di Pos 6 dan Pos 5, saya tidur lagi mungkin sebab kepenatan. Kami tiba di Pos 5 dengan selamat.

5 Mei 2016  

Pagi nya kami bersiap tapi masih lambat. Kata Ramli khemahnya untuk 2 orang sudah digunakan oleh porter yang seramai 4 orang. Yang agak musykilnya porter-porter kami kurang bercakap dengan kami. Pukul 10 pagi kami semua turun. Target adalah untuk sampai di Desa Baraka pukul 2 petang. Sepanjang turun sehingga ke Pos 2, ramai yang mendaki.

baju biru tu En Faizal namanya

Ada yang berseorangan dan ada yang berkumpulan. Semasa baru sampai di Pos 3 kami berkesempatan bertemu seorang pendaki Malaysia yang sama-sama menaiki pesawat hari itu. Di Pos 2, kami berpecah 2 kerana ramai di gua.

jambatan yang boleh buat gayat

Selepas bergerak dari Pos 2, kami menuju ke pintu gerbang dan tiba sekitar pukul 3 petang.

menikmati pemandagan di pos 1

Dalam perjalanan menuju ke Desa Baraka dapat di lihat 2 buah lori keluar membawa pendaki-pendaki yang sampai terdahulu. Sekitar pukul 4.30 petang baru kami tiba di Desa Baraka. Kami mencari kedai untuk minum petang tetapi tiada. Terdapat sebuah lori yang masih berada di sini. Setelah Fausy berbincang dengan tuan punya lori barulah kami dapat membawa masuk beg-beg kami untuk ke rumah Fausy.

bersiap untuk keluar naik lori

Kata Ryan urusan membayar permit masuk adalah 10 ribu ruppiah seorang manakala lori yang kami naik hanya perlu bayar sekali sahaja. Oleh kerana pendaki-pendaki dari Jakarta tidak bersama kami, kami perlu membayar baki 150 ribu ruppiah sahaja jadi jumlah nya adalah 300 ribu ruppiah manakala jumlah keseluruhan menyewa lori dari pergi sehingga keluar adalah 1.5 juta ruppiah. Manakala pembayaran porter yang disaksikan oleh Fausy adalah sebanyak 150 ribu ruppiah kali 4 orang selama 2 hari bersamaan 1.2 juta ruppiah.

Hujan turun membasahi perjalanan kami sejak mula. Kali ini lori ditutup untuk mengelak dari basah. Beberapa kali lori berhenti membawa dan mengeluarkan barang. Sehingga satu ketika lori berhenti kerana ada berita air sungai yang kami lalu naik.

pisang molin iaitu pisang yang disalut tepung 
Fausy dan Ramli

Jadi untuk tidak membuang masa, kami yang masih lapar telah memesankan indomie, 2 jag kopi serta pisang molin di rumah sebelah kami berhenti. Pisang molin adalah pisang yang dibalut dengan tepung seperti karipap yang mempunyai inti di dalam nya. Sambil makan kami tengok berita katanya hari ini adalah hari libur atau cuti sempena kenaikan Nabi Isa. Maka ramai yang pulang ke kampung dan bandar utama seperti Jakarta lengang.

Sejam berehat di rumah orang, kami bergerak keluar. Sebelum kami naik ke lori, datang porter-porter dari Desa Baraka melahirkan ketidak puasan hati mereka tentang bayaran. Wakil mereka mula menerangkan perlu bayar 3 hari bukan 2 hari. Awalnya satu hari di pos 5 mereka berehat dan tidak ke mana. Yang jelas berlaku perselisihan antara Fausy dengan porter-porter yang diarahkannya.  Untuk mengelakan perkara menjadi buruk, saya membayar sahaja baki 600 ribu ruppiah tersebut. Dapat dilihat lakonan porter-porter ini selepas mendapatkan wang. Apapun kami perlu keluar segera malam ini kerana kenderaan sudah menunggu untuk menghantar kami ke Toraja.

Tidak lama bergerak kami berhenti lagi. Kami dihalang oleh sungai yang mengalir deras melalui laluan lori. Terdapat beberapa lori juga tersangkut untuk meredah laluan tersebut. Laluan tersebut menghala ke kiri.

air masuk ke laluan jalan

Setelah 20 minit menunggu, pemandu lori menyuruh kami masuk dan lori redah laluan sungai deras tersebut. Syukur lori kami lepas dari halangan dan bersedia untuk bergerak ke rumah Fausy. Begitu juga lori yang menunggu tadi juga lepas.

Hanya 5 minit lepas itu datang lagi halangan lain. Lori perlu naik ke jalan simen . Kami semua kena turun untuk lori lepas. Percubaan ke 2 berhasil dengan bantuan tali yang ditarik oleh pendaki-pendaki sana.

Selepas beberapa minit bergerak, datang satu lagi halangan. Lori gagal melepasi satu pendaki terakhir sebelum rata. Dengan lori tayar biasa bukan 4wd, jalan licin selepas hujan, laluan mendaki memusing ke kiri yang terdapat 2 batu besar maka memang susah untuk lori meloloskan diri. Begitu juga lori-lori lain bermasalah untuk bergerak di sini.

ramai-ramai tarik lori

Setelah beberapa siri mendaki lori gagal, batu besar dialihkan, batu-batu kecil diletakkan dilaluan untuk lori lebih bergerak barulah lori kami berjaya naik namun  kami semua perlu membantu lori untuk sampai ke tempat rata melalui tali. Pemandu lori juga membantu lori-lori lain yang masih terkandas.



Perjalanan diteruskan menuju ke tempat kami singgah dulu dan kami memesan dodol. Seterusnya kami bergerak ke rumah Fausy. Perjalanan yang panjang sekitar 7-8 jam untuk pulang berbanding 4 jam semasa pergi memang mengubah jadual perjalanan kami. Sampai di rumah Fausy makan dihidangkan.

Kami bersih kan diri dan tidur sekitar 3 pagi .

6 Mei 2016

Perjalanan pulang yang sangat lama menanti kami hari ini. Siri rundingan dengan pak supir berjalan dengan lancar. Kata sepakat sudah dipateri. Kijang akan membawa kami sehingga ke Lapangan terbang ahad nanti dengan bayaran sekaligus 2 juta ruppiah kali 2 buah kijang.

Meninggalkan keluarga Fausy yang sangat peramah dengan layanannya bagai meninggalkan satu keluarga baru yang pasti dikenang ke akhir hayat. Suasana kampung yang damai bakal ditinggalkan tak lama lagi.

Saya mewakili teman-teman menghulurkan sedikit bantuan kewangan yang tidak seberapa kepada nya. Melihat pada tuturkata Fausy ternyata beliau mengambil tanggungjawab besar atas kejadian semalam dan menyatakan kekesalan nya. Bagi saya, kami redha dengan kejadian asalkan beliau mampu meneruskan perjuangan sebagai pendaki mahupun sosialis yang membantu menangani sebarang masalah dikalangan rakyat Indonesia apabila bencana tiba.

Pukul 10 pagi kami bergerak keluar dari Desa Bontongan. Kami menuju ke Tana Toraja sekitar 3 jam perjalanan. Kami singgah seketika di satu bukit putih yang terdapat makam di lereng-lereng nya.


Di Toraja, kami bergambar di pintu gerbang manakala tiba di pekan kecil Toraja dapat dilihat Patung Yesus di atas bukit yang merupakan patung tertinggi di dunia sejak tahun lepas dan satu patung besar ditengah-tengah pekan Toraja.

pintu gerbang ke Toraja

Perjalanan diteruskan ke Toraja Utara untuk kami makan dan solat.

pahlawan mitos  
patung Yesus yang merupakan tertinggi di dunia sejak setahun yang lalu
makan dulu

Selepas solat hujan turun dengan lebat dan kami menuju ke Kete Kesu yang merupakan makan persemadian orang-orang dulu serta rumah-rumah adat. Di sini terdapat gua yang menyimpan keranda mayat-mayat serta tulang-tulang yang tidak dikebumikan. Kami masuk ke dalam untuk melihat sekitar.

tempat tengkorak dan rumah adat

Ada rumah-rumah yang menyimpan tulang-tulang tuan punya rumah manakala di depan rumah ada patung-patung menyerupai tuan rumah. Memasuki tempat-tempat seperti ini memerlukan semangat yang lebih kerana ada perasaan seram sepanjang memasuki tempat ini.





Kami bergerak ke kaki Gunung Sesean yang terletak di Kecamatan Sesean Soloara 2 jam dari Kota Rantepao. Perjalanan mendaki sehingga kami tiba di kaki Gunung Sesean. Dalam perjalanan ke kaki Gunung Sesean terdapat satu hotel yang megah berdiri di sebelah nya.


Sebaik bersiap pukul 7.30 malam hujan turun dengan lebat. Fausy dan teman-teman merancang untuk tidak turut serta kerana kuatir dengan trek namun sebaik hujan berhenti azam kami membara untuk meneruskan misi terakhir ini sehingga beberapa rakan Fausy turut mengikuti kami naik sama.


Kami tiba di Pos1 dalam 30 minit iaitu satu-satu nya pos yang bertanda. Perjalanan seterusnya menaik sehingga ke padang yang luas dan ada batu besar. Di sini ada yang memasang khemah untuk bermalam. Jalan 20 minit lagi baru kami jumpa di puncak 1. Kabus yang menyeliputi tempat ini agak tebal.

Perjalanan seterusnya memasuki ke dalam laluan trek semula. Tiba di puncak kami berhadapan dengan batu besar yang licin selepas hujan. Dengan tali dan bantuan Yamin untuk turun, kami berhadapan satu masalah agak besar untuk turun ke sebelah. Selepas semua sampai kami perlu memanjat batu lagi untuk sampai ke puncak yang sebenarnya. Puncak sebenar adalah berketinggian 2100 meter dengan pemandangan kota yang menyinari malam.

Gunung Sesean cabaran gunung terakhir 

Hujan dan sejuk menyaksikan kami tidak lama di puncak namun masalah yang paling susah sekali adalah untuk melepasi batu menggunakan tali yang hanya dipegang oleh Yamin semasa turun. Agak sukar sehingga ada yang merangkak untuk menghabiskan laluan batu besar.

Selepas berehat sambil minum kopi beramai-ramai di tepi batu besar, kami bergerak. Pergerakan mencari laluan yang berumput kerana trek sangat licin. Banyak kali saya dan teman-teman jatuh. Kasut TNF memang mencari nahas kali ini.

7 Mei 2016

Sampai di Pos 1 kami berkumpul dan berehat semula. Sekitar pukul 1 pagi baru lah kami tiba di kaki Gunung Sesean yang bertanda 4 km ke puncak.

Sejam untuk kami bersiap keluar iaitu sekitar pukul 3 pagi. Sebaik keluar sedar-sedar sudah tiba di Masjid Agong Rantepao kerana kami tertidur penat. Jika semalam kami lewat dari jadual kali ini kami bakal lewat lagi. Rancangan ke Makassar untuk tiba awal pagi tak kesampaian.

Selepas solat subuh, kami bergerak menuju ke Makassar. Sekitar pukul 8.30 pagi kami singgah untuk bersarapan. Kami dihidangkan pemandangan Gunung Nona yang terletak di tempat tinggi.

menikmati pemandangan Gunung Nona dan makan bakso dan ikan goreng 

Sambil memesan bakso dan ikan goreng serta kopi o, ada 2 cewek yang mengalami kerosakan motor. Fausy datang menghulurkan bantuan. Kami berhenti selama sejam lebih dan bergerak semula.

siri-siri tayar pancit bermula

Akan tetapi bermula lah waktu-waktu malang lagi untuk kami. Tayar depan kiri tiba-tiba pancit di sebuah selekoh. 30 minit diperlukan untuk menukar tayar simpanan. Sampai di satu tempat kami makan tengahari. Selepas bergerak kami menuju ke kedai tayar untuk menampal tayar. Tayar yang ditampal digunakan semula.

Perjalanan seterusnya kami berhenti di Pertamina berhampiran pare-pare untuk solat. Selepas 30 minit perjalanan diteruskan lagi dan kami merancang untuk tidur di pantai Lesario di Makassar.

Sebaik 45 minit bergerak tayar pancit lagi. Tayar yang digunakan pula sudah bergaris mengeluarkan bunga. Ternyata kali ini tentangan nya berbeza dari trip-trip yang lepas.

Perjalanan seterusnya kami tiba di Makassar pukul 8.30 malam. Ternyata rancangan untuk singgah ke kedai outdoor untuk hari ini juga tidak kesampaian. Setelah lama mencari tempat menginap, kami akhirnya tinggal di hotel yang sama seperti trip yang lepas.

sampai Makassar lewat dah lapar 

Malam nya kami malam ikan dan ayam seperti biasa. kami diberitahu ikan gurame yang dimakan semasa trip yang lepas tiada kerana ikan gurame ada musimnya.

8 Mei 2016 

Hari ini hari terakhir kami di Sulawesi. Kami singgah di beberapa kedai outdoor sebelum makan juga ditempat yang sama iaitu kedai yang menyediakan tempat makan secara bersila.

serang toko outdoor

Kami membeli beberapa peralatan sebelum tiba di Lapangan Terbang Hasanudin untuk pulang. Dalam beberapa detik terakhir sebelum menaiki pesawat berlaku kekalutan. Ada yang tercicir beg dan kemudian passport serta telepon dalam masa 30 minit lagi menaiki pesawat.

gambar terakhir sebelum pulang
penat kejar sana sini

Sementara tiba di Klia2, berlaku lagi beberapa kekalutan, Ada yang tercicir passport dan ada yang tersangkut dan terkurung semasa pemeriksaan passport dan ada juga yang tercicir beg di pesawat. Syukur kami semua selamat tiba di rumah hari ini dan esok nya.

bahagi dodol

Sekian sahaja laporan trip kali ini. Apakah perancangan mendaki SAM(Selamet-Argopuro-Merbabu) serta Gunung Bukit Raya akan menjadi kenyataan tahun depan maka sama-sama kita tunggu.

Wsalam
(Gambar-gambar dari Doktor Zamri. Ema, Taha, Ramli dan Apis serta diri sendiri)

Video-video sepanjang trip

Kredit Ahmad Fausy Mahmud terutama di puncak

Kredit juga dari Ahmad Fausy Mahmud

 photo pn80517_zps08rer6as.gif

1 comments:

  1. jump off rantemario Desa karangan, Baraka adalah pekan kecil yg Ramli pegi nk cari sayur tu....

    ReplyDelete