Trip Jelajah Korea Yang Memukau

Salam,

Selepas melalui satu pengalaman berekspedisi ke negara Jepun genap setahun yang lalu, kini kami bergerak ke negara jirannya di sebelah barat iaitu Korea Selatan, sebuah negara yang pesat membangun dan memiliki 4 musim setahun. Ini adalah juga xpdc rakan-rakan dari Orang Gunung Kuala Lumpur(OGKL)  di mana saya bersama Amirul Ajra, Fuad dan Fahmi bergerak awal 2 hari untuk mendaki Gunung Hallasan di Pulau Jeju di bahagian selatan.

24 Ogos 2016

dari KLIA ke Busan terus ke Pulau Jeju

Perjalanan selama 6 jam kami mendarat di Lapangan Terbang Gimhae di Busan pukul 9 pagi dengan perbezaan masa sejam lewat. Awal-awal sampai hati sudah menjangkakan akan kantoi sesuatu tapi tidak risau.

selamat datang ke Korea Selatan

Sebaik dapat mengambil beg kelihatan ada mangga melekat. Semasa tiba di kawasan imbas, saya telah diarahkan untuk membuka beg yang kononnya ada barang terlarang. Rupanya pisau yang tidak dilipat tidak dibenarkan dibawa walaupun dalam beg galas. Tidak mengapa kerana pisau tersebut bukan keperluan penting.

bandar Busan dari udara

Di lapangan terbang kami membeli pek sim kard yang agak murah 1GB bersamaan ₩ 30,000 KRW. Ada juga pakej wifi bergerak dan pek penggunaan tidak terhad yang mahal sedikit.

ada pulak bangkai gajah kat tengah-tengah ni

Untuk ke Pulau Jeju, kami ke sebelah di bahagian domestik. Ada beberapa siri-siri penerbangan ke Pulau Jeju mengikut harga semasa dan Fuad memilih Jeju Air untuk kami berlepas pukul 12.30 tengahari. Agak ramai jugak orang keluar masuk ke Pulau Jeju kerana pesawat yang ada ke sana banyak tempat duduk. Sedang saya memasuki kawasan rutin pemeriksaan, sekali lagi ada barang bakal diambil. Kali ini saya harus pilih kerana terdapat 2 pemetik api yang mana salah satu ada muncung yang panjang. Maka yang panjang itu dipilih kerana mudah untuk pasang dapur nanti.

menaiki jeju air yang besar

Kami tiba di Pulau Jeju sejam perjalanan.  Dengan terpinga-pinga kami mencari kereta untuk disewa. Mula-mula agak susah kerana masalah bahasa dan lagi teruk musim cuti hampir berakhir, Jadi harga agak mahal dari biasa dan untuk sewa satu hari juga tiada. Setelah kami berbincang, maka kami pun bersetuju untuk menyewa kereta dari syarikat ok dari pukul 2.30 petang ke 8 malam esoknya. Harga sewa kereta adalah ₩ 234,000 KRW bersamaan RM 800. Dari pintu 3 kami menaiki bas selama 15 minit untuk singgah ke tempat mengambil kereta. 

pemandu belah kiri

Perjalanan menaiki kereta Kia Avante secara left hand drive yang agak membimbangkan dan di bawa oleh Fuad kami menuju ke bahagian timur. Perjalanan selama sejam 30 minit menggunakan GPS yang terdalam di bahagian tengah dashboard  sejauh 40 kilometer kami berhenti di destinasi pertama. Kami perlu masuk sebelum malam kerana tutup pukul 7 malam.



Secara ringkasnya Seongsan Ilchulbong atau puncak matahari naik berbentuk separuh bujur yang terhasil melalui letusan gunung berapi kuat sekitar 5000 tahun dulu. Ketinggian sekarang adalah 182 meter. Dan yang paling menariknya Seongsan Ilchulbong merupakan salah tapak warisan dunia UNESCO. Boleh baca di sini dan blog-blog lain.

pintu masuk 

ape ni ... belum ape-ape dah duduk

Pintu masuk Ilchulbong adalah ₩ 2,000 KRW untuk dewasa. Treknya ada bentuk traverse atau naik terus ke puncak dan dari puncak turun dari arah lain. Ada tangga disediakan sepanjang trail ini. Sebelum kami bergerak jauh, terdapat satu jalan yang agak tertutup dan kami melakukan solat jamak di sana. Perjalanan menuju ke atas tidaklah jauh. Sebelum sampai di puncaknya yang berbetuk bulat pemandangan laut serta laluan masuk dan pekan kecil pun sudah menjanjikan warna pemandangan indah. Di puncaknya ada disediakan papan untuk duduk ada tempat untuk bergambar tapi agak sempit sedikit,

tiba di puncak Ilchulbong 

Setelah puas bergambar kami turun di kiri laluan bertangga.

antara gambar-gambar posing paling ngam 

Lagi sekali pemandangan yang indah disajikan.

ada juga yang duduk sorang-sorang 
jalan ke kanan

Laluan bertangga terus turun sehingga ke simpang.  Ilchulbong memilik pantai yang menarik seakan Tanah Lot di Bali.

u cant see me 
dari arah letak kereta

Sebelum mencari tempat penginapan, kami makan dulu. Di sini sama seperti di Jepun kedai 7-eleven atau mana-mana kedai runcit juga menyediakan nasi kepal yang berbentuk bulat dan segi empat dengan harga mengikut tempat.  Kami membeli nasi kepal berharga ₩ 1,000 KRW sambil mengisi perut dengan makanan tempe dan serunding yang dibawa oleh Fahmi.

contoh nasi kepal segi 4 dari blog lain
   
Selepas makan kami sama-sama berpakat bergerak ke Seongwipo yang katanya ada banyak rumah untuk bermalam.

nampak bentuk Gunung Hallasan

Dalam perjalanan dari kejauhan dapat dilihat Gunung Hallasan megah dan gagah berdiri untuk kami jelajahi esok. Ada yang kepenatan dan tertidur dan pekan kecil Seongwipo kami terbabas jauh dari haluan. Sambil mencari dalam internet kami cuba menelepon untuk bertanyakan bilik kosong. Bagai ayam itik dan kambing jawapannya adalah sama 'No room'. Ada juga kami singgah di satu hotel pukul 9.30 malam dan selama 20 minit bertanyakan nama kami sahaja namun jawapan yang diterima tetap ringkas 'No room'. Kami tiba di satu guesthouse dan berjalan-jalan sekitar. Salah satu tempat yang kami pergi sambil bertanyakan bilik tapi mengejutkan terus dihulurkan kunci. Rupanya disuruh melihat bilik dengan harga ₩ 60,000 KRW. Setelah pasti ₩ 60,000 KRW bukan untuk seorang tapi berempat saya membayar terus dan kami bermalam di sini dan menamatkan 10 pencarian hostel untuk bermalam.

Video di Ilchulbong
makan malam meggi je

25 Ogos 2016

Acara mendaki gunung tertinggi di Korea Selatan bermula awal hari ini. Sarapan kami di pagi hari adalah cawan maggie buat hari ke 2 berturut-turut. Untuk mendaki Gunung Hallasan terdapat beberapa laluan. Antaranya adalah laluan Eorimok di sebelah barat laut sejauh 4.7 kilometer dan Yeongsil dari arah barat sejauh 3.7 kilometer serta laluan Donnaeko di tenggara sejauh 9.1 kilometer. Laluan Donnaeko di buka semula pada tahun 2009. Kesemua laluan hanya sampai di satu tempat di panggil Witse Oreum dan tidak sambung ke puncak sejak 1994 untuk memelihara tanaman di lereng-lerengnya. Pada setiap bulan Oktober laluan Yeongsil dikatakan merupakan laluan yang sangat cantik pada musim daun luruh iaitu daun berwarna oren kemerahan yang gugur, Sementara 2 lagi laluan Gwaneumsa di utara sejauh 9.1 kilometer dan laluan Seongpanak di timur sejauh 9.6 kilometer. Kami memilih laluan Seongpanak dan tiba di permulaan trek pukul 7 pagi.

selamat datang ke pintu masuk Hallasan


Untuk masuk ke sini adalah percuma dan apabila sampai ke puncak nya disediakan sijil cuma bayar ₩ 1,000 KRW sahaja. Di awal perjalanan terdapat batu-batu tanda di tepi. Seingat saya batu tersebut muncul setiap 300 meter dan terdapat nombor. Jika di bahagikan sudah pasti ada 32.

dah nampak tiang




Untuk perjalanan pada ketinggian 800 meter mula-mula terdapat batu-batu gunung berapi perlu dilalui. Kadang-kadang ada tangga turun dan naik. Kami tiba Sokbat Shelter yang hanya ada bilik air dan tempat rehat ditinggalkan.

rehat dulu

Perjalanan diteruskan menuju ke Jindallaebat Shelter yang lebih terbuka.



Pendakian di simpang dengan papan tanda lagi 1.3 kilometer untuk sampai ke puncak.  Kami berehat 20 minit di sini sambil makan kudapan dan minum air tenaga serta memerhati orang-orang di sekelilingi.



Setiap kali kami melintas atau bertembung dengan pendaki Korea dari arah turun, ada yang memanggil  haseyo atau mudah saiyu yang bermaksud Hi.



Selesai rehat kami bergerak. Tidak jauh untuk sampai ke puncak ada plank harus di lalui. Dari permulaan plank saya dapat melihat plank ini menuju terus ke puncak. Pemandangan sangat cantik di sekelilingnya dan andai masa ini musim luruh maka tidak dapat digambarkan suasananya.




Kami tiba di puncak setinggi 1,950 meter. Di puncak kami dapat melihat kawah dari arah depan. Ada beberapa batu disediakan untuk bergambar. Nampak tidak ramai yang mendaki hari ini dari arah Seongpanak. Laluan Gwaneumsa di satu lagi telah ditutup kerana ada runtuh dan terdapat pekerja taman nasional menjaga disitu.

Video di Hallasan

Selepas mengambil gambar kami turun, Terdapat pelbagai orang yang melalui trek ini dan ada yang seperti baru pulang di shopping dan seakan bukan pendaki dan ada yang cuma memakai seluar jean.

Kami berhenti semula di shelter untuk makan tengahari dan membeli air mineral berharga ₩ 1,000 KRW. Untuk turun ke bawah lagi 4.1 kilometer perlu kami hadapi. Keadaan berbeza ketika turun kerana banyak batu-batu perlu pijak.

Kami tiba di permulaan dan pergi ke pejabat mengambil sijil. Setelah solat dan bersiap, kami segera menuju ke lapangan terbang untuk menghantar kereta dan tidur di sana. Oleh kerana ada masa, kami singgah di Baghdad Cafe untuk makan. Pukul 8 malam kami sudah berada di lapangan terbang untuk berehat.

ni je yang ada
makan malam dari baghdad cafe berjumlah ₩ 18,000 KRW

Sedang kami berpindah ke atas untuk berehat kami diberi 20 minit untuk keluar dari lapangan terbang kerana tidak dibenarkan tidur. Masih ada pelancong terutama dari Tanah Besar China masih beratur di dalam lapangan terbang. Juga terdapat 2 orang perempuan sama bangsa kita yang terpaksa tidur di luar kerana penerbangan mereka pukul 6.30 pagi.

pulang balik kereta

Dengan malam semakin larut, kami cuba menelepon hostel berdekatan untuk bermalam tapi seperti dijangka 'No Room'. Kami semua mengambil keputusan tidur di luar sahaja sambil menunggu lapangan terbang dibuka semula.

dah kne halau da ... tidur lua la

26 Ogos 2016


dari Busan terus menuju ke Taman Negara Jirisan

Setelah lapangan terbang dibuka semula, kami masuk membawa barang-barang kami. Selesai solat subuh, kami bersiap untuk menaiki pesawat. Sebelum menaiki pesawat sekali lagi cawan meggi jadi pertaruhan sarapan pagi.

Sehingga pukul 8.45 pagi menuju ke kaunter, seorang wanita memberitahu ada barang-barang di beg harus diperiksa bersama Tok Gajah. Kami berlari ala Running man bersama wanita tersebut menuju ke bilik pemeriksaan. Rupanya 2 botol berisi petrol dan minyak masak tidak dibenarkan masuk pesawat serta power bank dikeluarkan. Maka saya redha sekali lagi barang-barang tersebut dapat dibawa masuk tanpa petrol dan tiada minyak masak bila diperlukan nanti.

Geng Hallasan dan rakan-rakan OGKL bergabung

Sejam perjalanan kami menuju ke Busan. Rakan-rakan dari OGKL sudah sampai dan kabarnya sudah menuju ke stesyen bas untuk menaiki bas ke Taman Negara Jirisan. Di stesyen bas kami berjumpa dengan rakan-rakan kami yang termasuk 6 pasangan suami isteri dan ada yang baru nikah beberapa hari lepas. Di sini terdapat jualan murah untuk membeli seluar hiking. Beberapa rakan kami sempat membeli minuman tenaga kerana masa agak terhad nanti.


sampai di Taman Negara Jirisan 

Bas bergerak meneruskan perjalanan yang jauh. Kami tiba di Taman Negara Jirisan pukul 3 petang. Syukur tidak menempuh jalan jem. Mengikut perancangan, Zulfadli selaku ketua program bersama sama AJK OGKL akan mencari tempat bermalam di sini tapi kerana hujan sudah mula turun rancangan bertukar.

jalan-jalan sekitar 
Zul bagi arahan bermalam di satu tempat

Di sini terdapat kedai untuk membeli keperluan terutama nasi kepal dan barang-barang lain. Sejam kami tiba, AJK memberitahu kami ada tempat untuk bermalam. Kami tiba di tempat bermalam dan duduk di tingkat paling atas manakala wanita disediakan bilik.

kena dera dengan urutan pak teh 

Malamnya kami masak makanan sendiri. Saya membawa pek makanan Sharifah yang sedikit membantu rakan-rakan untuk makan. Isi pes nya di tambah dengan sardin dari bekalan Tok Gajah.

makan malam bermula

Selepas makan sessi taklimat dimulakan untuk perjalanan esoknya. 

27 Ogos 2016

Terdapat 5 trail di sini. Antaranya Kuil Hwaeomsa ke Nogodan sejauh 7 kilometer dan Lembah Chilseon sejauh 9.7 kilometer. Zul memilih Jungsanri kerana paling hampir dengan tempat duduk kami.

doa selamat sebelum mula

Pukul 6.30 pagi semua sudah bangun untuk bersiap. Tok Gajah, Fahmi dan Fuad atau lebih terkenal dengan geng Hallasan sudah bergerak awal ke atas. Di belakang barulah kami bergerak meninggalkan 2 orang bakal ibu yang menunggu di bilik. Kata Fuad dari sini kami boleh melihat puncak Cheongwangbong jika cuaca baik.



Kami perlu berjalan sehingga 800 meter hingga ke pintu gerbang untuk memulakan pendakian yang dinamakan Laluan Jungsanri. Lagi sekali laluan berbatu menghantui geng Hallasan. Kali ini jumlah perjalanan adalah 6.6 kilometer. Di sebelah kiri adalah sungai yang agak besar.

sentiasa nampak 2 ni 
di pintu gerbang 

Kami tiba di simpang selepas 1 kilometer berjalan. Kedua-dua simpang menuju ke puncak Cheongwangbong. Kami perlu ke kiri dahulu. Dari awal masuk pintu gerbang di sepanjang trek terdapat sungai mengalir deras apatah lagi melalui simpang di kiri. Di laluan nanti ada batu besar yang di panggil Kalbawi Rock


tiba di simpang 


Kadang-kadang laluan akan menjadi menaik tangga yang disediakan dan ada masa kami lalu jejantas yang merentangi sungai.


cantik air terjun ni

Terdapat satu air terjun tinggi di sini selepas menyeberang jejantas. Sampai masa saya sudah di depan bersama Dr Zamri dan Dr Arfah.


tingginye tangga

Kami Singgah di Rotary Shelter untuk berehat. Di bawah sedikit terdapan tangki untuk minum. Sampai di sini tiba-tiba suasana menjadi sejuk berangin. Saya sempat bergambar bersama Dr Zamri. Percubaan menghisap rokok gagal di sini kerana ditegur oleh pendaki wanita tempatan.

boleh masak

Selama sejam lebih menunggu rakan-rakan di belakang, saya sempat tidur di sebelah yang kena bayar ₩ 7,000 KRW semalam. Di sini air mineral dijual ₩ 1,000 KRW. Pendaki-pendaki tempatan ramai yang mengambil kesempatan untuk memasak meggi di tempat yang disediakan. Kawasan ini sangat besar dan sentiasa ada orang akan masak.

Sehingga rakan-rakan yang terakhir sampai dan angin sudah berhenti baru lah kami kembali jalan.

banyak nya batu

Laluan mula berubah menjadi berbatu. Semakin menghampiri, semakin besar laluannya. Ada masa kami naik tangga ada masa batu besar perlu dipanjat.

Jay Hamid di atas batu

Sebelum sampai puncak kami dapat melihat pemandangan yang sangat menarik.

berjaya sampai puncak tinggal beberapa langkah lagi 


Saya tiba di puncak pukul 12.30 tengahari di ketinggian 1,915 meter. Untuk bergambar di papantanda di batu besar, kami perlu bersaing dengan orang tempatan yang terlalu ramai dan tidak putus-putus.






Di sini juga walaupun cuba mencari tempat tersorok untuk menghisap rokok, masih terdapat orang tempatan yang perasan dan menyuruh kami membuangnya.

gambar berkumpulan 


Video di Jirisan

Kami sempat bergambar  beramai-ramai dan turun sekitar pukul 2.30 petang melalui laluan Jangteomok Shelter. Perjalanan turun agak lama. Kami singgah di  Kuil Beopgyesa dan terdapat 2 nama kampung yang sama ditandakan dengan 3.3 kilometer dan 5.9 kilometer. Kami memilih yang pendek.


Dengan harapan perjalanan akan sampai sebelum gelap kami gagahkan juga untuk keluar dari trek mencari laluan tar. Alhamdullillah saya dapat tiba sebelum gelap.

dah turun dari laluan lain 
Kuil Beopgyesa 
minum sat

Malamnya kami masak nasi yang saya bawa sebanyak 4 kali makan untuk orang dewasa. Acara Pok Luck dilakukan supaya ramai-ramai dapat merasa.      

28 Ogos 2016


menuju ke Seoraksan

Hari ini pukul 10.30 pagi kami sudah bersiap untuk keluar dari Taman Negara Jirisan yang merupakan yang paling besar di Korea Selatan. Makanan untuk makan tengahari dan dalam perjalanan harus disediakan sendiri supaya kami tidak kelaparan dalam bas nanti.

dah nak gerak

Pukul 11 pagi bas carter tiba untuk membawa kami ke Seoraksan pula. Perjalanan mengambil masa selama 8-9 jam dengan lebih 3 kali berhenti. Suasana di hentian rehat agak besar dah ada juga kedai outdoor menjual barangan di hentian pertama.


Pada awal berhenti, hujan turun lebat dan kami sempat solat di tepi jalan.

berhenti di hentian pertama

Banyak pemandangan indah dikiri kanan sepanjang perjalanan.

b
 antara tempat-tempat berhenti


sampai di Mamoth Resort di Taman Negara Seoraksan 

Pukul 8 malam, kami tiba Mammoth Resort untuk bermalam. Terdapat kedai berhampiran dan kami singgah untuk membeli barangan keperluan. Cuaca hujan di luar dan semboyan kedengaran dengan kuat seperti menandakan ada amaran dan kejadian telah berlaku.

makan malam dulu

29 Ogos 2016



boleh ada kerusi pulak nak duduk

Seperti selalunya, kami bangun awal dan bersiap untuk menawan Gunung ke 3 tertinggi di Korea Selatan. Barang-barang ringan sahaja sudah dipesan perlu dibawa. Perjalanan hari ini adalah lama sekitar 7-8 jam.


Kami berjalan sejauh 3 kilometer untuk ke kereta kabel yang terkenal iaitu di Gunung Seoraksan, Sepanjang perjalanan ke sana, banyak gambar diambil dan kami melalui tempat-tempat menarik serta pemandangan laut dan sungai.

gerbang pintu masuk 

gambar ramai-ramai di kaunter masuk
ajuma dan ajussi atau pakcik dan makcik dalam bahasa kite
rehat jap

Kami sampai di pintu masuk dan mengambil gambar lagi. Puncak Gunung Seoraksan bukan menaiki kereta kabel tapi kami perlu meneruskan perjalanan melalui Laluan Seorakdong dan kami sepatutnya bermalam di Jungcheon Shelter.

taklimat dari Zul lepas tidak dibenarkan meneruskan perjalanan 

Saya dibelakang sekali kali ini kerana hujan sudah mulai turun dan baju hujan perlu di pasang. Sedang kami baru kurang 100 meter dari simpang dan baru bergerak, datang kereta yang dipanggil safety car memaklumkan ada berlaku runtuhan dan halangan maka kami tidak dibenarkan melalui trail ini. Safety car terus ke ke depan memaklumkan rakan-rakan kami di depan dan sesiapa yang mahu meneruskan perjalanan ke puncak Daecheongbong iaitu puncak tertinggi di sini.


Perasaan hampa mula dirasakan. Dengan berat hati Zulfadli mengumumkan tamat sudah pendaki. Kami kemudian mengambil gambar di trek dan berpatah balik ke simpang. Sambil menunggu rancangan seterusnya, ada yang bergambar di sekitar jambatan.

Bagi Zulfadli, ini kali ke 2 beliau tidak berjaya sampai ke puncak Daecheongbong kerana kali pertama dulu kabus tebal dan ditutup.



Perbincangan sesama AJK berlangsung di simpang kerana bilik di shelter sudah ditempah melalui kredit kad tapi tiada bayaran jika tidak duduk. Zul kemudian memberitahu kami akan ke Ulsanbawi Rock yang terletak di simpang berlawanan ke arah puncak Daecheongbong.

kita teruskan ke ulsanbawi rock 


Perjalanan sejauh 4.1 kilometer menaik melalui kuil-kuil di awal pendaki sebelum melalui jambatan. 1 kilometer sebelum ke puncak ada lagi kuil. Di sini ada plank sehingga ke puncak. Ada rakan-rakan yang lambat jadi kami geng Hallasan berhenti di satu tempat yang selamat. Kami makan makanan yang ada sambil menunggu rakan-rakan.


makan dulu sambil tunggu rakan di belakang

Selepas semua sampai kami meneruskan perjalanan ke atas yang tidak jauh. Pak Teh yang lama di atas sudah mula turun bersama seorang lagi kerana takut puncaknya tidak besar.

Di puncak yang terletak sebelah batu, ada halangan dibuat di sekeliling supaya tidak jatuh.

Setelah bergambar beramai-ramai kami mulai turun satu per satu. Hujan mula turun mencurah-curah. Saya jalan bersorangan ditemani oleh ajuma dan ajussi yang kami ambil gambar semasa di puncak tadi.

sampai di puncak Ulsanbawi Pock

Video di Seoraksan

Saya tiba di tempat permulaan kami berhenti dan makan tengahari. Bersama Dr Zamri dan Dr Arfah, kami bertiga naik ke kereta kabel bernilai ₩ 10,000 KRW seorang. Sebaik mula ada yang seperti terkejut sambil melaungkan 'Fuaaaa' kerana pemandangannya yang menarik. Jika dibandingkan dengan kereta kabel Genting Highland dan Langkawi, cantik lagi dari sini. Sampai di hujung, kami keluar dan bergambar tapi suasana sangat sejuk. Ada tempat untuk naik ke puncak Gwongeumseong tapi kami tidak ke sana.

hujan semasa naik kereta kabel

Selepas turun ke bawah, kami keluar dari tempat ini dan menaiki bas no 7 menuju ke Mamoth Resort. Sambil berehat seketika, Zul dan Faiz merancang ke bandar Sokcho untuk ke kedai outdoor dan melihat-lihat sekitar. Tiba di bandar menaiki bas no 7 juga sekitar 30 minit kami berjalan-jalan namun barang yang dicari tiada.


Video sambutan merdeka
malam di Sokcho

Sejam lebih kami meronda, kami pulang semula ke Mamoth Resort. Malamnya saya masak sedikit makanan yang tinggal sebelum solat dan tidur.

30 Ogos 2016

Menuju ke Seoul

Oleh kerana rancangan berubah, kami akan bergerak ke Seoul hari ini. Bas no 7 membawa kami ke terminal bas di bandar Sokcho.

sudah bergerak ke stesyen bas

Kami terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu yang pertama naik pukul 9.30 pagi dan yang ke 2 pukul 10 pagi.

tunggu bas ke 2

Perjalanan cuma 2 jam lebih, kami dapat melihat Ulsanbawi dari arah pantai.


Ulsanbawi dari arah pantai

Bas tiba di bandar Seoul pukul 12.30 tengahari. Zul mengarahkan kami membeli kad T Money untuk memudahkan perjalanan menaiki keretapi bawah tanah yang merupakan pengangkutan paling murah dan efisyen. Keretapi sekali perjalanan adalah ₩ 1,200 KRW dan kami beberapa kali keluar masuk.

beli kas T Money

Kami diarahkan untuk menambah sekurang-kurangnya 10000 won untuk perjalanan esok dan bila-bila nanti.

tengok laluan ke Itaewon
dalam perjalanan

Sehingga pukul 3 petang kami tiba di tempat menginap kami di Itaewon iaitu tempat yang mudah bagi yang beragama Islam kerana ada masjid di atas bukit dan banyak sangat makanan halal dari negara-negara arab.

dalam keretapi 
ada juga sym200 sini 
Masjid Itaewon

Selesai makan, kami geng Hallasan dan Futhu menuju ke hard rock dan pasar terkenal Dongdaemun menaiki keretapi manakala Pak Teh bergambar di masjid.

makan dulu

Malang nya kedai di sini tutup seawal 7 malam. Mana yang sempat kami beli dan meneruskan perjalanan pulang ke Itaewon.

di Hard Rock Jamsil, Seoul

Geng utara sudah sampai ke Namsan Tower

Kata Zul esok kami perlu explore lagi bandar Seoul ini selagi boleh dan beliau ada mengajak untuk keluar seawal 5 pagi dan akan mendaki puncak Birobong di Taman Negara Chiaksan di daerah Wongju dalam sekitar 2 jam perjalanan dari Seoul. Tiket ke sana dalam ₩ 8,000 KRW dan menuju masuk adalah 2,000 KRW dengan 3 jam pendakian.

makan malam di tempat lain pulak

31 Ogos 2016

Pagi hari di hostel, kami sarapan jemput-jemput ikan bilis jenama Adabi tanpa ikan bilis dan sekadar goreng biasa iaitu tepung digaulkan dengan air sahaja pun sudah cukup.

Zul ke sana 

Zul sudah awal pagi bergerak ke menuju ke Taman Negara Chiaksan untuk mendaki puncak Birobong manakala Pak Teh ke muzium dan geng utara ke Nangdaemun dan Namsan Tower.'

jom ronda lagi 

Pukul 9 pagi kami geng Hallasan bersama Dr Zamri dan Dr Arfah menuju ke Dongdaemon sekali lagi untuk membeli kelengkapan pendakian di Iran nanti. Bertentang Dotta Mall, terdapat banyak kedai-kedai outdoor seperti La Sportiva, Millet, K2, Eielder, Redface, Lafuma, Salewa, Mammoth, Mount Bell dan kedai-kedai outdoor biasa.

manakala Fairuz dah sampai istana

Dan memang menjadi rambang mata bila kedai-kedai menawarkan barang-barang mampu beli. Malang bagi saya mencari kasut salji double boot tiada kerana saiz orang korea adalah 43-44 euro sahaja.

makan tengahari 2 kali ... yang ni pesan tandoori dan teh tarik

Setelah puas masuk dari satu ke satu kedai, kami pulang ke Itaewon untuk makan tengahari. Setelah makan kami mengidam teh tarik kerana sudah lama tidak merasa sejak datang sini. Di satu kedai lain kami singgah makan ayam tandoori dan minum teh tarik.

malam kami ke Namsan Tower melalui kereta kabel 

Kami kemudian pulang ke bilik masing-masing untuk menghantar barangan yang sudah dibeli dan berehat seketika untuk sambung lagi ke Namsan Tower.

Perjalanan ke Namsan Tower pukul 5.30 petang kami menaiki keretapi tidak jauh dari Dongdaemun. Kami perlu mencari laluan ke kereta kabel yang terletak 600 meter dari jalan raya.




Jika berjalan kaki ke Namsan Tower juga boleh tetapi perlu berjalan sehingga 1.7 kilometer lagi.





Video di Seoul dan Namsan Tower

Perjalanan menaiki kereta kabel, kami dapat melihat sebahagian pemandangan bandar Seoul seperti menaiki tren ke ke Victoria Peak di Hong Kong.


Di hentian kereta kabel terdapat tempat rehat untuk bergambar dan menikmati pemandangan dari atas. Saya masuk ke dalam untuk melihat di atas. Di menara ini tidak ada tempat terbuka untuk keluar. Ruang pusingan nya juga tidak jauh.

Selesai di Namsan Tower kami pulang ke Itaewon semula untuk makan malam. Selepas makan malam sekitar 10.30 malam, ada taklimat terakhir kerana esok pagi rakan-rakan kami ada yang pulang awal jadi perlu bersiap sekitar 5 pagi. ₩ 5,000 KRW diberikan untuk tambang menaiki keretapi ke lapangan terbang. Alhamdullillah semua puas hati walaupun tidak dapat meneruskan perjalanan ke puncak utama di Seoraksan kerana puas shopping dan jalan-jalan di sekitarnya.

1 September 2016

Hari terakhir kami makan di Kedai Kebab Sekitar ₩ 8,000- 9,000 KRW seorang. Selain kami berlima, turut serta geng balik petang adalah Futhu, Bulat dan Lin. Menurut Lin, mereka sudah 3 hari terturut-turut singgah di Dongdaemun membeli pesanan dari rakan.

Geng pagi sudah pulang 

Perjalanan menaiki keretapi bawah tanah menuju ke Lapangan Terbang Incheon di mana kad T Money ditambah sekitar minimum ₩ 5,000 KRW kerana perjalanan menuju lapangan terbang adalah sejam. Kami berhenti di satu hentian kerana keretapi tidak sampai ke lapangan terbang. Keretapi seterusnya lah yang membawa ke lapangan terbang.

bye-bye ... jumpe lagi di lain episod

Ringkasannya dari KLIA kami berempat turun ke Busan lalu mengambil pesawat ke Pulau Jeju dan pulang semula ke Busan untuk bergabung dengan rakan-rakan dari Orang Gunung Kuala Lumpur atau OGKL  yang kemudiannya menaiki bas ke Jirisan dan Seoraksan lalu sampai ke Seoul. Sekian perjalanan saya kali ini. Bertemu lagi di ekspedisi akan datang.

Gambar-gambar adalah dari rakan-rakan yang turut serta.

Wasalam

 photo pn80517_zps08rer6as.gif

0 comments:

Post a Comment